KUSERU RINDU ITU

KUSERU RINDU ITU
Perkahwinan itu tiada kekurangan langsung.Hisyam bahagia menjadi suami kepada Idayu dan Idayu sepuluh kali bahagia bergelar isteri kepada lelaki yangdicintai sepenuh jiwanya itu, walau perkahwinan mereka bukan berlandaskan perasaan cinta pada mulanya. Kebahagiaan hampir menjadi sempurna dengan kehadiran seorang anak lelaki yang cukup keletah. Namun di pihak Hisyam, bagai ada satu kekosongan di hatinya. Kekosongan yang dia rasakan perlu diisi dengan kehadiran seorang gadis manis bernama Maisara. Maisara mengajarnya erti rindu. Maisara juga berjaya membawa debar di hatinya apabila mata saling bertaut. Yakin, itu adalah cinta yang dia cari, Hisyam nekad mahu bersama dengan Maisara. Namun… satu hakikat yang mula dia sedar, desakan demi desakan daripada Maisara agar Idayu disingkirkan di antara mereka, telah membuka satu dilema baru. Walau dia yakin hubungannya dengan Idayu hanya berlandaskan rasa tanggungjawab, satu kenyataan yang perlu dia hadapi… dia tidak mampu untuk berpisah dengan Idayu. Lalu, benarkah ada cinta yang mekar di hatinya untuk Maisara, dan benarkah juga hubungannya dengan Idayu hanya kerana tanggungjawab semata-mata? Mampukah dia menerima hancur sekeping hati milik Idayu dengan kecurangannya dan mampukah Maisara terus membawa bahagia di jiwanya? Siapakah sebenarnya yang benar-benar dia cinta?

“Saya sendiri tak pernah sangka Idayu boleh jadi sekeras ini. Salah saya, terlalu yakin dengan kelembutan dia. Dia tak pernah melawan. Dia selalu patuh dan mengalah pada saya. Selalu buat saya berasa dia akan selalu akur pada saya. Sekali terkena, terduduk saya. Rupa-rupanya saya masih belum kenal betul-betul siapa Idayu,”

Thursday, August 11, 2011

BAB 1

PROLOG

AYUNA yang sudah galak tersenyum apabila diagah, diagah sekali lagi. Senang melihat senyuman anak kecil itu.
“Comelnya dia... comelnya dia tenyum,” agah Maisara lagi membuatkan ada tawa mengekek di bibir bayi itu. Maisara tersenyum lebar lantas membawa tubuh kecil itu rapat ke pelukannya.
“Sara....”
Perlahan dia berpaling. Memandang wajah Mak Teh sambil tersenyum.
“Mak Teh ambil Ayuna, ya. Dah masanya dia menyusu dan tidur.”
Maisara tersenyum sambil mengangguk.
“Yuna dah nak tidur, ya? Pergi tidur dengan Nek Teh, ya.” Dia mengagah lagi sambil menyerahkan Ayuna ke dalam dukungan Mak Teh.
Mak Teh menyambut sambil tersenyum. Kemudian dia melangkah meninggalkan ruang tamu yang kian sepi.
Maisara mengangkat punggung perlahan. Dia mahu mencari wajah Hisyam.
“Sara....”
Maisara mengangkat muka. Tersenyum lebar melihat si pemilik suara yang memanggil namanya.
“Abang....” Dia bersuara perlahan. Kagum melihat Hisyam yang cukup segak berbaju Melayu berwarna biru. Cukup mempesona dengan samping songket hitam bersulam benang perak. Senyum di wajah lelaki itu cukup untuk menyatakan betapa saat ini, Hisyam sedang menikmati kebahagiaan yang tiada sempadannya.
“Kacaknya abang, ” usik Maisara sambil tersenyum panjang.
Hisyam tergelak kecil. “Mana ada orang tua yang kacak?”
“Mana ada abang ni tua?”
Hisyam tergelak lagi.
“Apa yang kelakar sangat ni?”
