KUSERU RINDU ITU

KUSERU RINDU ITU
Perkahwinan itu tiada kekurangan langsung.Hisyam bahagia menjadi suami kepada Idayu dan Idayu sepuluh kali bahagia bergelar isteri kepada lelaki yangdicintai sepenuh jiwanya itu, walau perkahwinan mereka bukan berlandaskan perasaan cinta pada mulanya. Kebahagiaan hampir menjadi sempurna dengan kehadiran seorang anak lelaki yang cukup keletah. Namun di pihak Hisyam, bagai ada satu kekosongan di hatinya. Kekosongan yang dia rasakan perlu diisi dengan kehadiran seorang gadis manis bernama Maisara. Maisara mengajarnya erti rindu. Maisara juga berjaya membawa debar di hatinya apabila mata saling bertaut. Yakin, itu adalah cinta yang dia cari, Hisyam nekad mahu bersama dengan Maisara. Namun… satu hakikat yang mula dia sedar, desakan demi desakan daripada Maisara agar Idayu disingkirkan di antara mereka, telah membuka satu dilema baru. Walau dia yakin hubungannya dengan Idayu hanya berlandaskan rasa tanggungjawab, satu kenyataan yang perlu dia hadapi… dia tidak mampu untuk berpisah dengan Idayu. Lalu, benarkah ada cinta yang mekar di hatinya untuk Maisara, dan benarkah juga hubungannya dengan Idayu hanya kerana tanggungjawab semata-mata? Mampukah dia menerima hancur sekeping hati milik Idayu dengan kecurangannya dan mampukah Maisara terus membawa bahagia di jiwanya? Siapakah sebenarnya yang benar-benar dia cinta?

“Saya sendiri tak pernah sangka Idayu boleh jadi sekeras ini. Salah saya, terlalu yakin dengan kelembutan dia. Dia tak pernah melawan. Dia selalu patuh dan mengalah pada saya. Selalu buat saya berasa dia akan selalu akur pada saya. Sekali terkena, terduduk saya. Rupa-rupanya saya masih belum kenal betul-betul siapa Idayu,”

