KUSERU RINDU ITU

KUSERU RINDU ITU
Perkahwinan itu tiada kekurangan langsung.Hisyam bahagia menjadi suami kepada Idayu dan Idayu sepuluh kali bahagia bergelar isteri kepada lelaki yangdicintai sepenuh jiwanya itu, walau perkahwinan mereka bukan berlandaskan perasaan cinta pada mulanya. Kebahagiaan hampir menjadi sempurna dengan kehadiran seorang anak lelaki yang cukup keletah. Namun di pihak Hisyam, bagai ada satu kekosongan di hatinya. Kekosongan yang dia rasakan perlu diisi dengan kehadiran seorang gadis manis bernama Maisara. Maisara mengajarnya erti rindu. Maisara juga berjaya membawa debar di hatinya apabila mata saling bertaut. Yakin, itu adalah cinta yang dia cari, Hisyam nekad mahu bersama dengan Maisara. Namun… satu hakikat yang mula dia sedar, desakan demi desakan daripada Maisara agar Idayu disingkirkan di antara mereka, telah membuka satu dilema baru. Walau dia yakin hubungannya dengan Idayu hanya berlandaskan rasa tanggungjawab, satu kenyataan yang perlu dia hadapi… dia tidak mampu untuk berpisah dengan Idayu. Lalu, benarkah ada cinta yang mekar di hatinya untuk Maisara, dan benarkah juga hubungannya dengan Idayu hanya kerana tanggungjawab semata-mata? Mampukah dia menerima hancur sekeping hati milik Idayu dengan kecurangannya dan mampukah Maisara terus membawa bahagia di jiwanya? Siapakah sebenarnya yang benar-benar dia cinta?

“Saya sendiri tak pernah sangka Idayu boleh jadi sekeras ini. Salah saya, terlalu yakin dengan kelembutan dia. Dia tak pernah melawan. Dia selalu patuh dan mengalah pada saya. Selalu buat saya berasa dia akan selalu akur pada saya. Sekali terkena, terduduk saya. Rupa-rupanya saya masih belum kenal betul-betul siapa Idayu,”

