KUSERU RINDU ITU

KUSERU RINDU ITU
Perkahwinan itu tiada kekurangan langsung.Hisyam bahagia menjadi suami kepada Idayu dan Idayu sepuluh kali bahagia bergelar isteri kepada lelaki yangdicintai sepenuh jiwanya itu, walau perkahwinan mereka bukan berlandaskan perasaan cinta pada mulanya. Kebahagiaan hampir menjadi sempurna dengan kehadiran seorang anak lelaki yang cukup keletah. Namun di pihak Hisyam, bagai ada satu kekosongan di hatinya. Kekosongan yang dia rasakan perlu diisi dengan kehadiran seorang gadis manis bernama Maisara. Maisara mengajarnya erti rindu. Maisara juga berjaya membawa debar di hatinya apabila mata saling bertaut. Yakin, itu adalah cinta yang dia cari, Hisyam nekad mahu bersama dengan Maisara. Namun… satu hakikat yang mula dia sedar, desakan demi desakan daripada Maisara agar Idayu disingkirkan di antara mereka, telah membuka satu dilema baru. Walau dia yakin hubungannya dengan Idayu hanya berlandaskan rasa tanggungjawab, satu kenyataan yang perlu dia hadapi… dia tidak mampu untuk berpisah dengan Idayu. Lalu, benarkah ada cinta yang mekar di hatinya untuk Maisara, dan benarkah juga hubungannya dengan Idayu hanya kerana tanggungjawab semata-mata? Mampukah dia menerima hancur sekeping hati milik Idayu dengan kecurangannya dan mampukah Maisara terus membawa bahagia di jiwanya? Siapakah sebenarnya yang benar-benar dia cinta?

“Saya sendiri tak pernah sangka Idayu boleh jadi sekeras ini. Salah saya, terlalu yakin dengan kelembutan dia. Dia tak pernah melawan. Dia selalu patuh dan mengalah pada saya. Selalu buat saya berasa dia akan selalu akur pada saya. Sekali terkena, terduduk saya. Rupa-rupanya saya masih belum kenal betul-betul siapa Idayu,”

