KUSERU RINDU ITU

KUSERU RINDU ITU
Perkahwinan itu tiada kekurangan langsung.Hisyam bahagia menjadi suami kepada Idayu dan Idayu sepuluh kali bahagia bergelar isteri kepada lelaki yangdicintai sepenuh jiwanya itu, walau perkahwinan mereka bukan berlandaskan perasaan cinta pada mulanya. Kebahagiaan hampir menjadi sempurna dengan kehadiran seorang anak lelaki yang cukup keletah. Namun di pihak Hisyam, bagai ada satu kekosongan di hatinya. Kekosongan yang dia rasakan perlu diisi dengan kehadiran seorang gadis manis bernama Maisara. Maisara mengajarnya erti rindu. Maisara juga berjaya membawa debar di hatinya apabila mata saling bertaut. Yakin, itu adalah cinta yang dia cari, Hisyam nekad mahu bersama dengan Maisara. Namun… satu hakikat yang mula dia sedar, desakan demi desakan daripada Maisara agar Idayu disingkirkan di antara mereka, telah membuka satu dilema baru. Walau dia yakin hubungannya dengan Idayu hanya berlandaskan rasa tanggungjawab, satu kenyataan yang perlu dia hadapi… dia tidak mampu untuk berpisah dengan Idayu. Lalu, benarkah ada cinta yang mekar di hatinya untuk Maisara, dan benarkah juga hubungannya dengan Idayu hanya kerana tanggungjawab semata-mata? Mampukah dia menerima hancur sekeping hati milik Idayu dengan kecurangannya dan mampukah Maisara terus membawa bahagia di jiwanya? Siapakah sebenarnya yang benar-benar dia cinta?

“Saya sendiri tak pernah sangka Idayu boleh jadi sekeras ini. Salah saya, terlalu yakin dengan kelembutan dia. Dia tak pernah melawan. Dia selalu patuh dan mengalah pada saya. Selalu buat saya berasa dia akan selalu akur pada saya. Sekali terkena, terduduk saya. Rupa-rupanya saya masih belum kenal betul-betul siapa Idayu,”

