KUSERU RINDU ITU

KUSERU RINDU ITU
Perkahwinan itu tiada kekurangan langsung.Hisyam bahagia menjadi suami kepada Idayu dan Idayu sepuluh kali bahagia bergelar isteri kepada lelaki yangdicintai sepenuh jiwanya itu, walau perkahwinan mereka bukan berlandaskan perasaan cinta pada mulanya. Kebahagiaan hampir menjadi sempurna dengan kehadiran seorang anak lelaki yang cukup keletah. Namun di pihak Hisyam, bagai ada satu kekosongan di hatinya. Kekosongan yang dia rasakan perlu diisi dengan kehadiran seorang gadis manis bernama Maisara. Maisara mengajarnya erti rindu. Maisara juga berjaya membawa debar di hatinya apabila mata saling bertaut. Yakin, itu adalah cinta yang dia cari, Hisyam nekad mahu bersama dengan Maisara. Namun… satu hakikat yang mula dia sedar, desakan demi desakan daripada Maisara agar Idayu disingkirkan di antara mereka, telah membuka satu dilema baru. Walau dia yakin hubungannya dengan Idayu hanya berlandaskan rasa tanggungjawab, satu kenyataan yang perlu dia hadapi… dia tidak mampu untuk berpisah dengan Idayu. Lalu, benarkah ada cinta yang mekar di hatinya untuk Maisara, dan benarkah juga hubungannya dengan Idayu hanya kerana tanggungjawab semata-mata? Mampukah dia menerima hancur sekeping hati milik Idayu dengan kecurangannya dan mampukah Maisara terus membawa bahagia di jiwanya? Siapakah sebenarnya yang benar-benar dia cinta?

“Saya sendiri tak pernah sangka Idayu boleh jadi sekeras ini. Salah saya, terlalu yakin dengan kelembutan dia. Dia tak pernah melawan. Dia selalu patuh dan mengalah pada saya. Selalu buat saya berasa dia akan selalu akur pada saya. Sekali terkena, terduduk saya. Rupa-rupanya saya masih belum kenal betul-betul siapa Idayu,”

