KUSERU RINDU ITU

KUSERU RINDU ITU
Perkahwinan itu tiada kekurangan langsung.Hisyam bahagia menjadi suami kepada Idayu dan Idayu sepuluh kali bahagia bergelar isteri kepada lelaki yangdicintai sepenuh jiwanya itu, walau perkahwinan mereka bukan berlandaskan perasaan cinta pada mulanya. Kebahagiaan hampir menjadi sempurna dengan kehadiran seorang anak lelaki yang cukup keletah. Namun di pihak Hisyam, bagai ada satu kekosongan di hatinya. Kekosongan yang dia rasakan perlu diisi dengan kehadiran seorang gadis manis bernama Maisara. Maisara mengajarnya erti rindu. Maisara juga berjaya membawa debar di hatinya apabila mata saling bertaut. Yakin, itu adalah cinta yang dia cari, Hisyam nekad mahu bersama dengan Maisara. Namun… satu hakikat yang mula dia sedar, desakan demi desakan daripada Maisara agar Idayu disingkirkan di antara mereka, telah membuka satu dilema baru. Walau dia yakin hubungannya dengan Idayu hanya berlandaskan rasa tanggungjawab, satu kenyataan yang perlu dia hadapi… dia tidak mampu untuk berpisah dengan Idayu. Lalu, benarkah ada cinta yang mekar di hatinya untuk Maisara, dan benarkah juga hubungannya dengan Idayu hanya kerana tanggungjawab semata-mata? Mampukah dia menerima hancur sekeping hati milik Idayu dengan kecurangannya dan mampukah Maisara terus membawa bahagia di jiwanya? Siapakah sebenarnya yang benar-benar dia cinta?

“Saya sendiri tak pernah sangka Idayu boleh jadi sekeras ini. Salah saya, terlalu yakin dengan kelembutan dia. Dia tak pernah melawan. Dia selalu patuh dan mengalah pada saya. Selalu buat saya berasa dia akan selalu akur pada saya. Sekali terkena, terduduk saya. Rupa-rupanya saya masih belum kenal betul-betul siapa Idayu,”