Thursday, August 11, 2011

BAB 8

BAB 8

DARI jauh Hisyam memandang Syafiq yang berlari-lari anak menuju ke arahnya dan terus menerpa ke ribanya. Hisyam mengangkat tubuh kecil itu lalu didudukkan di atas pahanya.
Shahrul yang bersandar di kerusi di hadapan Hisyam, tersenyum kecil memerhatikan gelagat Syafiq itu.
“Papa, nak air.”
Hisyam mencapai cawan kopinya lalu disuakan ke mulut Syafiq. “Dah?”
Syafiq mengangguk sambil terlentok di dada Hisyam.
Hisyam tersenyum. Cawan di tangannya, diletakkan semula di atas meja.
“Mama mana?” soal Hisyam sambil mengusap rambut anak tunggalnya itu.
Syafiq menggeleng agak laju.
“Pergi cari mama. Papa nak cakap dengan pak su.”
“Tak nak. Mama marah Afiq,” adu Syafiq separuh merengek.
Shahrul tersenyum melihat gelagat anak kecil itu.
“Hah? Ya ke? Kenapa mama marah anak papa ni, ya? Apa yang anak papa dah buat ni?” soal Hisyam sambil memeluk tubuh kecil itu.
Syafiq tersenyum. Senang dipeluk mesra oleh Hisyam.
“Tell me. Kenapa mama marah?”
“Mama tak sayang Afiq.” Syafiq menarik muka masam.
Shahrul tergelak mendengar celoteh itu.
“Mana ada? Mama kan sayang Afiq. Afiq ada buat salah, ya?”
“Mana ada? Afiq cuma nak air. Air tumpah....”
“Afiq ambil sendiri, ya?”
Syafiq mengangguk.
“Patutlah mama marah. Kan mama selalu pesan... nak apa-apa mesti minta dengan mama. Jangan ambil sendiri. Kalau mama tak ada, minta dengan Nek Teh. Syafiq kecil lagi. Mana boleh ambil sendiri. Syafiq tak dengar cakap mama. Sebab tu mama marah. Salah siapa?”
“Afiq....” Syafiq menjawab perlahan sambil tunduk.
“So. What should you do now?”
“Say sorry....”
“So, pergi dekat mama and say sorry. Okay?”
“Okey,” jawab Syafiq sepatah.
Hisyam mencium kedua-dua belah pipi anaknya sebelum melepaskan rangkulannya. Dia memerhatikan Syafiq berlari-lari semula, masuk ke dalam rumah.
“Seronok kalau ada anak.”
Hisyam memandang ke arah Shahrul. Renungannya jatuh pada senyum lebar Shahrul. “Hai... takkan dah give up kut? Cubalah lagi. Mungkin belum ada rezeki.”
Shahrul tersenyum. “Memang tengah mencubalah ni.”
Hisyam tergelak kecil. Wajah Shahrul dipandang agak lama. Siapa sangka teman baiknya itu, kini menjadi birasnya. Menjadi suami kepada adik isterinya. Terasa kecilnya dunia ini. “Kau kahwin, baru dua tahun. Tak payahlah tension sangat fikir pasal ni. Ada orang dah sepuluh tahun kahwin, baru dapat anak. Don’t worry la.”
“Tak adalah sampai tension. Cuma, kalau ada rezeki cepat, lagi aku suka.”
Hisyam mengangguk sambil tersenyum kecil.
“Kau kata ada sesuatu nak cakap dengan aku. Apa dia?”
Mendengar soalan Shahrul, Hisyam mengeluh panjang. Dia membetulkan duduknya. Wajah Shahrul yang menanti bicaranya, dipandang sekilas. “This is between you and me. Aku harap kau boleh simpan rahsia ni.”
Shahrul turut membetulkan duduknya. Kata-kata Hisyam seolah-olah ada sesuatu perkara yang amat serius yang ingin dikongsikan.
“Bunyinya macam serius. Apa halnya ni?” soal Shahrul tidak sabar.
“I need to share this with someone. Sekurang-kurangnya untuk aku kurangkan stres aku.”
“Syam... just straight to the point. Kau ada masalah? Your business? Or what?” Cepat Shahrul membuat andaian.
“I am falling in love.”
Shahrul tergelak besar sebaik mendengar kata-kata Hisyam. Melihat wajah Hisyam yang sedikit resah membuat tawanya semakin menjadi-jadi.
“Hei! Janganlah gelak. Aku seriuslah!”
“Itu aku dah lama tahu. Kenapa sekarang baru nak beritahu aku?”
“Aku benar-benar dah jatuh cinta. Aku tak boleh nak elak. Tak mampu nak elak lagi. I can’t deny it.”
“So, what is the problem? She’s your wife. She earns for it.”
Hisyam pandang wajah ceria temannya itu.
“Bukan Idayu.” Perlahan Hisyam bersuara.
Gelak Shahrul mati tiba-tiba. Wajah Hisyam direnung lama. Tidak percaya dengan apa yang baru keluar dari mulut Hisyam. Berguraukah temannya itu? “You are making a joke. Right?”
“No. I’m not. Aku serius.”
Shahrul kehilangan kata-kata. Sukar untuk dia mempercayai apa yang sedang dia dengar sekarang. Perlahan dia mengangkat punggung. Mundar-mandir di hadapan Hisyam. Ligat kepalanya mencari sesuatu yang boleh dijadikan alasan untuk Hisyam berperasaan begitu. Buntu. Dia betul-betul buntu dengan luahan rasa Hisyam.