Thursday, August 11, 2011

BAB 13

BAB 14






            Hisyam memandang jam di tangan. Sudah hampir pukul 8.30 malam. Bayang Maisara masih juga belum kelihatan. Dia sudah mula dijentik rasa resah. Resah memikirkan apa jawapan yang harus dia berikan seandainya Idayu bertanya tentang kelewatannya nanti. Dia yakin isterinya itu tidak akan bertanya. Namun, dia tetap gusar. Gusar memikirkan tetap ada kemungkinan untuk Idayu menyelidikinya. Idayu berhak untuk bertanya ke mana dia pergi. Dia akui hak itu. Lantaran itu, dia dilanda resah. Sebolehnya dia tidak  mahu mereka segunung alasan yang akhirnya akan memaksa dia berbohong pada Idayu. Dia tidak mahu berbohong pada Idayu.
            “Assalamualaikum,”
            Hisyam sedikit tersentak. Lamunannya menjauh. Maisara tersenyum sambil melabuhkan punggung ke kerusi.
            “Waalaikummussalam,”
            Sorry Sara lewat sikit. Lama ke abang tunggu?,”
            “Taklah. Abang pun baru sampai,”
            Maisara tersenyum lagi.
            “Sara apa khabar?,”soal Hisyam sambil merenung wajah gadis itu. Rindunya seakan terbayar tatkala matanya menyapu seraut wajah ayu Maisara.
            “Sihat. Kenapa tiba-tiba abang ajak Sara keluar malam ni? Selalunya abang tak suka nak keluar malam-malam macam ni,”
            “Sebab abang rindukan Sara…,”
            Maisara diam. Matanya memandang wajah Hisyam yang tenang. Kata-kata Hisyam membuat hatinya berkocak hebat. Bahagianya mendengar bicara –bicara romantis itu. Bagaimana mungkin dia boleh melupakan lelaki ini? Segala-galanya tentang lelaki ini, membuat dia berasa amat bahagia. Walaupun kadang-kadang dia terpaksa menolak egonya ke tepi demi lelaki ini..
            “Kalau rindu, kenapa abang buat Sara macam ni? Abang tak kasihankan Sara ke?,”
            “Sara pun tahu sebabnya kan?,”Hisyam bersuara sambil memandang wajah Maisara. Maisara tunduk. Nampaknya Hisyam tidak akan mengalah. Hisyam tidak akan meminta maaf padanya. Hisyam tidak akan menerima cadangannya. Keadaan memaksa dia yang mengalah. Kalau dia benar-benar cintakan Hisyam, dia terpaksa akur dengan kehendak lelaki itu.
            “Abang… Sara minta maaf. Sara tak patut cakap macam tu tempoh hari. Sara mengaku Sara salah. Sara pentingkan diri sendiri,”
            Hisyam tersenyum. Lega apabila Maisara sudah dapat menerima kenyataan situasi cinta mereka.
            “Kan Sara dah minta maaf by phone. Tak perlu minta maaf lagi. Cuma abang harap, lain kali Sara jangan cakap macam tu lagi,”
            Maisara tersenyum lega. Tiada lagi marah Hisyam padanya. Walaupun sukar untuk akur pada permintaan Hisyam, namun, saat ini dia tidak boleh membantah. Dia tidak sanggup kehilangan Hisyam. Tidak sanggup kehilangan cinta Hisyam.
            “Sara nak makan?,”
            Maisara menggeleng perlahan.
            “Tak nak. Lagipun, Sara tahu, abang mesti nak pulang cepat. Kan?,”
            Hisyam diam seketika. Lega apabila Maisara seakan-akan memahami setuasinya.
            “Sejujurnya memang betul abang nak cepat. Abang tak nak tipu Sara dan isteri abang. Tapi, kalau Sara nak makan, abang boleh tunggu,”Hisyam bersuara sejujurnya.
Maisara tersenyum sinis. Sikap berterus-terang Hisyam kadang-kadang membuat dia sakit hati. Rasanya lebih baik sesekali Hisyam membohonginya dengan memberi kata-kata manis untuk dia dengar. Namun, itulah Hisyam. Apa yang meniti di bibir lelaki itu adalah biasan dari hatinya. Lelaki itu tidak berpura-pura. Kalaulah dia mampu membenci lelaki ini, pasti hatinya tidak sesakit ini.
            “Abang berbohong dengan abang berahsia… apa bezanya? Bagi Sara semua tu sama saja. Tak ada bezanya. Sama ada abang menipu atau abang berahsia, abang tetap menyakiti hati orang sekeliling abang. Tak ada bezanya, bang,”
            “Berahsia…tiada sesiapa yang tahu. Berbohong… seseorang mesti tahu. Tapi, apa yang dia tahu bukan perkara sebenar yang dia patut tahu. Itu bezanya,”
            Maisara tersenyum sinis.
            “Bila dah terbongkar tetap menyakitkan hati. Kan?,”perli Maisara dalam lembut.
            “Mana yang lebih menyakitkan? Sesuatu yang dirahsiakan atau… perasaan kita bila tahu kita ditipu?,”
            Maisara mengangkat bahu dengan wajah yang cukup selamba. Baginya tiada beza langsung. Namun, dia lebih suka mendiamkan diri. Tidak mahu mencetuskan ketegangan dengan Hisyam.
            “Mak Sara nak jumpa abang,”Maisara mengubah topik perbualan secara tiba-tiba. Membuat Hisyam sedikit terperanjat. Matanya tidak berkelip memandang wajah Maisara yang cukup bersahaja.
            “Sara dah beritahu keluarga Sara ke?,”
            Yes. Kenapa? Anything wrong?,”