Thursday, August 11, 2011

BAB 7


 BAB 7

HISYAM mengukir senyum pada pelayan yang sedang menghidangkan makanan. Untuk kesekian kalinya matanya jatuh ke wajah Maisara yang mencuka.
Sudah hampir setengah jam dia di situ, gadis itu masih belum bersuara. Ternyata Maisara lebih senang berdiam diri bersama muncungnya yang panjang. Hatinya dijentik rasa geram. Setelah lebih dua minggu dia tidak bertemu dengan Maisara, dia tidak mengharapkan reaksi sebegini daripada gadis itu. Dari tadi, cuma dia sahaja yang bercakap. Bercakap seorang diri. Itu lebih tepat rasanya. Maisara langsung tidak turut serta dalam bicara-bicaranya.
“Sara... takkan nak buat muka macam ni sampai abang hantar pulang nanti?” Hisyam bersuara lagi sebaik pelayan tadi meninggalkan mereka.
Maisara tetap membisu.
“Sara... apa lagi yang Sara nak abang buat? Abang dah minta maaf, kan? Sara belum maafkan abang ke?”
Maisara menjeling sekilas. Rasa geram dengan layanan Hisyam padanya masih berbekas di hati. Hilang sesuka hati, muncul juga sesuka hati.
“Kalau belum, Sara takkan nak keluar dengan abang,” balas Maisara dingin.
“Kalau dah maafkan abang, kenapa tarik muka macam tu?”
“Saja....”
“Tak usahlah buat lagi. Buruk, tahu?” ujar Hisyam bergurau.
“Abang!”
“Betul.... buruk,” tambah Hisyam bersama senyum nakal.
“Janganlah cakap macam tu.” Maisara terjerit kecil mendengar kata-kata Hisyam. Jemarinya pantas mencari lengan Hisyam. Satu cubitan singgah di situ. Tanpa sedar, senyuman terukir di bibirnya.
“Aduh... sakit sayang!” Hisyam mengaduh sambil menggosok lengannya yang terasa perit.
Maisara menjeling geram. Usikan itu ternyata berjaya membuang amarahnya.
“Cakap apa? Buruk? Betullah abang cakap tu. Tarik muka panjang macam tu, buruk tahu....”
“Abang, janganlah cakap macam tu.”
Hisyam tergelak. “Tak mahu abang cakap macam tu, janganlah buat muka macam tu lagi. Senyumlah sikit. Haaa... macam tu. Barulah berselera abang nak makan.”
Maisara tersenyum manis. Rajuknya hilang entah ke mana. Cair dengan pujukan Hisyam.
“Makanlah,” pelawa Hisyam sambil mencapai sudu dan garpu di hadapannya.
Maisara menggeleng sambil menongkat dagu merenung wajah Hisyam. Rindunya dia pada lelaki ini. Walau selaut marahnya, rindu pada Hisyam tidak pernah kurang. “Abang jumpa Sara ni, isteri abang tahu ke?”
Suapan Hisyam terhenti. Matanya perlahan-lahan mencari renungan Maisara. “Sejak bila Sara mula ambil tahu pasal isteri abang ni, ya?”
“Sejak Sara rasa hubungan kita macam tergantung. Ke atas tidak. Ke bawah pun tidak.”
“Apa maksud Sara?”
Maisara menarik nafas panjang. Membetulkan duduknya. Dia bersandar tegak pada kerusi sambil matanya terus menghalusi reaksi yang terpamer di wajah Hisyam. “Hubungan kita macam tak ada masa depan. Abang tak rasa macam tu ke?”
Hisyam menggeleng.
“Abang dah beritahu isteri abang pasal kita?”
“Belum.”
“Bila abang nak berterus terang dengan dia?”
Hisyam menahan nafas seketika. Suapannya sudah tidak selaju tadi. Ternyata soalan Maisara membuat selera makannya hilang tiba-tiba.
“Nantilah,” jawab Hisyam pendek.
“Bila?” soal Maisara agak tegas. Dia tidak mempedulikan reaksi Hisyam yang jelas nampak kurang senang dengan soalannya itu.
“Abang perlukan masa.”
“Dah setahun. Pun masih belum cukup lagi? Abang perlukan masa atau abang perlukan keberanian untuk berterus terang dengan isteri abang tu? Atau... abang memang berhasrat untuk tidak berterus terang sampai bila-bila?”
“Sara... kenapa cakap macam tu?” Hisyam sedikit tersentap dengan kata-kata Maisara. Agak keras dan sinis. Dia berasa tersindir dan tercabar.
Maisara tersenyum kecil. Dia tahu dia agak keterlaluan. Tetapi, dia perlukan kepastian daripada Hisyam. Dia takut kalau-kalau dia cuma barang permainan bagi Hisyam. Dia tidak mahu dipermainkan. Dia juga tidak mahu dikecewakan. “Sara takut abang cuma nak permainkan Sara.”
Hisyam tergelak halus mendengar pengakuan itu. “Sara... kan abang dah cakap hari tu. Perasaan abang pada Sara, bukan main-main. I’m serious.”
“Ya. Sara tahu. Tapi, Sara bimbang.”
“Apa lagi yang Sara nak bimbangkan? Abang tak akan tipu Sara.”
“Mata Sara juga tak menipu, bang.”
“Apa pula ceritanya ni?” soal Hisyam, tidak faham dengan kata-kata Maisara.
“Sara nampak abang tempoh hari. Di restoran. Bersama isteri dan anak abang. Abang nampak macam pasangan yang sangat bahagia. Itulah yang menakutkan Sara. Takut kalau-kalau Sara sudah tak diperlukan lagi.”