Hisyam menoleh. Melihat senyuman manis Idayu yang sering memikat hatinya. Pantas jemari Idayu ditarik perlahan. Membawa Idayu rapat ke sisinya.


 -----------

 BAB 1

DIA merenung kosong ke satu arah yang tidak pasti. Tidak ubah seperti perjalanan hidupnya yang tidak pernah ada kepastian yang nyata. Bagai tidak ada noktah bahagia di dalam hidupnya. Segalanya tinggal tergantung tanpa sebarang kepastian. Dan... akhir-akhir ini, persoalan itu acap kali melingkari fikirannya. Membelit perasaannya. Membuat dia lemas di dalam ketidakpastian perjalanan hidupnya yang panjang.
Dia takut sebenarnya. Takut kebahagiaan yang membaluti dirinya saat ini, bakal terlucut dari genggamannya. Dia tidak sanggup untuk membayangkannya. Dia sayangkan segala miliknya kini. Dia sayangkan perkahwinan ini. Namun, dia juga tidak mahu menjadi tamak. Tidak wajar dia terus menagih pada yang tidak sudi menghulur. Tidak wajar dia menghalang lagi andai jelas dirinya sudah disisih ke tepi.
“Mama.”
Perlahan dia menoleh. Menatap wajah kecil yang cukup comel di matanya. Anak kecil berusia empat tahun itu melangkah merapatinya. Perlahan dia merangkul tubuh kecil itu. Erat di dalam pelukannya. Cuma anak itulah sumber kebahagiaannya yang hakiki. Kasih sayang anak itu tidak perlu dia ragui. Bicara anak kecil itu juga cukup telus tanpa sebarang rahsia. Hatinya tidak pernah digaru resah setiap kali menatap senyum anak itu. Jiwanya tidak pernah menangis hiba mendengar gelak ceria anak itu.
“Mama. Nape mama cedih?”
Idayu tersenyum kecil mendengar soalan anaknya yang sedikit pelat. Perlahan dia mencium pipi gebu anak tunggalnya itu. Anak itu merenung wajahnya menanti jawapan.
“Mana ada mama sedih? Mama penatlah sayang. Banyak sangat kerja yang mama kena buat kat office tu.”
“Kalau penat... tak payah la keje. Duduk rumah dengan Afiq... dengan Nek Teh.”
Idayu tergelak kecil. Pipi Syafiq dicium lagi. Mudahnya penyelesaian untuk anak sekecil itu.
“Afiq dah makan?”
“Dah. Afiq makan dengan Nek Teh.”


“Dah mandi?”
“Dah. Afiq dah mandi. Afiq dah makan. Afiq dah gocok gigi. Semuanya dah.”
Idayu tersenyum panjang. Resahnya bagai menjauh seketika tatkala mendengar celoteh anak kecil itu.
“Kalau semuanya sudah... jom kita masuk tidur,” ucap Idayu separuh bergurau.
“Tak nak. Afiq nak tunggu papa.”
Idayu diam. Dia memandang jam di dinding. Hampir pukul sepuluh malam. Sudah agak lewat, namun bayang suaminya belum juga muncul. Ke manalah lelaki itu pergi.
“Dah lewat ni. Agaknya papa pulang lambat. Afiq tidur dulu, ya?”
Syafiq menggelengkan kepala.
Idayu pula tidak memaksa. Tidak mahu melihat Syafiq membuat perangai sebenarnya. Dia penat. Penat dengan kerja di pejabat. Penat dengan kerenah suami. Dia tidak mahu menambah penat itu dengan melihat Syafiq mengamuk pula.
Bunyi enjin kereta memasuki pekarangan rumah membuat Syafiq tersenyum riang.
Sebaliknya bunyi itu membuat dia menjadi tidak keruan. Rasa pedih tiba-tiba menerpa sekeping hati perempuannya. Tergambar kembali peristiwa petang tadi yang menyaksikan kemesraan suaminya dengan seorang gadis manis. Hatinya remuk perlahan-lahan melihat adegan itu. Hancur luluh melihat senyum gembira Hisyam menanggapi gurau manja gadis itu.