Thursday, August 11, 2011

BAB 9


 BAB 9

"AYU... abang minta maaf. Abang tak bermaksud nak marahkan Ayu. I’m so sorry.”
“It’s okay. Cepatlah. Nanti lama pula mak menunggu kita,” kata Idayu membalas lembut.
Namun, di dalam kelembutan itu, dia tahu hati Idayu terguris. Dia tahu benar. Nada suara Idayu cukup dingin. “Ayu nak pergi juga ke? Abang tahu Ayu marahkan abang. Kalau Ayu nak cancel...”
“Dah banyak kali mak telefon. She’s waiting for us. Cepatlah. Tak baik buat mak tertunggu-tunggu.”
“Panjang benar menungnya tu. Apa yang kamu fikirkan Syam?”
Hisyam mengangkat muka dengan riak wajah yang sedikit terkejut.
Tuan Harun tersenyum.
Hisyam turut mengukir senyum.
“Kenapa tak masuk tidur? Termenung sorang diri kat sini. Ada masalah ke?”
“Hah?” Dalam terpinga-pinga dia mencari jam di dinding. Sudah pukul dua belas lebih. Sudah begitu lama dia di situ rupa-rupanya. Dia mengeluh perlahan.
“Ayah belum tidur?” soalnya sambil memandang wajah Tuan Harun.
“Ayah nak ke dapur. Dahaga. Pergilah masuk tidur. Dah lewat ni.”
“Yalah,” jawabnya sepatah.
Tuan Harun mengangguk sambil berlalu.
Dia memandang sekeliling. Rumah besar itu sudah sunyi. Barangkali semua orang sudah tidur. Perlahan-lahan dia mengangkat punggung. Melangkah malas ke arah biliknya. Daun pintu ditolak perlahan. Dia melangkah menghampiri Idayu yang sedang lena. Lama dia merenung wajah itu. Bekas air mata masih belum kering di pipi Idayu. Melihat pipi isterinya yang basah itu, hatinya bagai direntap keluar. Sesungguhnya dia tidak sanggup melihat air mata itu. Di sebalik wajah ceria Idayu semasa makan malam tadi, rupa-rupanya ada air mata yang bertamu di dalam lenanya. Idayu menangis dalam diam. Perlahan dia menyapu air pipi Idayu yang basah. Maafkan abang, Idayu.... Hatinya merintih hiba. Sungguh, bukan sedikit kesal yang menghimpit dadanya saat ini.
“Get out! Leave me alone!!!”
Telinganya bagai terdengar herdikannya petang tadi. Buat kali pertama dia mengherdik Idayu. Bukan niatnya. Juga bukan salah Idayu. Idayu cuma masuk ke biliknya untuk melihat keadaannya. Untuk bertanya apa masalahnya. Untuk bertanya punca ketegangan wajahnya. Dan, bagaimana dia hendak menjawab setiap pertanyaan
Idayu, kalau jawapannya cuma akan membuat masalah menjadi semakin kusut. Dia tidak akan mereka seribu alasan dan berbohong pada Idayu. Tidak akan sesekali. Dia juga tidak akan bercerita tentang cadangan Maisara yang kejam. Sudahnya, di luar kawalan, dia menghamburkan kemarahannya pada Idayu yang tidak bersalah. Kepada Idayu yang tidak tahu apa-apa. Jelas di matanya Idayu yang amat terkejut dengan herdikannya. Tanpa sedar, tubir matanya terasa panas.
“Maafkan abang...” bisiknya perlahan sambil mengusap rambut Idayu. Merenung wajah yang penuh kelembutan itu. Nampak sungguh tenang di dalam lenanya.
Bunyi jeritan telefon bimbitnya membuat dia sedikit tersentak. Segera dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluar. Dia mematikan panggilan telefon sebaik melihat nama Maisara yang tertera di layar telefonnya. Dia tidak mahu menjawab panggilan itu. Rasa marah masih bersisa di hati. Sekali lagi telefonnya berdering, talian dimatikan sekali lagi, sebelum dia mematikan telefon bimbitnya.
“Kenapa tak jawab call tu?”
Hisyam mengangkat muka. Dilihatnya Idayu menyapu pipinya sambil menggosok mata. “Sorry. Abang tak bermaksud nak kejutkan Ayu.”
Idayu tersenyum nipis. Tangannya mencapai getah pengikat rambut. Mengikat rambutnya yang sedikit kusut. “Tak apa. Ayu tertidur tadi. Dah pukul berapa ni?”
“Dua belas,” jawab Hisyam pendek. Lagak Idayu yang terlalu biasa membuat dia serba salah. Idayu masih bersedih atau sudah melupakan segala yang berlaku?
“Dah lewat rupanya. Ayu nak mandi tadi... tapi tertidur pula.” Idayu bersuara sambil bangkit dari katil. Kemudian dia duduk semula di birai katil. Bersebelahan dengan Hisyam.
“Abang minta maaf. Abang tak bermaksud nak marahkan Ayu petang tadi. Abang tak sengaja.” Hisyam bersuara sambil memandang wajah Idayu.
Idayu tunduk. Tidak dapat dinafikan, memang dia terlalu sedih dengan herdikan Hisyam. Hisyam tidak pernah meninggikan suara padanya. Jadi, apabila tiba-tiba Hisyam mengherdiknya, dia benar-benar tersentap. Dia menjadi sangat sensitif. Perlahan dia mengangkat muka. Membalas renungan Hisyam.