Thursday, August 11, 2011

BAB 3


BAB 3


IDAYU bersandar pada kerusi di banglo dua tingkatnya. Angin petang yang sesekali menyapa wajahnya, membuatkan rambut ikalnya beralun perlahan. Matanya terus melekat pada gelagat Hisyam. Dari tadi lelaki itu asyik menekan-nekan telefon bimbitnya. Untuk kesekian kalinya juga telefon itu disuakan ke telinga. Berkali-kali dia melihat Hisyam cuba membuat panggilan. Barangkali membuat panggilan pada nombor yang sama. Mungkin juga panggilannya tidak berjawab, memaksa lelaki itu mengulangi perbuatan yang sama berkali-kali.
Dia pula, entah kenapa menjadi sayu melihat tingkah itu. Hatinya memberontak untuk mengetahui siapalah yang cuba dihubungi oleh suaminya itu. Wajah Hisyam nampak cukup serius. Jelas kelihatan riak kecewa dan marah pada wajah itu. Mindanya pula, begitu cepat membentuk imej gadis manis yang cukup mesra dengan Hisyam tempoh
hari. Mungkinkah Hisyam sedang cuba menghubungi gadis itu? Mungkinkah ada krisis di antara mereka dan gadis manis itu, kini sedang merajuk? Mungkinkah juga suaminya itu sedang berusaha memujuk buah hatinya itu? Perlahan Idayu pejamkan mata. Tidak sanggup membiarkan mindanya terus memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang menyakitkan itu. Dia takut untuk memikirkan andaian-andaian itu. Dia takut, kerana itu semua hanya akan membuatkan Hisyam semakin jauh dari hidupnya. Dia tidak sanggup kehilangan lelaki itu. Begitu sukar kebahagiaan ini menjelma, dan dia tidak mahu kehilangan segala-galanya dengan begitu mudah.
“Segalanya pasti sukar untuk awak nanti. Jadi, ada baiknya awak fikir masak-masak. Betul ke awak nak teruskan semua ini? Saya tak mahu awak menyesal nanti.”
Suara Hisyam tujuh tahun lalu, kini terngiang-ngiang di telinganya. Inikah penyesalan yang dimaksudkan oleh Hisyam?
“Awak pasti ini keputusan awak?”
“Apa pilihan yang saya ada untuk saya membuat keputusan?”
“Kita tidak kenal antara satu sama lain dengan mendalam. Kita cuma kenal melalui beberapa pertemuan sejak kebelakangan ni saja. Tiba-tiba kita terpaksa bersatu dalam satu ikatan perkahwinan. Mustahil bagi saya. Dan mustahil saya dapat membahagiakan awak. Saya tak ada apa-apa perasaan terhadap awak. Please, think about it. Jangan sisa-siakan masa depan awak. Katakan saja awak tak mahu teruskan rancangan mengarut ni. Habis cerita. Itu saja. Senang, kan?”
Idayu memandang wajah Hisyam yang nampak cukup bersahaja. Lelaki itu bersandar pada batu besar sambil matanya ditebarkan ke tengah lautan yang maha luas.
“Encik Hisyam... apa kata saya cadangkan semula cadangan bernas Encik Hisyam tu pada Encik Hisyam sendiri? Parents kita sekarang, ada kat dalam. Why don’t you just go inside and tell them about your brilliant suggestion. I bet you... mereka mesti happy.”
“What???”
Idayu membuang pandang. Menyedari Hisyam merenung tajam ke arahnya.
“Kalau awak keberatan untuk beritahu parents saya, tak apa. Awak cuma perlu beritahu parents awak sahaja. Boleh, Encik Hisyam?” Dia menyambung kata-kata sambil memandang wajah Hisyam.
Hisyam mengeluh keras. Wajah lelaki itu jelas kelihatan sangat marah. “You know what Cik Idayu? Awak ni... bodoh sombong. Tahu tak?”
Bulat mata Idayu memandang wajah Hisyam. Berani lelaki itu mengeluarkan kata-kata sebegitu.
“Encik Hisyam! Jaga mulut awak, okey! This is my first and last warning. Saya tak perlukan kritikan awak tentang diri saya. Lagipun, awak tak kenal saya pun!” marah Idayu.