“Mama, papa dah balik. Cepat buka pintu!” gesa Syafiq sambil menarik tangannya.
Perlahan dia mengangkat punggung menuruti kemahuan Syafiq. Dia berdiri di ambang pintu, sementara Syafiq berlari mendapatkan papanya. Dari jauh dia merenung wajah milik Hisyam yang tersenyum lebar menyambut huluran jemari kecil Syafiq.
Perlahan lelaki itu melangkah keluar dari kereta. Melangkah longlai sambil memimpin Syafiq.
Tanpa bersuara Idayu mencapai kot dan briefcase di tangan Hisyam sambil mencium jemari Hisyam. Bergerak sedikit memberi ruang untuk Hisyam melangkah masuk.
Idayu masih tercegat di pintu tatkala Hisyam melabuhkan punggung ke sofa. Tali lehernya dilonggarkan sambil matanya memandang Idayu yang masih tidak bergerak. Melihat tingkah Idayu, timbul rasa hairan di hatinya. Kebiasaan, Idayulah yang menanggalkan tali lehernya. Menyambutnya dengan senyuman manis. Tetapi, hari ini, tingkah Idayu nampak lain sekali.
“Ayu... kenapa ni? Lain macam aje abang tengok?”
Idayu tersentak. Matanya liar mencari wajah Hisyam. Rupa-rupanya Hisyam sudah tersandar di sofa. Mengelak daripada soalan seterusnya daripada Hisyam, dia mula mengorak langkah menuju ke tingkat atas, menyimpan briefcase Hisyam.
Hisyam memandang hairan. Kemudian dia memandang pula ke arah anak tunggalnya yang terlentok manja di ribaannya.
“Mama kenapa?” soalnya kepada anak kecil itu.
Syafiq cuma menjongket bahu.
Hisyam tidak bertanya lagi. Rambut Syafiq dibelai perlahan sambil dia bersandar ke sofa. Melepaskan segala rasa penat. Matanya dirapatkan. Lega. Penatnya terasa menjauh.
Haruman lembut yang amat dia senangi, memaksa dia membuka mata. Idayu tercegat di hadapannya. Dia tersenyum senang menanggapi renungan Idayu.
“Afiq. Mari tidur sayang.”
Mendengar ajakan Idayu, Syafiq bangkit dari sofa. Barangkali matanya yang mulai layu, membuat Syafiq tidak bercakap banyak.
“Biar Mak Teh tidurkan Syafiq.”
Suara pembantu rumahnya yang datang secara tiba-tiba, membuat Idayu sedikit tersentak. Dia berpaling sambil tersenyum kecil manakala Syafiq pula, tanpa banyak bicara terus mendapatkan Mak Teh.
“Terima kasih Mak Teh,” ucap Idayu perlahan, dibalas dengan sekuntum senyuman daripada pembantu rumahnya. Idayu memandang Mak Teh yang meniti anak tangga menuju ke bilik Syafiq. Cuma setelah Syafiq hilang dari pandangan, barulah matanya beralih kepada Hisyam.
Hisyam mengangkat kening, merenungnya dengan renungan yang mengandungi seribu pertanyaan. Terkesan dengan kelainan sikap Idayu. Layanan Idayu sedikit dingin malam ini.
Melihat wajah Hisyam yang seperti menanti satu penjelasan, Idayu mengukir senyum. Menyembunyikan gundah yang bersarang di hati.
“Abang dah makan?”
“Dah.”
“Nak minum?”
Hisyam menggeleng perlahan.
“Kalau macam tu, Ayu nak masuk tidur dulu.” Akhirnya Idayu meminta izin untuk meninggalkan suaminya di situ. Dia tidak sanggup berdepan dengan Hisyam sebenarnya. Dia marahkan lelaki itu. Dia kecil hati dengan tindakan lelaki itu. Hisyam tergamak menjalin hubungan dengan perempuan lain, di luar pengetahuannya. Namun, untuk dia luahkan kemarahannya itu, dia tidak berdaya. Dia tahu siapa dirinya di hati Hisyam. Perlahan dia mengatur langkah meninggalkan Hisyam.