“Tak apa. Ayu dah lupakan,” ujarnya perlahan.
Hisyam tersenyum pahit. Masakan Idayu dapat melupakan hal itu dengan begitu cepat. Dia menyentuh jemari Idayu. Menggenggam erat tangan Idayu. Dia sanggup mendengar apa sahaja yang ingin Idayu hamburkan padanya. Tetapi, dia tidak sanggup melihat Idayu diam memendam marahnya semata-mata ingin menjaga perasaannya. Perasaan seorang suami yang tidak setia. Bukan sedikit rasa bersalah yang bersarang di relung hati saat ini.
“Ayu... Ayu marahlah abang. Abang sanggup dengar apa sahaja. Apa sahaja, Ayu. Tapi, abang tak sanggup melihat Ayu menangis dalam diam macam ni. Cakaplah apa saja. Abang sanggup dengar.” Hisyam bersuara lagi. Jemari Idayu di bawa ke bibirnya lalu dikucup bertalu-talu.
Idayu tersenyum kecil. Wajah Hisyam yang penuh dengan kekesalan itu, direnung cukup lama.
“Betul abang sanggup dengar apa saja?” soalnya perlahan.
“Yes. Keluarkan semua kemarahan Ayu. Abang memang patut kena marah, kan? Abang tak patut herdik isteri abang macam tu.”
“Abang... Ayu tak berdaya nak marahkan abang. Sebab... Ayu terlalu mencintai abang,” ujar Idayu sambil merenung ke dalam mata Hisyam.
Ternyata kata-kata itu membuat Hisyam menjadi kelu tiba-tiba.
Idayu tersenyum sayu. Reaksi Hisyam bagai dapat dia jangka.
“Ayu, abang...”
“Syyy... tak payah cakap apa-apa.” Jemarinya diletakkan ke bibir Hisyam.
Hisyam dilanda rasa serba salah. Jemari Idayu di bibirnya, digenggam erat. Kenapalah wanita ini terlalu baik? Kenapalah rasa cinta ini tidak tertumpah kepada Idayu?
“Ayu tak akan tanya soalan tu lagi. Apa pun perasaan abang pada Ayu, abang simpanlah di sini,” ujarnya sambil meletakkan tangan kirinya di dada Hisyam.
Hisyam benar-benar kehilangan kata-kata. Dia tidak akan setuju dengan cadangan Maisara. Tidak akan. Tubuh kecil Idayu dirangkul dan dipeluk erat. Idayu membalas pelukan itu. Mustahil dia dapat memaksa Hisyam agar jatuh cinta padanya. Agak lama mereka berkeadaan begitu, melayan perasaan masing-masing, akhirnya Idayu melonggarkan pelukannya. Mendongak memandang wajah Hisyam yang kelihatan sedikit tenang.
“Terima kasih... bang,” ujar Idayu separuh berbisik.
Hisyam membalas renungan Idayu. Agak hairan dengan ucapan terima kasih yang tiba-tiba. “Untuk apa?”
“Untuk kebahagiaan kita selama ini. Walaupun abang pernah cakap yang abang tak mungkin dapat membahagiakan Ayu, tapi hakikatnya dalam tempoh perkahwinan kita, terlalu banyak kebahagiaan yang Ayu dapat. Terlalu banyak kebahagiaan yang abang berikan. Terima kasih, bang.”
Hisyam tersenyum kecil. Kata-kata Idayu mengingatkan dia pada pertemuan awal di antara dia dan Idayu. Pertemuan yang tidak menyenangkan. Baik padanya mahupun pada Idayu. Dia sendiri tidak menduga yang dia akan dapat mengecapi kebahagiaan ini. Dan, tidak tahu bagaimana kebahagiaan ini boleh menjelma dalam hidup mereka berdua. “Nampaknya abang pun kena berterima kasih pada Ayu.”
“Oh ya? Kenapa pula?” soal Idayu tersenyum senang. Segala keresahan di hatinya, dibuang sejauh mungkin. Tidak mungkin dia akan merosakkan segala keindahan ini dengan rasa curiga yang tidak berpenghujung. Dengan rasa cemburu yang cuma akan membunuh kebahagiaan yang sedang dia nikmati ini.
“Sebab dah jadi seorang isteri yang sempurna untuk abang.”
“No. I don’t think so.” Idayu bersuara sambil menarik tangan Hisyam yang masih melingkari pinggangnya.
Hisyam mengerutkan kening tanda kurang mengerti akan maksud kata-kata Idayu. Pelukannya dileraikan.
Idayu tersenyum. Mustahil dia dapat menjadi seorang isteri yang sempurna sedangkan dia gagal mendapatkan cinta Hisyam. Mustahil juga dia seorang isteri yang sempurna kerana saat ini, di hati suaminya itu ada nama lain selain daripada namanya. Ada wajah lain selain daripada wajahnya. Itu kenyataan yang tidak mungkin dapat dia tepis.
“Apa maksud Ayu?” soal Hisyam hairan. Tiba-tiba dia disapa debar mendengar kata-kata Idayu.
Adakah Idayu sudah dapat menghidu kecurangannya? Atau barangkali Maisara telah mengotakan ugutannya? Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Takut untuk mendengar kata-kata Idayu yang seterusnya. Takut Idayu mengetahui kecurangannya. Takut melihat wajah kecewa Idayu. Takut dia akan membuat Idayu terluka.