Hisyam pula, cuma berdiam diri. Setia menjadi pemerhati pergerakan Shahrul.
Langkah Shahrul terhenti. Dia memandang wajah Hisyam. Lama. Sungguh dia tidak berpuas hati dengan penjelasan Hisyam.
“Why?” Sudahnya hanya itu yang termampu dia ajukan.
Hisyam mengeluh panjang. “Jangan tanya aku soalan tu. Aku tak ada jawapannya.”
“Aku fikir kau dengan Ayu...”
“Aku pun berharap aku boleh mencintai Ayu. Berharap sangat-sangat. Tapi, aku tak cintakan dia. She’s my responsibility. She’s my wife. Ibu kepada anak aku,” jelas Hisyam perlahan.
“Tujuh tahun kau hidup dengan dia. Tak pernah ada masalah pun. Dia seorang perempuan yang baik, Syam. Seorang isteri yang baik. Mustahil kau tak ada perasaan pada dia. Dia tu isteri kau,” ucap Shahrul cuba menasihati.
Hisyam terdiam seketika. Jauh termenung mencari jawapan bagi kata-kata Shahrul yang sehingga sekarang tidak ditemui jawapannya. Padanya rasa cinta tidak pernah tumpah pada Idayu. “Aku jumpa seorang gadis yang boleh buat jantung aku berdebar bila dia pandang aku. Yang buat aku resah bila aku tak dapat melihat wajahnya. Yang membuat aku jadi tak tentu arah bila dia merajuk. Yang membuat aku rindu bila lama tak bertemu. Yang membuat aku rasa bahagia bila dapat bersamanya.”
“Idayu?”
Hisyam mengeluh lemah. “Perasaannya tak sama bila aku bersama Idayu. Lain. Kau tak tahu apa yang aku rasa. Bertahun-tahun aku mencari perasaan ini. Berharap sangat perasaan ini akan muncul cuma untuk Ayu. Tapi, tak. Perasaan ini muncul untuk orang lain.”
“Ayu? Sanggup kau lukakan hati Ayu?”
“No. Of course aku tak sanggup. Tapi, aku juga tak boleh ketepikan apa yang aku rasa ni... macam tu saja. I’ve been looking for this feeling for years.”
“Fikirkan sekali lagi. Mungkin itu hanya mainan perasaan saja. Lupakanlah, Syam. Jangan sampai kau menyesal nanti.”
Hisyam mengeluh panjang. Nasihat Shahrul terlalu berat padanya. “Cakap memang senang, Shah. Kau tak rasa apa yang aku rasa ni.”
Shahrul turut menarik nafas panjang. Wajah Hisyam dipandang buat seketika. “Kau renung sedalam mungkin. Aku tak percaya kau langsung tak ada perasaan pada Idayu.”
“She’s my wife. My responsibility. Aku cuba untuk mencintainya. Tapi, perasaan aku pada Idayu tidak sama dengan perasaan aku pada gadis tu. Aku bahagia bersama Ayu. Tapi, perasaan tu tak seindah bila aku bersama dengan dia.”
Shahrul menggeleng perlahan. Ternyata kejutan ini terlalu besar padanya. “Kasihan Idayu.”
“Aku tahu ini semua tidak adil pada Idayu. Aku pun tak akan sia-siakan dia macam tu saja. Walau apa pun, dia tetap isteri aku. Aku sayangkan dia.”
“Aku tak tahu nak cakap apa, Syam. I’m sorry.”
“Aku faham. Cuma satu yang aku minta. Aku harap kau boleh simpan rahsia ni.”
Shahrul cuma menjongketkan bahu. Mulutnya bagai terkunci. Hisyam juga tidak lagi bersuara. Sudahnya, masing-masing melayan perasaan sendiri.
“Assalamualaikum. Serius nampak? Apa yang dibincangkan ni?”
Hisyam tersentak. Segera dia menoleh. Dilihatnya Idayu sedang tersenyum lebar. “Waalaikumussalam.”
Idayu tersenyum lagi sambil memandang wajah Shahrul yang sedikit gusar. Kemudian memandang pula wajah Hisyam yang agak terkejut.
“It looks like, I’m not suppose to be here, right? Ayu pergi, ya?” ujar Idayu sambil meletakkan piring berisi hirisan epal dan mangga.
“No... no. Jangan pergi!” Pantas Hisyam mencapai tangan Idayu yang sudah mahu melangkah pergi.
Idayu memandang wajah Hisyam.
“Duduklah,” pelawa Hisyam lembut.
“Are you sure?” soal Idayu meminta kepastian.
Hisyam tersenyum sambil mengangguk.
Melihat anggukan itu, Idayu melabuhkan punggung ke kerusi. “Shah... kenapa berdiri saja?”
Shahrul cuba mengukir senyum mendengar soalan Idayu. Melihat wajah Idayu yang tidak tahu apa-apa, hatinya menjadi hiba. Idayu terus menjadi mangsa keadaaan. Tujuh tahun dulu, dia menjadi mangsa kepada permintaan dan impian mama dan abahnya. Kini, dia menjadi mangsa kecurangan seorang suami. Walaupun bukan itu niat Hisyam. Tetapi, apa yang berlaku pasti akan mengguris hati wanita ini.
“Juita buat apa kat dalam?” soalnya ragu-ragu.
“Tengok TV. Dengan Syafiq.”
“Kalau macam tu, saya nak pergi join mereka. Aku masuk dulu, Syam.” Shahrul bersuara sambil mengatur langkah. Dia tidak sanggup melihat Idayu. Hiba sungguh hatinya.