“Okay. I am sorry. Mungkin saya terlepas cakap. Tapi, saya datang dengan niat yang baik. Pertunangan kita ni... tak masuk akal. Dan, perkahwinan kita... itu kerja gila. Awak tak nampak ke? Saya tak mahu awak korbankan masa depan awak, hanya kerana janji orang tua kita. Perkahwinan ini takkan berhasil. Kita cuma akan membuka pintu sengsara. Percayalah cakap saya.”
“Saya tahu.” Idayu menjawab lemah.
“Kalau tahu, awak kena beritahu mereka,” desak Hisyam lagi.
“How about you? Awak dah beritahu mak ayah awak? Awak dah cakap awak tak setuju?” soal Idayu sambil merenung lama wajah Hisyam.
“Yes. I did it. Tapi, tak berjaya. Sebab itulah saya datang untuk minta pertolongan awak, Idayu.”
Mata Idayu masih di wajah Hisyam.
“I did it once. And, you know what happened? Abah saya dapat heart attack. Syukur dia tak apa-apa. Cukuplah sekali itu saya mencuba. Saya tak sanggup korbankan abah saya demi diri saya sendiri. Kalau perlu pengorbanan, biarlah saya yang berkorban. Saya tak sanggup melihat abah saya jatuh sakit lagi. Lagipun, apalah sangat pengorbanan ini kalau hendak dibandingkan dengan kasih sayang yang telah dia berikan pada saya selama ini,” jawab Idayu keras.
Hisyam mengeluh panjang. Wajahnya nampak sedikit kecewa. “Awak yakin awak tak akan menyesal?”
“Tak.” Bibirnya bergerak perlahan.
“Apa yang tak?”
Idayu tersentak. Kenangan lalu mula menjauh. Mak Teh tercegat di hadapannya.
“Apa dia, Mak Teh?” soalnya sedikit hairan dengan soalan pembantu rumahnya itu.
Mak Teh tersenyum panjang. “Apa yang Ayu fikirkan tu? Sampai cakap sorang-sorang?”
“Cakap sorang-sorang? Mana ada? Macam-macamlah Mak Teh ni.”
“Mak Teh dengar, sebab tu Mak Teh cakap.”
“Ya ke? Saya tak sedar pun,” nafi Idayu.
“Mana nak sedar, kalau fikirannya melayang jauh. Apa yang Ayu fikirkan? Mak Teh tengok sejak akhir-akhir ni, Ayu selalu termenung.”
Idayu tersenyum kecil. Wajah Mak Teh dipandang agak lama. Mak Teh memang selalu begitu. Terlalu mengambil berat tentang dirinya. Malah orang tua itu sudah dianggap seperti keluarga sendiri. Lebih-lebih lagi semenjak kedua ibu bapanya pergi buat selama-lamanya. Namun, dia belum bersedia unuk berkongsi keresahannya itu dengan Mak Teh. Belum masanya.
“Syafiq mana?” soal Idayu bersama senyum manis.
Mak Teh cuma menarik nafas perlahan. Faham Idayu sedang mengubah topik perbualan.
“Tidur. Lepas aje tengok TV, terus tertidur,” jawab Mak Teh.
Idayu mengangguk perlahan.
“Duduklah Mak Teh,” pelawa Idayu sambil menepuk kerusi di sebelahnya.
Mak Teh menurut. Matanya memandang ke arah cawan teh yang tidak berusik. Kuih keria di dalam piring juga tidak terusik. Selalunya kalau makanan atau minuman tidak berusik, bermakna adalah cerita sedih yang mengusik hati Idayu. Apa dia? Itu yang menjadi tanda tanya kini.
“Ayu ada masalah, ya?” soalnya cuba mencungkil apa yang bersarang di dalam hati Idayu.
Idayu mengukir senyum. “Tak adalah. Mak Teh ni... pandai-pandai saja serkap jarang.”
“Mak Teh ni, orang tua. Dah lama hidup, Ayu. Dah lama makan garam. Tapi, kalau Ayu tak nak cerita tak apalah. Mak Teh tak paksa.”
Idayu tersenyum lagi. Memang mustahil untuk dia berbohong pada Mak Teh. Orang tua itu bijak membaca apa yang bermain di hatinya.
“Tak penting sangat la Mak Teh,” ujar Idayu akhirnya.
Mak Teh tersenyum lebar. Kan betul tekaannya. “Haaa... kan betul apa yang Mak Teh cakap.”
“Perkara kecil saja. Saya boleh selesaikan sendiri. Terima kasih sebab ambil berat pasal saya. Nasib baik Mak Teh ada.” Idayu bersuara sambil tersenyum panjang.
“Selisih faham dengan Syam, ya?”
“Tak adalah. Kami tak ada bertengkar pun.”
“Dah tu, kenapa Ayu di atas... Syam di laman?”
“Dia nak buat call. Malas saya nak ganggu.”
“Hari minggu pun, sibuk telefon client ke?” soal Mak Teh menjenguk ke balkoni. Bayang Hisyam sudah hilang.