Hisyam mengeluh panjang. Tangannya pantas menggenggam jemari Maisara. “Sara tak perlu takut. Abang sayangkan Sara. Cintakan Sara. Percayalah pada abang.”
“How about your wife? Sara tak nak jadi kekasih abang selama-lamanya. Sara nak kita kahwin. Boleh abang tunaikan permintaan Sara ni?”
“Kahwin?”
“Yes. Kahwin. Rasanya sekarang dah tiba masanya untuk kita fikirkan soal kahwin.”
Hisyam terdiam. Memang itu impiannya. Tetapi, apabila disuarakan oleh Maisara, hatinya menjadi tidak menentu. Tiba-tiba dia teringatkan Idayu. Mengambil keputusan untuk mengahwini Maisara, bermakna dia terpaksa berterus terang dengan Idayu. Bukan sahaja dengan Idayu, malah dengan kedua ibu bapanya. Bermakna, untuk dia bersama dengan Maisara, dia terpaksa melukakan hati tiga insan lain. Kuatkah dia untuk melakukan itu semua?
“Kenapa diam? Abang tak setuju dengan pendapat Sara?”
“Bukan macam tu....”
“So, what is the problem?” soal Maisara sedikit keras.
Hisyam menarik nafas perlahan-lahan. Cadangan Maisara yang mendadak membuatkan dia tidak dapat berfikir dengan baik. Perlahan-lahan dia menggenggam jemari Maisara. Mencari-cari perkataan yang sesuai untuk diluahkan.
Maisara menarik tangannya. Genggaman Hisyam terlepas. Wajah gadis itu kembali mencuka.
“I’ll think about it.” Akhirnya Hisyam bersuara dengan nada yang langsung tidak meyakinkan gadis di hadapannya itu.
Maisara tergelak sinis. “I’ll think about it? Think about it? Nak kahwin dengan Sara pun, kena fikir dulu ke? Dah tu, kita bercinta selama ini, untuk apa? Untuk suka-suka? Abang ingat Sara ni apa?”
“No. Bukan itu maksud abang. Sara jangan salah faham. Abang cuma perlukan masa untuk fikir bila masa yang sesuai untuk kita kahwin.”
“Sara mahu kita mula rancang tentang perkahwinan kita sekarang!” Cukup tegas kata-kata yang meniti di bibir Maisara.
Maisara nekad. Dia perlu bertegas dengan Hisyam. Sukar untuk dia menduga kejujuran Hisyam. Dia bimbang kata-kata Anis tentang Hisyam, benar belaka. Dia bimbang kalau-kalau Hisyam tidak serius untuk mengahwininya.
“Abang dengar tak?” Maisara bertanya apabila Hisyam terus membisu.
“Abang dengar. Sara beri abang masa. Abang perlu berterus terang, bukan saja dengan isteri abang, tetapi dengan kedua ibu bapa abang juga. Pasti makan masa. Abang harap Sara faham.”
“Bila abang nak beritahu isteri abang?”
“Abang akan cuba beritahu secepat yang mungkin. Sara sabar dulu, ya?”
“Kalau abang tak berani nak berterus terang dengan isteri abang, biar Sara sendiri yang berterus terang dengan dia. Sara sanggup jumpa dia, bang!”
“No. Biar abang yang selesaikan sendiri hal abang dengan isteri abang. Apa yang abang harapkan sekarang... satu saja. Sara harus faham kedudukan abang dan banyakkan bersabar.”
Maisara diam. Matanya merenung wajah Hisyam. Kejujuran jelas terpancar pada renungan lelaki itu. Tidak mungkin Hisyam berbohong. Dan itulah yang membuatkan dia sering kalah pada Hisyam.
“Abang janji?” pohonnya.
Hisyam tersenyum. Kemarahan Maisara sedikit reda. Itu cukup membuat Hisyam berasa lega. Jemarinya kembali mencari jemari milik Maisara.
“Janji... sayang,” ujar Hisyam perlahan.
Maisara tersenyum kecil. “Sara cuma ingin menjadi isteri abang. Sara tak bermaksud nak ugut abang. Sara harap abang faham.”
Sambil menepuk perlahan jemari Maisara, Hisyam mengangguk bersama dengan sekuntum senyuman yang membuang jauh-jauh rasa marah dan geram Maisara.
“Sara cintakan abang. Sara sayangkan abang.”
“Me too, sayang.”
Maisara mengukir senyum dalam resah.
“Jangan merajuk lagi, ya. Susahnya abang nak pujuk.”
Mendengar keluhan itu Maisara tergelak kecil. “Abang yang buat Sara merajuk.”
Hisyam tersenyum merenung Maisara yang mencemik manja.

No comments:

Post a Comment

BAGAIMANA UNTUK MENDAPAT NOVEL INI?

Untuk mengetahui kesudahan kisah ini, segera dapatkan KUSERU RINDU ITU di rangkaian kedai buku MPH, Popular dan kedai-kedai berdekatan anda.

Anda juga boleh terus melanggan dengan Kaki Novel Enterprise melalui online ataupun pos. Untuk melanggan melalui online, sila layari laman web kami di:- www.kakinovel.com. Untuk melanggan melalui pos, anda hanya perlu tuliskan nama, alamat lengkap, no. telefon, tajuk novel yang ingin dilanggan dan jumlah naskhah berserta wang pos/ kiriman wang atas nama:-

KAKI NOVEL ENTERPRISE

dan poskan ke alamat berikut:-

Kaki Novel Enterprise

No. 33-2, Jalan Wangsa Delima 12,

D’Wangsa, Wangsa Maju,

53000 Kuala Lumpur.

No. Telefon:- 03-4149 0096 begin_of_the_skype_highlighting 03-4149 0096 end_of_the_skype_highlighting

No. Faks:- 03-4149 1196