Hisyam sekadar memberi senyuman nipis sambil mengangkat tangan. Dia faham perasaan Shahrul.
“Kenapa dengan Shah tu?” soal Idayu setelah Shahrul sudah agak jauh melangkah.
“Tak ada apa-apa.”
“Pelik saja mukanya. Abang bincang apa dengan dia sebenarnya?”
“Tak ada apa-apa.”
“Takkan tak ada apa-apa? Abang sembunyikan sesuatu dari Ayu, ya?” soal Idayu sekadar menduga.
Hisyam tergelak kecil. Wajah Idayu yang penuh tanda tanya direnungnya. Rasa belas yang bertenggek di hati bagai tidak bertepi. Idayu tidak tahu apa-apa.
“Macam tahu-tahu pula, ya?” gurau Hisyam cuba menutup keresahan hatinya sendiri.
Idayu merenung wajah Hisyam. Tiba-tiba dia dilanda rasa ingin tahu. Apa yang Hisyam sembunyikan darinya? Apa yang dibincangkan sehingga wajah Shahrul setegang itu? “Apa dia? Beritahulah Ayu.”
“Tak ada apa-apalah. Abang gurau aje.”
“Abang! Janganlah main-main. Cakaplah apa dia....” Idayu bersuara separuh mendesak. Senyum Hisyam membuat rasa ingin tahunya lebih membuak-buak.
“Tak ada. Tak ada apa-apa. Abang acah saja,” ucap Hisyam mahu mengelak.
Idayu membuang pandang.
Hisyam pula tergelak kecil.
“Kalau tak ada apa-apa, kenapa Shah macam sedih saja?” Idayu bersuara perlahan. Seolah-olah soalan itu dia tujukan pada dirinya sendiri. Bukan lagi pada Hisyam.
Melihat wajah Idayu yang masih penuh dengan tanda tanya, Hisyam kembali serius.
“Shah cakap, dia teringin sangat nak jadi ayah. Dah tak sabar nak menunggu.” Akhirnya Hisyam bersuara. Tidak sampai hati melihat wajah itu terus disapa riak hairan sebegitu.
Idayu memandang wajahnya lama. “Ya ke?”
“Yalah. Kenapa? Tak percaya?”
“Bukan macam tu. Ayu percaya.”
Hisyam tersenyum lega. Sekurang-kurangnya Idayu tidak mengesyaki apa-apa.
“Abang suruhlah Shah pergi honeymoon sekali lagi. Mana tahu ada rezeki.”
Hisyam tergelak kecil. “Daripada suruh mereka pergi second honeymoon, baik kita yang pergi. Mana tahu kalau ada rezeki, Syafiq dapat adik. But, make sure it’s a girl. Biar jadi sepasang. Boleh?”
“Abang ni... Ayu seriuslah. Kadang-kadang kalau dua-dua dah sibuk dengan kerja, susah juga. Abang remind Shah pasal ni, ya.”
“Pasal ni? Pasal apa?”
“Second honeymoon, la....”
“Oh... tak payah. Tahulah mereka apa nak buat. Tak payah masuk campur hal rumah tangga orang. Okey?” Hisyam bersuara sambil menarik perlahan hidung Idayu.
Idayu menjeling manja, membuat Hisyam tersenyum senang. “I’ll talk to Juita.”
“Cakap apa?” tanya Hisyam.
“About that suggestion. Saling mengingatkan, tak salah, kan?”
“Okay. You win. I surrender.”
Idayu tersenyum manis.
Hisyam menggeleng. Dalam lembut, kalau datang keras kepalanya, memang tidak boleh dilawan. Itulah Idayu.
“Jom masuk bang. Dah nak dekat maghrib ni.”
Hisyam mengangguk lalu bangkit.
Idayu turut bangkit sambil mencapai semula piring berisi hirisan epal dan mangga yang belum berusik.
“Nak satu,” minta Hisyam sambil memaut pinggang Idayu.
“What? Apple or mango?”
Untuk seketika Hisyam menikmati seraut wajah Idayu.
“Your lips,” bisiknya cukup romantis.
Perlahan jemari Idayu mencubit perut Hisyam membuat lelaki itu tertunduk menahan sakit.
“Auch! Sakitlah. Abang nak mango.”
Idayu tergelak sambil mengambil satu hirisan mangga lalu disuap ke mulut Hisyam.
“Thanks.” Ujar Hisyam perlahan sambil menarik jemari Idayu ke bibirnya.
Idayu tersenyum tanpa suara.

No comments:

Post a Comment

BAGAIMANA UNTUK MENDAPAT NOVEL INI?

Untuk mengetahui kesudahan kisah ini, segera dapatkan KUSERU RINDU ITU di rangkaian kedai buku MPH, Popular dan kedai-kedai berdekatan anda.

Anda juga boleh terus melanggan dengan Kaki Novel Enterprise melalui online ataupun pos. Untuk melanggan melalui online, sila layari laman web kami di:- www.kakinovel.com. Untuk melanggan melalui pos, anda hanya perlu tuliskan nama, alamat lengkap, no. telefon, tajuk novel yang ingin dilanggan dan jumlah naskhah berserta wang pos/ kiriman wang atas nama:-

KAKI NOVEL ENTERPRISE

dan poskan ke alamat berikut:-

Kaki Novel Enterprise

No. 33-2, Jalan Wangsa Delima 12,

D’Wangsa, Wangsa Maju,

53000 Kuala Lumpur.

No. Telefon:- 03-4149 0096 begin_of_the_skype_highlighting 03-4149 0096 end_of_the_skype_highlighting

No. Faks:- 03-4149 1196