            No. Tak ada apa yang salah. Cuma, tak terlalu cepat ke?,”
            “Abang…Kan Sara dah cakap, Sara nak kita nikah secepat yang mungkin. Dah tiba masanya untuk kita fikirkan soal hubungan kita ni dengan serius. Dah tiba masanya untuk abang berterus-terang dengan isteri abang,”
            “Nantilah…,”
            “Abang…Abang tak ada pilihan. Kalau ada pun hanya dua pilihan saja. Sama ada abang terus berahsia dan belajar berbohong. Atau abang tak usah lagi berahsia. Biarkan kebenaran yang muncul. Abang kena ingat. Bila kita bermain kayu tiga, rahsia dan pembohongan itu datang dalam satu pakej. Abang tak boleh pisahkan pakej tu. Pilihan yang abang ada, cuma... abang terima pakej itu dan jadi pembohong yang baik, atau pun abang tolak pakej itu. Dan biarkan isteri abang tahu segala kebenaran tentang hubungan kita. It just as simple as that,”
            “Sara… kan abang dah beritahu. Abang perlukan masa,”
            “Masa…masa… masa… Itu sajalah alasan abang,”
            “Sara…,”
            “Sara rasa kita dah bincang pasal ni, bang. Abang kena ingat, kalau Sara dah bosan menunggu, Sara sendiri yang akan berterus-terang dengan isteri abang,”
            Hisyam tersandar ke kerusi. Terdiam dengan petah mulut Maisara menjawab. Juga buntu memikirkan permintaan Maisara. Bukan dia tidak mahu. Malah permintaan Maisara juga menjadi impiannya. Siapa yang ingin bercinta selamanya? Dia ingin mengakhiri percintaan itu dengan ikatan perkahwinan. Cuma, entah kenapa sehingga ke saat ini, perasaan bimbang kalau-kalau perasaan Idayu akan terluka lebih membara daripada perasaan cintanya pada Maisara.
            “Sara tak suka tengok muka abang macam ni, tau. Bila Sara sebut saja pasal ni, muka abang mesti berubah tiba-tiba,”
            “Maafkan abang, sayang. Kadang-kadang abang jadi buntu. Tapi, abang akan cuba sedaya upaya. Abang pun nak sangat kita kahwin. Sara sabarlah ya,”
            Maisara mengeluh panjang. Wajah Hisyam yang sedikit resah direnung lama.
            “Kata tak cintakan dia. Tapi, susah sangat nak berterus-terang. Entah-entah abang tipu Sara, tak? Cakap tak cinta, padahal setengah mati cintakan isteri abang tu,”
            Hisyam tersenyum kecil. Dia tahu Maisara merajuk. Dia tahu Maisara berjauh hati. Perlahan dia menggenggam jemari Maisara.
            “Abang tak boleh nak paksa Sara percayakan abang. Tapi, macam yang abang cakap tadilah, abang tak suka berbohong. Jadi, terserah pada penilaian Sara sendiri. Abang tak mahu paksa,”
            Maisara mengeluh lagi.
            “Bukan Sara tak percaya. Tapi, entahlah. Makin lama sikap abang makin meragukan. Abang buat Sara takut. Cuma satu saja yang Sara harapkan dari abang,”
            “Apa dia?,”
            “Sara harap, abang betul-betul nak kahwin dengan Sara,”
            “Abang serius. Berapa kali lagi abang nak kena ulang benda yang sama ni?,”
            “Kalau abang serius, kita jumpa mak Sara. Okay?,”
            Hisyam menarik nafas panjang. Permintaan Maisara belum boleh dia penuhi. Genggaman di jemari Maisara, dileraikan perlahan-lahan.
            “Esok? Boleh?,”sambung Maisara apabila melihat kebisuan Hisyam.
            “Abang memang nak jumpa mak Sara. Tapi, bukan sekarang. Lagipun, esok tak boleh. Abang ada hal,”
            “Banyaknya alasan abang. Hal apa? Esok kan, hari minggu,”
            “Abang kena balik Terengganu,”
            “Terengganu? Kenapa?,”
            Family matter,”
            Maisara tersenyum sinis. Sakitnya hati mendengar jawapan itu. Dia faham maksud kata-kata Hisyam. Pasti Hisyam ke Terengganu bersama isteri dan anaknya.
            “Oh.. family matter. Tak payah beritahu Sara dululah ya? Terus pergi macam tu saja? Tak apalah. Sara faham. Siapalah Sara ni, kan? Kalau nak dibandingkan dengan isteri kesayangan abang tu. Kan?,”sindir Maisara dengan wajah yang mencuka. Ternyata sikap Hisyam betul-betul membuat dia berjauh hati. Terasa Hisyam ketepikan dirinya di dalam segala hal.
            “Sara.. Kenapa cakap macam tu?,”
            “Dah tu? Sara nak cakap macam mana lagi? Abang memang tak akan beritahu Sara, kan? Kalau kita tak bercakap pasal mak Sara, Sara tak akan tahu, kan? Abang… Sara ingin menjadi sebahagian daripada hidup abang. Tak boleh ke, bang? Tak boleh ke abang kongsikan sikit dengan Sara? Jangan ketepikan Sara seolah-olah Sara ni, tak ada apa-apa makna pun dalam hidup abang. Sara sedihlah bila abang buat Sara macam ni,”
            No. I’m not. Abang tak pernah ketepikan Sara. In fact, itulah sebabnya kenapa abang ajak Sara keluar malam ni. Abang nak beritahu, esok abang pergi ke Terengganu. Mungkin dalam empat atau lima hari. Tapi, nampaknya kesempatan itu tak ada. Sara lebih suka ajak abang bertengkar,”