“Ayu.”
Langkahnya terhenti mendengar suara itu. Dia berpaling. Hisyam yang masih bersandar malas di sofa, tajam merenung wajahnya. Lama pandangan mereka bertemu.
Akhirnya Idayu mengalihkan pandangan ke arah lain.
Hisyam pula, perlahan mengangkat punggung. Mengatur langkah mendekati Idayu.
“Kenapa ni?” Lembut suara Hisyam mengajukan soalan.
Idayu diam. Cuma kepalanya menggeleng perlahan.
“Takkan tak ada apa-apa. Abang tengok Ayu lain macam aje.”
“Tak ada apa-apa. Cuma penat sikit. Banyak kerja kat office tadi.”
“Biasanya... Ayu tak macam ni. Lagipun, bukan hari ni saja kerja kat office tu banyak, kan? Ada benda lain ke yang mengganggu Ayu?”
Tanpa menjawab soalan itu, Idayu memandang wajah Hisyam yang menanti jawapan. Wajah itu nampak sungguh bersahaja. Seolah-olah lelaki itu tidak melakukan apa-apa kesalahan padanya. Mungkinkah Hisyam tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan gadis petang tadi? Mungkin dia yang terlalu memikirkan perkara yang bukan-bukan. Mungkin dia yang terlalu berprasangka pada suami sendiri. Akalnya mula berdiplomasi dengan hati. Tetapi, kemesraan itu? Barangkali perangai Hisyam dengan teman-teman memang begitu. Barangkali, dia yang tidak perasan selama ini. Akalnya sekali lagi memberi hujah. Membuatkan resahnya sedikit hilang.
“Ayu....”
Idayu tersentak lantas tersandar di pagar tangga.
Hisyam pula tergelak kecil melihat wajah Idayu yang jelas mempamerkan riak terkejut.
“Kenapa ni? Cakap tak ada apa-apa. Kalau tak ada apa-apa, tu... apa yang dimenungkan tu?” soal Hisyam tidak puas hati.
Idayu mengukir senyum. Perlahan dia menggeleng.
Hisyam melangkah lebih rapat. Berdiri di hadapannya sambil kedua-dua tangannya memegang pagar tangga. Membiarkan Idayu berada di dalam lingkaran pelukannya.
“Abang tak percaya.” Hisyam bersuara lembut sambil redup pandangan singgah di matanya.
“Betul bang. Tak ada apa-apa,” balas Idayu bersahaja.
Hisyam mencapai jemarinya.
Idayu tergamam. Tiba-tiba dia ingin menarik tangannya dari genggaman Hisyam. Beginilah Hisyam menggenggam jemari gadis manis itu. Namun, akalnya cepat menghalang. Dia tidak boleh terus hanyut di dalam perasaan cemburunya. Barangkali dia yang tersilap. Barangkali situasi yang sebenar, bukan seperti apa yang sedang bermain di fikirannya. Sudahnya, dibiarkan Hisyam mengusap lembut jemarinya.
“Sure?”
Idayu mengangguk sambil tersenyum lagi.
Hisyam turut tersenyum.
“Kita masuk tidur?” ajak Hisyam lembut di telinga Idayu. Kedua tangannya kini merangkul pinggang Idayu.
Idayu terkedu dengan tindakan Hisyam. Ternyata tidak ada yang berubah pada Hisyam. Hisyam tetap seperti lelaki yang dia kenali tujuh tahun dulu. Barangkali dia yang terlalu prasangka. Perlahan-lahan dia membalas pelukan Hisyam. Hisyam memandang wajahnya bersama senyuman yang amat dia senangi. Senyuman yang membahagiakannya selama tujuh tahun ini.
“Abang....”
“Hmmm....” Hisyam bersuara sambil hidungnya menikmati haruman rambut Idayu yang mengurai.
“Abang sayangkan Ayu?” tanya Idayu sambil mendongak mencari wajah Hisyam.