Thursday, August 11, 2011

BAB 4


 BAB 4


“MAMA... nak air.”
Idayu menghulurkan gelas berisi Milo ais ke mulut Syafiq. Tanpa dipinta, bibirnya terukir senyum melihat Syafiq menyedut Milo ais dengan agak rakus. Barangkali nasi goreng yang dimakannya agak pedas.
“Afiq, careful. Nanti tersedak.” Hisyam bersuara.
“Kenapa? Pedas ke?” Idayu bertanya lembut.
Laju kepala Syafiq mengangguk.
“Pedas. Pedas sangat-sangat!” jawab Syafiq sebaik selesai menyedut Milo sejuk itu.
Idayu tergelak kecil. Sambil tersenyum lucu, Idayu bersuara, “dah nak habis nasi goreng ni baru terasa pedas, ya?”
Syafiq tersengih.
“Dia dah kenyanglah tu. Takut orang paksa habiskan makanan tu, itu yang tiba-tiba nasi goreng jadi pedas tu.” Mak Teh menyampuk.
Hisyam dan Idayu sama-sama tergelak mendengar kata-kata Mak Teh.
Melihat keceriaan pasangan suami isteri itu, dada Mak Teh berasa lapang. Doanya cuma satu. Biarlah kebahagiaan rumah tangga majikannya itu kekal untuk selamanya. Dia pernah menjadi saksi ketegangan rumah tangga Hisyam dan Idayu satu ketika dahulu. Dia pernah menyaksikan satu sandiwara yang dilakonkan oleh Hisyam dan Idayu. Apa yang dia harapkan, biarlah kemurungan Idayu kebelakangan ini, bukan disebabkan oleh krisis perkahwinan mereka. Dia terlalu sayangkan Hisyam dan Idayu. Terlalu banyak jasa yang ditabur oleh Hisyam dan Idayu kepadanya.
“Mak Teh, kenapa? Tak sihat ke?” tegur Idayu apabila pandangannya tersapa pada Mak Teh yang jauh mengelamun.
Teguran itu menyedarkan Mak Teh daripada lamunan. Dia tersenyum sambil menggeleng perlahan.
“Dah tu, kenapa termenung saja? Makanan tu tak sedap, ya? Nak tukar yang lain ke?” Idayu bersuara lagi.
“Bukan. Tak. Tak ada apa-apa. Mak Teh cuma senang tengok Syam dengan Ayu macam ni. Kalau tujuh tahun dulu, risau Mak Teh tengok kamu berdua. Tapi, sekarang Mak Teh lega. Mak Teh doakan kamu berdua bahagia sampai bila-bila.”
“Hai... Mak Teh. Kenapa tiba-tiba jadi sentimental ni?” soal Hisyam separuh bergurau.
Mak Teh tergelak kecil menanggapi kata-kata Hisyam.
“Mak Teh tak ada sesiapa pun kat dunia ni. Mak Teh cuma ada kamu berdua saja. Dan kamu... kamu berdua layan Mak Teh macam ahli keluarga sendiri. Terima kasih, Syam... Ayu,” ujarnya sayu bercampur terharu.
“Mak Teh, kenapa cakap hal yang sedih-sedih pada hari istimewa ni?” Idayu bersuara sambil menyentuh lembut jemari orang tua itu. Sedikit terkesan dengan kata-kata wanita itu.
“Hari istimewa? Hari istimewa apa?” Mak Teh bertanya dengan nada hairan. Senyuman yang terukir di bibir Idayu dan Hisyam, menambahkan lagi rasa hairannya.
“Kenapa? Ayu mengandung ke? Kalau betul, syukur alhamdulillah. Tak lama lagi Syafiq dapat adiklah, ya? Harap-harap perempuanlah, ya? Biar jadi sepasang.”
Idayu tergelak mendengar tekaan Mak Teh yang meleset sama sekali. Serentak dengan derai tawa Hisyam.
“Afiq ada adik? Betul ke mama? Mana adik Afiq?” Syafiq menyampuk di tengah-tengah perbualan tiga orang dewasa di hadapannya.
“No. Nek Teh tersalah cakap,” terang Idayu sambil mengusap pipi Syafiq.
Anak kecil itu mengeluh perlahan sambil menggeleng-gelengkan kepala. Lagak seolah-olah kesal dengan kesilapan Mak Teh. Saling tidak tumpah dengan lagak Hisyam apabila lelaki itu tidak berpuas hati dengan satu-satu perkara. Melihat aksi anak kecil itu, tawa mereka makin berpanjangan.
“Kalau bukan itu yang istimewanya, apa lagi yang istimewa?” Mak Teh terus bertanya. Inginkan kepastian.
“Mak Teh, selamat menyambut hari ulang tahun kelahiran yang kelima puluh lapan,” ujar Hisyam setelah tawanya reda.
Mak Teh tergamam. Rupa-rupanya makan malam ini adalah untuk meraikan hari ulang tahun kelahirannya yang dia sendiri tidak ingat. Wajah Hisyam dan Idayu dipandang bergilir-gilir. Rasa terharu terasa menyesakkan dadanya. “Hari jadi Mak Teh?”