            Maisara terdiam. Hisyam cuba mengukir senyum. Menyentuh lembut jemari gadis itu.
            “Sara lebih suka ajak abang bertengkar daripada nak dengar apa yang abang nak cakap pada Sara,”
            Satu keluhan kecil meniti di bibir Maisara. Redup renungannya memanah mata Hisyam.
            “Betul ke ni?,”
            “Betul sayang. Sekarang, senyumlah sikit. Dah lama tak tengok bibir tu tersenyum. Rindu,”
            Dalam marah, Maisara tersenyum mendengar kata-kata Hisyam. Bab memujuk, Hisyam memang pakar. Melihat senyuman Maisara, Hisyam tersenyum lega.
            I love you,”bisiknya perlahan sambil merenung ke dalam mata Maisara. Maisara cuma mampu tersenyum mendengar kata-kata keramat itu. Kata-kata yang membuat hatinya semakin dekat dengan Hisyam.
            “Kalau Sara boleh tahu… urusan apa yang abang maksudkan family matter tu?,”
            “Nak hadiri majlis perkahwinan teman rapat,”
            “Sampai empat lima hari? Lamanya. Macam abang pula yang jadi pengantinnya,”
            Hisyam tersenyum lucu. Dia menggeleng perlahan melihat muka Maisara yang memuncung lagi.
            “Dah lama Idayu tak balik Terengganu. Jadi, kami singgah rumah adik dia, di sana,”
            Maisara membuang pandang. Entah kenapa, hatinya sakit mendengar nama itu meniti di bibir Hisyam. Betul tekaannya tadi.
            “Jadi, abang balik dengan isteri kesayangan abang ya?,”
            Hisyam tersenyum.
            “Yalah. Abang balik dengan isteri abanglah,”
            “Takkan sampai empat lima hari? Lama tu. Asyik habiskan masa dengan isteri abang saja. Sara ni… terpinggir je. Nak jumpa pun, asyik kejar masa saja. Kadang-kadang Sara rasa ini semua tak adil tau. Tak adil pada Sara,”
            “Sabarlah,”
            “Lepas kita kahwin pun, abang akan layan Sara macam ni ke?,”soal Maisara sambil memandang wajah Hisyam. Entah kenapa. Sejak kebelakangan ini dia berasa cukup tercabar dengan layanan Hisyam pada isterinya. Tumpuan Hisyam cuma pada Idayu. Bukan padanya. Walhal bibir Hisyam tidak putus mengungkapkan kata cinta untuknya.
            “Layan macam mana? Abang tak faham maksud Sara,”
            “Sentiasa ditinggalkan. Dan… sentiasa menjadi pilihan terakhir,”
            Hisyam merenung wajah Maisara yang mencuka. Dia diam. Malas menjawab pertanyaan Maisara. Tidak tahu apa puncanya, sejak kebelakangan ini, setiap bicara Maisara pasti mengundang perselisihan faham.
            “Kenapa abang diam?,”
            Hisyam meraup wajahnya sambil mengeluh penjang. Matanya terus meneliti wajah cemburu Maisara.
            Hello…I’m talking to you,”Maisara bersuara sambil melambai tangan di hadapan muka Hisyam. Geram melihat Hisyam yang tenang tanpa sebarang reaksi. Hisyam tersenyum kecil melihat gelagat Maisara.
            “Abang…. Sara bercakap ni,”
            I know,”
            “Dah tu.. kenapa tak jawab?,”
            “Abang tak nak kita asyik bertengkar. Abang tak suka,”
            Maisara diam.
            “Kita jarang dapat berjumpa macam ni. Abang tak nak bazirkan masa kita dengan pertengkaran yang tak bawa kita ke mana-mana. Abang jumpa Sara sebab abang rindukan Sara. Bukan sebab abang nak bertengkar dengan Sara,”
Maisara tunduk perlahan. Kata-kata Hisyam ada benarnya. Dalam payah dia mengukir senyum. Jemarinya perlahan mencari tangan Hisyam. Mengusap perlahan tangan lelaki itu.
            I’m sorry…,”ujarnya perlahan.
            Hisyam tersenyum sambil membalas genggaman erat jemari Maisara.
            “Abang kat Terengganu, mesti Sara rindukan abang,”
            I’ll call you,”
            Dalam hati yang cukup sakit, Maisara mengukir senyum.



****

No comments:

Post a Comment

BAGAIMANA UNTUK MENDAPAT NOVEL INI?

Untuk mengetahui kesudahan kisah ini, segera dapatkan KUSERU RINDU ITU di rangkaian kedai buku MPH, Popular dan kedai-kedai berdekatan anda.

Anda juga boleh terus melanggan dengan Kaki Novel Enterprise melalui online ataupun pos. Untuk melanggan melalui online, sila layari laman web kami di:- www.kakinovel.com. Untuk melanggan melalui pos, anda hanya perlu tuliskan nama, alamat lengkap, no. telefon, tajuk novel yang ingin dilanggan dan jumlah naskhah berserta wang pos/ kiriman wang atas nama:-

KAKI NOVEL ENTERPRISE

dan poskan ke alamat berikut:-

Kaki Novel Enterprise

No. 33-2, Jalan Wangsa Delima 12,

D’Wangsa, Wangsa Maju,

53000 Kuala Lumpur.

No. Telefon:- 03-4149 0096 begin_of_the_skype_highlighting 03-4149 0096 end_of_the_skype_highlighting

No. Faks:- 03-4149 1196