Hisyam tergelak kecil. Idayu sedang merenung wajahnya. Cukup dalam renungan isterinya itu. Membuat dia kelu seketika.
“Abang cintakan Ayu?”
Satu lagi soalan Idayu membuat dia terkedu. Akhirnya, sebuah tawa kecil memenuhi keheningan suasana. Hanya itu yang mampu dia keluarkan dari mulutnya.
“Abang... Ayu tanya ni. Jawablah...” gesa Idayu manja.
“Ayu... dah tujuh tahun kahwin, tiba-tiba tanya soalan macam ni. Kenapa ni?”
“Ayu cuma nakkan jawapan.”
Hisyam merenung wajah Idayu. Mulutnya seakan terkunci. Dan, renungan Idayu yang masih menagih jawapan membuatkan dia benar-benar bisu. Sayangkah dia pada Idayu? Pastinya ada rasa sayang yang merantai hubungan dia dan Idayu. Cintakah dia pada Idayu? Soalan itu mati tanpa jawapan.
“Abang....”
Hisyam cuma berdiam diri sambil jemarinya mengusap lembut wajah Idayu. Kemudian dia meleraikan pelukannya. Tubuh kecil Idayu didukungnya. Membuatkan Idayu terkejut.
“Abang belum jawab soalan Ayu.”
“Sekarang bukan masa untuk bercakap.” Bisik Hisyam bersama sekuntum senyuman nakal.
Senyuman yang membuat Idayu kembali resah. Hisyam tidak menjawab soalannya. Setelah tujuh tahun berlalu, Hisyam masih tidak menjawab soalannya yang satu itu. Wajah gadis manis bersama Hisyam kembali memenuhi ruang fikirannya. Mungkinkah Hisyam memang menjalin hubungan cinta dengan gadis itu? Sebabnya cukup kukuh. Hisyam tidak pernah mencintainya. Itulah sebabnya. Tiba-tiba hasutan itu berlegar di fikirannya. Menenggelamkan suara-suara nasihat. Yang tinggal hanyalah prasangka yang tidak bertepi.
ISYAM meneguk perlahan minuman yang terhidang di hadapannya. Dalam resah, fikirannya ligat mengingati kelainan sikap Idayu kebelakangan ini. Biarpun Idayu cuba berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku, dia dapat rasakan perubahan isterinya itu. Idayu sedikit dingin dengannya. Berbicara cuma apabila ditanya. Apabila diajak bergurau pula, cuma senyum hambar yang menghiasi bibir.
Dan dalam masa yang sama... tanpa dipinta, wajah Maisara turut muncul mengganggu fikirannya. Dia tersepit di tengah-tengah. Tiba-tiba terasa cukup susah untuk dia membuat pilihan. Rasa serba salah bagai menghimpit dirinya. Perlahan dia menghela nafas panjang. Tidak pernah dia duga, satu hari dia akan dihimpit situasi sebegini. Tidak pernah diimpikan untuk berhadapan dengan situasi sebegini. Terdera dek perasaannya itu, hatinya bertambah rawan. Tidak sanggup memikirkan perasaan Idayu yang sedang dicalarkan dalam diam.
“Hai Syam. Mengeluh panjang nampak?”
Hisyam berpaling. Bertemu pandang dengan pandangan emaknya.
Puan Mariam mengambil tempat di hadapan Hisyam. Wajah anak lelaki tunggalnya itu ditatap lama. Melihat menungan Hisyam yang panjang, bagai memberitahunya yang anaknya itu sedang menghadapi masalah. Membuat nalurinya digayut rasa resah. Tidak senang hatinya melihat garis kegusaran di wajah sang anak.
“Mana Ayu? Kenapa dia tak datang sekali?”
“Ayu tak tahu saya ke sini. Balik kerja saya terus singgah ke sini.”
“Hai... pelik. Kerja satu tempat tapi tak tahu hal masing-masing?” Puan Mariam bersuara dengan nada hairan. Dengan tingkah sedikit mencungkil. Sedang bermasalahkah Idayu dan Hisyam?