Idayu tersenyum pahit. Kalaulah benar Hisyam sedang membuat panggilan untuk rakan niaganya, tentulah hatinya tidak serawan ini. Tentulah hatinya tidak sesakit ini. Malangnya tingkah Hisyam langsung tidak menunjukkan ke arah itu. Dia menebarkan pandangan ke halaman. Hisyam sudah tiada di situ. Dia sedikit terperanjat apabila melihat Hisyam sedang berdiri sambil memeluk tubuh pada sliding door yang memisahkan bahagian balkoni dengan bahagian ruang rehat tingkat atas. Hisyam tersenyum sambil meletakkan jari telunjuk ke bibir sebagai isyarat agar dia berdiam diri. Idayu tidak memberi sebarang reaksi.
Hisyam melangkah perlahan ke arah Mak Teh yang sedang membelakanginya. Sengaja ingin mengusik pembantu rumahnya itu.
“Buat apa tu, Mak Teh?” sergah Hisyam sambil memegang bahu Mak Teh. Membuatkan Mak Teh terperanjat besar.
“Buat apa? Buat call! Call client! Lupa bini!”
“Siapa call?” sakat Hisyam apabila Mak Teh mula melatah.
“Kaulah. Call client lupa bini!”
“Client siapa, Mak Teh?”
“Client aku! Eh, client kau! Eh, bini kau!”
Berderai tawa Hisyam mendengar latah Mak Teh yang melarat.
Idayu turut tergelak kecil melihat Mak Teh yang terus mengulangi kata-katanya sambil tangannya menuding ke arah Hisyam.
Melihat Mak Teh yang sedikit semput, Hisyam mengurut perlahan belakang wanita separuh abad itu.
“Sudah Mak Teh. Istighfar Mak Teh,” ujarnya sambil terus mengurut belakang Mak Teh.
“Astaghfirullahalazim. Subhanallah. Kamu ni Syam!” Mak Teh bersuara terputus-putus sambil mengurut dada yang kepenatan.
Hisyam masih tergelak sambil mengambil tempat di sebelah Idayu. Seronok dapat mengusik wanita itu.
“Mengumpat saya, ya?” soal Hisyam setelah latah Mak Teh sedikit reda.
Mak Teh masih mengurut dadanya menghilangkan semput. “Kamu berdua ni, pakat nak kenakan Mak Teh, ya?”
Hisyam tergelak mendengar kata-kata Mak Teh.
Idayu pula tersenyum panjang.
“Saya tak campur, Mak Teh. Saya tak tahu Abang Syam nak sergah Mak Teh,” ujar Idayu membela diri.
“Yalah tu.”
Idayu tergelak mendengar jawapan Mak Teh. Dia tahu Mak Teh tidak percaya pada kata-katanya.
“Syafiq mana, Mak Teh?” Hisyam bersuara lagi apabila keadaan Mak Teh kembali normal.
“Tidur. Mak Teh turun dululah. Nak siapkan makan malam. Syam... Ayu, nak makan apa malam ni?”
“Tak payah masaklah Mak Teh. Kita dinner kat luar. Okey, Ayu?” tanya Hisyam sambil memandang wajah Idayu.
“Kenapa?” soal Idayu sedikit hairan.
“Saja. Nanti ada orang cakap abang ni, lupa isteri pula. Sebab tak lupa isterilah, abang ajak isteri abang keluar dinner ni.” Hisyam menjawab dengan nada bergurau.
Mak Teh mencemik.
Idayu tersengih.
“Mak Teh ikut sekali, ya?” sambung Hisyam sebelum Mak Teh melangkah masuk ke ruang rehat.
Langkah wanita itu mati di situ. Kembali menoleh ke arah Hisyam.
“Tak payahlah Syam. Mak Teh duduk rumah ajelah,” tolak Mak Teh, beralas.
“No... no... no.... Tak ada Mak Teh, maknanya tak ada dinner. Mak Teh mesti ikut. Tak ada alasan.” Hisyam bersuara memberi kata putus.
“Yalah.” Mak Teh bersetuju sambil berlalu.
Hisyam mengalihkan perhatiannya pada Idayu. Wajah itu ditatap tanpa berkelip.
“What?” soal Idayu yang tidak faham dengan maksud renungan Hisyam.
“What?” Hisyam mengulangi soalan yang sama sambil menarik kerusinya rapat ke kerusi Idayu. Sekuntum senyuman yang menggoda muncul di bibirnya, memaksa Idayu turut tersenyum. “So, isteriku yang cantik... apa ceritanya tu?”
“Cerita? Cerita apa?” soal Idayu pura-pura tidak faham maksud soalan Hisyam.
“Pasal Mak Teh, ya?” teka Idayu cepat apabila wajah Hisyam semakin rapat ke wajahnya.