“Yalah... mana ada manusia yang sempurna dalam dunia ni? Abang ni, puji Ayu melebih-lebih pula,” ujar Idayu selamba sambil mengangkat punggung.
Tanpa sedar, Hisyam menarik nafas lega.
Idayu berpaling ke arahnya. Terdengar helaan nafas Hisyam yang panjang. “Kenapa bang?”
“Tak ada apa-apa.” Hisyam menjawab sambil mengukir senyum selebar mungkin.
Idayu menjeling manja sambil mencapai tuala di penyidai.
Hisyam berbaring ke katil. Matanya terus memerhati Idayu yang sedang menyikat rambutnya. Satu kebiasaan setiap kali dia mahu mandi.
“Betul Ayu dah tak marah ni?” Sekali lagi soalan itu meluncur di bibir Hisyam.
“Abang ni. Berapa kali nak tanya? Atau... abang memang teringin nak tengok Ayu marahkan abang?”
Hisyam tersengih. Bicara Idayu sudah kembali ceria seperti biasa. Itu sudah cukup untuk membuat dia berasa lega.
“Eh, Syafiq tidur dengan mak ke?” soal Hisyam tiba-tiba apabila menyedari Syafiq tidak ada di dalam biliknya.
“Haah. Mak yang ajak,” jawab Idayu senang.
Hisyam mengangguk. Sekuntum senyum penuh makna terukir di bibirnya. Senyuman yang memang Idayu mengerti akan maksudnya.
Idayu cuma tersenyum sambil memandang dari dalam cermin, Hisyam yang bergerak menghampirinya.
“Kalau macam tu...”
“Kalau macam tu, apa?” soal Idayu pura-pura tidak mengerti.
“Kalau macam tu... bolehlah kita mandi sama-sama. Lepas tu....” Hisyam tidak menghabiskan kata-katanya. Cuma tangannya menarik perlahan Idayu ke dalam pelukannya.
Idayu tertawa kecil. Tubuh Hisyam ditolak perlahan. “Ayu nak mandilah, bang.”
“Yalah. Abang pun nak mandi,” bisiknya perlahan sambil mencium telinga Idayu dengan lembut.
Ketukan bertalu-talu di pintu biliknya membuatkan ciuman Hisyam terhenti.
Idayu tersenyum meleret.
“Siapa pula tu?” rungut Hisyam sambil meleraikan pelukannya.
Idayu tergelak kecil melihat wajah Hisyam yang sedikit mencuka. Sambil merungut, dia mengorak langkah ke pintu. Daun pintu dibuka perlahan.
“Mak... kenapa?” Hisyam bertanya. Hairan melihat Puan Mariam tercegat di pintu biliknya.
“Dah tidur ke? Ni haaa… Syafiq nak tidur dengan mamanya pula,” ujar Puan Mariam sambil memandang ke arah Syafiq yang berdiri di sebelahnya.
Hisyam tersenyum melihat Syafiq yang menggosok mata menahan kantuk. Dia membongkok sambil mengangkat tubuh Syafiq. Syafiq terlentok di bahunya.
“Kenapa tak nak tidur dengan nenek?” soalnya sambil menggosok belakang Syafiq.
“Afiq nak mama...” rengek Syafiq seperti mahu menangis.
“Tak apalah mak. Mak pergilah sambung tidur. Dah lewat ni. Tak cukup tidur nanti, darah tinggi mak datang lagi.”
“Yalah,” ujar Puan Mariam sambil berlalu.
Hisyam menutup pintu bilik. Dia berpaling. Berlaga pandang dengan Idayu yang jelas menahan tawa. Dengan malas dia melangkah sambil mendukung Syafiq.
Idayu tergelak kecil sambil melangkah mendekati Hisyam yang sedang membaringkan Syafiq ke katil.
Melihat Idayu berada di hadapannya, Syafiq tidak banyak kerenah. Matanya terpejam perlahan-lahan.
Hisyam mengeluh perlahan sambil memandang wajah anaknya yang sudah lena.
“Syafiq… Syafiq… pandai betul rosakkan plan papa.” Rungut Hisyam sambil tersenyum. Jemarinya mengusap perlahan rambut Syafiq.
Idayu turut tersenyum sambil melangkah masuk ke dalam bilik air.

****

No comments:

Post a Comment

BAGAIMANA UNTUK MENDAPAT NOVEL INI?

Untuk mengetahui kesudahan kisah ini, segera dapatkan KUSERU RINDU ITU di rangkaian kedai buku MPH, Popular dan kedai-kedai berdekatan anda.

Anda juga boleh terus melanggan dengan Kaki Novel Enterprise melalui online ataupun pos. Untuk melanggan melalui online, sila layari laman web kami di:- www.kakinovel.com. Untuk melanggan melalui pos, anda hanya perlu tuliskan nama, alamat lengkap, no. telefon, tajuk novel yang ingin dilanggan dan jumlah naskhah berserta wang pos/ kiriman wang atas nama:-

KAKI NOVEL ENTERPRISE

dan poskan ke alamat berikut:-

Kaki Novel Enterprise

No. 33-2, Jalan Wangsa Delima 12,

D’Wangsa, Wangsa Maju,

53000 Kuala Lumpur.

No. Telefon:- 03-4149 0096 begin_of_the_skype_highlighting 03-4149 0096 end_of_the_skype_highlighting

No. Faks:- 03-4149 1196