“Ayu tak masuk office hari ni. Cuti.”
“Cuti? Kenapa?” tanya Puan Mariam hairan.
“Syafiq demam. Tahu sajalah Syafiq tu kalau demam. Merengek nakkan mamanya.”
Puan Mariam mengangguk perlahan. Anggukan bersama satu keluhan lega. Yakin telahannya meleset.
“Macam papanya masa kecillah.” Puan Mariam menyambung bicara membuat Hisyam tersenyum.
H
“Kenapa tak balik ambil Ayu dulu? Boleh mak jumpa Syafiq. Dah lama tak tengok cucu mak tu.”
“Saya singgah sekejap saja mak. Tengoklah. Esok kami datang. Okey?”
“Hmmm... iyelah. Suka hati kamulah, Syam.”
Hisyam tersenyum kecil sebelum menyambung semula menungnya yang terganggu. Menung yang sekali lagi mengundang riak hairan emaknya.
“Kamu ni, mak tengok macam ada masalah saja. Bergaduh dengan Ayu ke?”
“Hesy... mak ni. Mana ada. Saya dengan Ayu baik-baik aje. Tapi, tak tahulah kalau-kalau Idayu ada mengadu apa-apa kat mak.”
“Kenapa? Kamu ada sorok sesuatu ke daripada mak?”
Soalan Puan Mariam membuatkan dia terdiam. Niatnya mahu mengorek rahsia daripada emaknya, dibatalkan. Bimbang kalau-kalau rahsianya pula yang terbongkar.
“Ayah mana?” soalnya mengubah tajuk perbualan.
“Entahlah. Mak tak sempat nak tanya mana dia pergi masa dia keluar tadi. Kamu ni... ada masalah ke, Syam? Lain macam aje mak tengok.”
“Tak adalah mak. Mak ni... ini yang buat saya malas nak singgah ni. Ada saja yang tak kena kat mata mak.”
Puan Mariam senyum. Hatinya sedikit lega.
“Tak adalah. Mak cuma tanya saja. Mak risau kalau anak mak termenung sana, termenung sini... mengeluh sana, mengeluh sini...” bebel Puan Mariam panjang.
“Mak ni, cepat sangat fikir yang bukan-bukan. Termenung tak semestinya ada masalah. Saya termenung sebab nak relakskan otak saya yang penat ni. Think nothing. Baru ringan sikit otak yang penat bekerja seharian ni, mak.”
“Yalah tu, Syam. Kalau bab mereka alasan, kamu memang tak pernah kalah,” balas Puan Mariam bersahaja.
Hisyam tergelak kecil mendengar kata-kata emaknya itu. Sekurang-kurangnya emaknya tidak terus mengesyaki sesuatu.
“Accalamelekum!”
Puan Mariam tidak jadi menyambung bicaranya. Suara kecil yang amat dia rindui itu lebih menarik perhatiannya. Dia memandang ke arah pintu.
Syafiq berlari meninggalkan mamanya yang baru menutup pintu kereta.
“Nenek!” laungnya girang.
Puan Mariam bergegas ke pintu.
“Eh, cucu nenek dah sampai. Panjang umur. Baru disebut dah ada depan mata. Rindunya nenek dengan cucu nenek ni.” Puan Mariam bersuara girang sambil memeluk tubuh kecil Syafiq.
Syafiq hanya tersengih apabila neneknya mencium pipinya bertalu-talu.
Idayu melangkah perlahan sambil memandang ke arah Perdana V6 milik suaminya. Rupa-rupanya lelaki itu berada di sini.
“Ayu... apa dipandangnya tu?”
Teguran emak mertuanya, membuat dia sedikit tersentak. Dia tersenyum sambil melangkah mendapatkan Puan Mariam.
“Apa khabar mak?” Lembut dia menyapa sambil mengucup jemari Puan Mariam.
“Baik. Panjang umur kamu. Baru mak sebut, dah sampai,” ujar Puan Mariam lembut.