“Ya. Selamat hari jadi dan saya doakan Mak Teh dipanjangkan usia dan diberikan kesihatan yang baik.” Idayu bersuara mengiakan kata-kata suaminya.
Mak Teh tidak bersuara. Bibir matanya terasa berat. Tiada kata-kata yang mampu dia ungkapkan. Seperti tahun-tahun lalu, Hisyam dan Idayu mengingati tarikh kelahirannya. Cukup untuk membuktikan betapa kedua-dua insan itu terlalu mengambil berat tentang dirinya. Dengan statusnya sekadar pembantu rumah, perhatian sebegitu memang amat bermakna. Tiba-tiba dia terasa dia tidak lagi keseorangan di dunia ini.
“Terima kasih sebab ingat hari lahir Mak Teh. Mak Teh sendiri pun tak ingat.” Akhirnya Mak Teh bersuara dengan nada yang amat perlahan.
“Dan... kami ada sesuatu untuk Mak Teh.”
Mak Teh memandang ke arah Hisyam. “Apa lagi Syam? Kamu berdua ingat hari lahir Mak Teh, itu pun dah cukup bererti pada Mak Teh. Tak usahlah bagi apa-apa lagi. Tiap-tiap tahun, kamu tak pernah lupa tarikh ni. Mak Teh tak tahu nak cakap apa. Syukur pada Allah kerana Mak Teh diberikan majikan sebaik kamu berdua.”
Hisyam tersenyum. Dia mengeluarkan sampul surat dari poket kemejanya. “Ini untuk Mak Teh.”
“Syam... tak payah susah-susah. Mak Teh tak nak apa-apa. Mak Teh cuma nak terus menumpang kasih di rumah kamu. Itu saja.”
“Ambillah Mak Teh. Ini pemberian kecil dari kami untuk Mak Teh. Mak Teh dah banyak membantu kami sekeluarga. Malah, kami dah anggap Mak Teh macam keluarga kami sendiri. Terima, ya?”
Perlahan Mak Teh mengambil sampul di tangan Hisyam.
“Bukalah nek. Afiq pun nak tengok hadiah Nek Teh. Tapi... kenapa hadiah Nek Teh kecik sangat, mama?” Syafiq bersuara tiba-tiba.
Mak Teh akur. Sampul surat dibuka. Sekeping cek di dalamnya dikeluarkan. Bulat matanya melihat angka lima ribu yang tertulis di atas cek tersebut. “Syam... untuk apa semua ni?”
“Mak Teh boleh buat apa saja. Mungkin Mak Teh boleh simpan dalam Tabung Haji. Mak Teh kan dah lama berhajat nak ke Tanah Suci, kan?”
“Tapi, Mak Teh kan ada simpanan. Duit gaji Mak Teh tu pun, bukan banyak sangat berusik. Ini... banyak sangat ni,” balas Mak Teh berat hati.
“Ambillah Mak Teh. Mak Teh berhak,” ujar Hisyam pendek.
“Terima kasih, Syam... Idayu.”
Idayu tersenyum sambil mengusap jemari Mak Teh.
Air mata Mak Teh menitis tanpa sedar. Air mata kesyukuran dan kegembiraan.
“Hai... papa ni.” Suara Syafiq tiba-tiba menarik perhatian semua di meja makan itu.
Hisyam mengerutkan kening sambil memandang wajah anak lelakinya itu. “Kenapa Afiq?”
“Papa ni pun satu. Nape bagi hadiah kertas aje? Tengok Nek Teh dah menangis. Cian Nek Teh. Takpe Nek Teh. Buang aje la hadiah papa tu. Nek Teh main mainan Afiq aje nanti.” Syafiq mengomel apabila melihat Nek Tehnya menitiskan air mata.
Kata-kata Syafiq itu membuatkan mereka semua ketawa geli hati.
“Gelak pulak orang cakap.” Dalam pelat Syafiq menyambung omelannya sambil mulutnya memuncung.
Hisyam dan Idayu tersenyum.
“Syafiq dah mengantuk tu.” Mak Teh bersuara apabila melihat Syafiq sudah mula menguap.
“Kalau macam tu, kita pulang sekarang?” soal Hisyam sambil memandang wajah Idayu.
Idayu cuma mengangguk.
“Come Syafiq. Kita balik.” Hisyam mendukung Syafiq setelah menjelaskan bayaran makan malam mereka.
Syafiq cuma menurut.
Idayu dan Mak Teh turut mengangkat punggung.
“Ayu.”
Idayu tidak jadi melangkah. Dia berpaling ke arah satu suara yang memanggil namanya. Sebaik sahaja berlaga pandang dengan si pemilik suara, sekuntum senyuman yang cukup lebar menghiasi bibirnya.
“Mieza.” Nama itu terucap di bibirnya sambil terus memeluk teman yang berdiri di hadapannya itu.