Hisyam tersenyum. Wajahnya kembali dijarakkan daripada wajah Idayu. Dia memandang wajah isterinya itu. Menanti cerita yang bakal keluar dari seulas bibir yang kaya dengan senyuman itu.
“Tak ada apa-apalah. Mak Teh cuma pelik tengok abang buat call banyak kali tadi. Dia ingat abang call client. Itu saja,” cerita Idayu.
“Oh... Ayu pula? Ingat abang call siapa?” soal Hisyam agak perlahan. Tidak sangka perlakuannya tadi diperhatikan oleh isteri dan pembantu rumahnya.
“Manalah Ayu tahu.”
“Ayu tak nak tanya ke?” soal Hisyam apabila melihat wajah Idayu cukup tenang. Sedikit syukur kerana tiada keraguan di wajah isterinya itu. Juga segunung rasa bersalah kerana kepercayaan Idayu telah dia cemari.
“Nak Ayu tanya saja atau nak Ayu check sekali call out kat handphone abang tu?”
Idayu menjawab soalannya dengan satu soalan yang mampu merentap tangkai jantungnya. Berharap agar Idayu tidak serius dengan kata-katanya itu. Hisyam cuma mampu tersenyum sambil menjongketkan bahunya.
Idayu tergelak kecil.
“Kenapa ni? Pucat. Macam nampak hantu.” Idayu bersuara ceria, menutup gelora di hatinya.
Melihat kebisuan dan perubahan wajah Hisyam, bagai terus mengiakan segala syak wasangkanya sebentar tadi. Memang Hisyam menghubungi kekasihnya. Hatinya kuat berkata yang Hisyam sedang bermain wayang dengannya.
“Ayu percayakan abang. Ayu tak perlu ragu-ragu pada abang. Ayu tak perlu tanya apa-apa pada abang. Ayu tahu suami Ayu tak akan sembunyikan apa-apa dari Ayu. Betul tak?” Cukup lembut soalan itu dialun. Mahu memancing perubahan ekspresi wajah Hisyam.
Dan, pancingnya mengena. Hisyam terus membisu. Hatinya pula terus menangis.
“Dinner malam ni... ada something yang special ke?” ujar Idayu lagi mengubah tajuk perbualan. Tidak mahu terus terlarut dalam kepedihan perasaannya.
Mendengar soalan Idayu, Hisyam mengukir senyum lambat-lambat. Lega apabila isterinya itu mengubah tajuk perbualan. Tidak betah untuk dia membungkam. Tidak mungkin untuk dia berbohong.
“Ayu lupa ke?”
“Apa dia?”
“Hari nikan, hari ulang tahun kelahiran Mak Teh. Yang kelima puluh lapan.”
“Ya Allah! Ayu lupalah bang. Ayu tak beli apa-apa pun untuk hadiah Mak Teh.”
Hisyam tersenyum panjang. “Don’t worry. Semuanya ditanggung beres. Abang ada hadiah special untuk Mak Teh. Nak tahu tak?”
“Of course la nak!”
“Kalau macam tu, jom masuk bilik. Abang tunjukkan.” Hisyam bersuara sambil menarik Idayu bangkit dari kerusi. Melangkah agak cepat apabila tangannya ditarik oleh Hisyam.
“Lambatlah.” Rungut Hisyam sambil berpusing.
Idayu terjerit kecil apabila lelaki itu memaut dan mendukungnya.
Hisyam tergelak sambil melangkah ke arah bilik mereka.
“Abang ni....”
Makin besar gelak Hisyam. “Dah tu lambat sangat jalannya.”
Idayu tersenyum akhirnya. Dia memaut lembut tengkuk Hisyam dan diam apabila dicempung oleh Hisyam.

No comments:

Post a Comment

BAGAIMANA UNTUK MENDAPAT NOVEL INI?

Untuk mengetahui kesudahan kisah ini, segera dapatkan KUSERU RINDU ITU di rangkaian kedai buku MPH, Popular dan kedai-kedai berdekatan anda.

Anda juga boleh terus melanggan dengan Kaki Novel Enterprise melalui online ataupun pos. Untuk melanggan melalui online, sila layari laman web kami di:- www.kakinovel.com. Untuk melanggan melalui pos, anda hanya perlu tuliskan nama, alamat lengkap, no. telefon, tajuk novel yang ingin dilanggan dan jumlah naskhah berserta wang pos/ kiriman wang atas nama:-

KAKI NOVEL ENTERPRISE

dan poskan ke alamat berikut:-

Kaki Novel Enterprise

No. 33-2, Jalan Wangsa Delima 12,

D’Wangsa, Wangsa Maju,

53000 Kuala Lumpur.

No. Telefon:- 03-4149 0096 begin_of_the_skype_highlighting 03-4149 0096 end_of_the_skype_highlighting

No. Faks:- 03-4149 1196