Hasmieza membalas rangkulan Idayu. Rangkulan mesra itu dilepaskan. Idayu memandang wajah Hasmieza. Bertemu Hasmieza di sini, memang di luar jangkaannya.
“Apa kau buat di sini?” soalnya riang.
Hasmieza tersenyum senang. “Aku ada kursus di sini. Saja keluar makan.”
Senyum terus terhias di bibir Idayu sambil dia berpaling mencari wajah Hisyam. “Abang... ingat Mieza?”
“Of course abang ingat. Apa khabar?” sapa Hisyam bersama senyuman manis.
“Baik,” balas Hasmieza sambil tersengih.
“Kau kat sini, tapi tak call aku pun. Sampai hati kau, ya?” Idayu bersuara dengan nada seperti merajuk.
Hasmieza tergelak kecil seraya menampar perlahan bahu Idayu.
“Memang aku nak call sebab aku memang nak jumpa kau pun. Ada hal penting. Tapi tak sempat call, dah terjumpa kat sini.”
“Hal penting? Apa dia?” tanya Idayu tidak sabar.
“Ayu... abang tunggu di kereta, ya. Afiq dah nak lena ni. Mak Teh, jom.” Hisyam bersuara. Sengaja mahu memberi peluang dua sahabat itu berbual-bual.
Idayu mengangguk.
“Sporting Hisyam tu, ya?” ujar Hasmieza setelah agak jauh Hisyam dan Mak Teh meninggalkan mereka.
Idayu tersenyum.
“So, apa hal yang penting tu?” soal Idayu mengulangi pertanyaannya tadi.
“Aku tak nak cakap sekarang. Lagipun tak seronok jumpa macam ni. Tergesa-gesa. Nak bercerita panjang pun tak boleh. Apa kata kita jumpa esok? Boleh berbual panjang.”
“Kau ni... selalu macam tu. Suka buat aku suspenslah. Mesti aku tak boleh tidur malam ni. Kita jumpa esok, tapi... hal yang penting tu... beritahulah sekarang.”
Hasmieza mencemik. “No. Sabarlah. Tunggu esok, ya?”
Idayu mengeluh hampa. Membuatkan Hasmieza tergelak kecil.
“Well. What can I say. Anyway, I miss you so much!”
“Me too,” balas Hasmieza sambil tersenyum gembira.
“Okeylah. Aku pergi dulu. Anak aku mengantuk tu. Jumpa esok ya!”
Hasmieza mengangguk tanda faham.
“Aku pergi dulu.” Sekali lagi Idayu meminta diri sambil melangkah meninggalkan Hasmieza.
Dia masih diburu tanda tanya. Apakah perkara penting yang dimaksudkan oleh Hasmieza?
Hasmieza muncul tepat pada waktunya. Sememangnya saat ini dia amat memerlukan sahabatnya itu. Dia juga ada perkara penting yang ingin dikongsi bersama Hasmieza. Dari jauh dia melihat Hisyam tersenyum sambil bersandar pada kereta. Dia membalas senyuman itu.
“Sekejap saja. Abang ingat banyak benda yang nak dibualkan. Ayu pun dah lama tak jumpa dia, kan?”
“Memang banyak pun. Tapi malam ni, tak bolehlah. Ayu nak jumpa Mieza esok. Bolehkan, bang?”
Hisyam tersenyum. Kepalanya diangguk perlahan. “Apa perkara penting yang dia nak cakap tadi?”
“Dia tak nak cakap. Tunggu esok katanya. Geram betul.”
Hisyam tergelak kecil melihat mulut Idayu yang sedikit memuncung.
“Okeylah. Jom!” ujar Hisyam sambil membuka pintu kereta untuk Idayu.
“Thanks, abang.” Ucap Idayu sambil melangkah masuk ke perut kereta. Dia menoleh ke belakang. Syafiq sudah terlena di ribaan Mak Teh.

No comments:

Post a Comment

BAGAIMANA UNTUK MENDAPAT NOVEL INI?

Untuk mengetahui kesudahan kisah ini, segera dapatkan KUSERU RINDU ITU di rangkaian kedai buku MPH, Popular dan kedai-kedai berdekatan anda.

Anda juga boleh terus melanggan dengan Kaki Novel Enterprise melalui online ataupun pos. Untuk melanggan melalui online, sila layari laman web kami di:- www.kakinovel.com. Untuk melanggan melalui pos, anda hanya perlu tuliskan nama, alamat lengkap, no. telefon, tajuk novel yang ingin dilanggan dan jumlah naskhah berserta wang pos/ kiriman wang atas nama:-

KAKI NOVEL ENTERPRISE

dan poskan ke alamat berikut:-

Kaki Novel Enterprise

No. 33-2, Jalan Wangsa Delima 12,

D’Wangsa, Wangsa Maju,

53000 Kuala Lumpur.

No. Telefon:- 03-4149 0096 begin_of_the_skype_highlighting 03-4149 0096 end_of_the_skype_highlighting

No. Faks:- 03-4149 1196