Idayu tergelak kecil. “Afiq ni. Katanya nak jumpa nenek dengan atuk. Nak beritahu dia demam. Lagipun tak ada apa nak buat kat rumah. Abang Syam ada kat sini, ya mak?”
“Ada kat dalam tu. Baru sampai. Mak tanya dia, kenapa tak bawa kamu dengan Syafiq sekali. Katanya nak singgah sekejap saja.”
Idayu tersenyum sambil melangkah masuk. Dari jauh dia melihat Hisyam sedang berbual sesuatu dengan Syafiq.
“Abang... ” sapa Idayu lembut, sambil mencapai tangan Hisyam. Mengucup lembut tangan lelaki itu.
Hisyam memandang senang.
“Kenapa datang sini tak beritahu abang dulu?” soal Hisyam sebaik sahaja Idayu melabuhkan punggung di sebelahnya.
Idayu memandang sekeliling. Emak mertuanya sudah hilang ke dapur bersama Syafiq.
“Abang pun datang tak beritahu Ayu,” balas Idayu tidak mahu mengalah.
Hisyam tersenyum.
“Ooo... pulang paku buah keras, ya?” usik Hisyam sambil menyentuh hidung isterinya.
Idayu tersenyum sambil cuba mengelak.
Melihat senyuman Idayu, Hisyam sedikit tenang. Senyuman itu tidak lagi sehambar sebelumnya. Ada sedikit ceria di wajah Idayu.
“Afiq bersungut nak jumpa atuk dengan nenek dia. Itu sebab Ayu datang ni. Abang marah ke?”
Hisyam tersenyum sambil mencapai jemari Idayu. Mengusap lembut jemari isterinya itu.
“Abang gurau ajelah. Nak marah buat apa? Ayu bukan ke tempat lain pun.”
Idayu tersenyum. “Ayu cuba call abang. Tapi, tak dapat. Abang off phone ke?”
“Ya ke? Tak adalah,” jawab Hisyam sedikit hairan. Tangannya cepat meraba poket seluarnya. Telefon bimbitnya dikeluarkan. Memang benar telefon bimbitnya terpadam. Dia cuba aktifkan kembali, tetapi gagal.
“Patutlah. Battery weak,” ujarnya tersengih.
Idayu memandang lama wajah Hisyam. Dia bersuara dengan nada yang sinis. “Businessman boleh biarkan phone weak? Macam mana boleh lupa nak charge tu? Ini... mesti asyik teringatkan benda lain ni....”
“Salah siapa? Salah Ayulah.” Hisyam bersuara selamba membuatkan Idayu mengerutkan kening. Hisyam tergelak. Cukup suka melihat Idayu yang berkerut kening.
“Kenapa salah Ayu pula?” soal Idayu sedikit hairan dengan tuduhan suaminya.
“Selama ni... siapa yang selalu charge handphone abang?”
“Ayu...” balas Idayu agak perlahan. Rupa-rupanya Hisyam ada hujah untuk mengenakan dia.
“Dah berapa hari Ayu tak charge handphone abang?”
“Tiga. Tapi, kan abang boleh charge sendiri.”
“Ya. Betul. Tapi, abang lupa. Lupa sebab fikiran ni asyik tertanya-tanya, kenapalah semenjak dua menjak ni... isteri abang ni, macam lain sangat dengan abang. Merajuk ke isteri abang ni, ya?” Hisyam bersuara sambil merenung wajah Idayu bersama sekuntum senyuman nakal.
“Lain? Lain macam mana?” soal Idayu pura-pura tidak mengerti akan bicara Hisyam.
Hisyam menjongketkan bahu. “I don’t know. Abang tak tahu nak explain macam mana. But, I can feel it. There’s something wrong with you. Kan?”
Idayu tunduk bersama senyum. Kemudian perlahan mengangkat muka memandang wajah suaminya. Memang ada rajuk di hati. Memang ada sendu di jiwa. Namun, rasa itu bukan untuk dia layan menjadi satu kedinginan yang panjang. Dia cuma perlukan masa untuk memujuk hati sendiri. Perlukan masa untuk memadam semua hal yang membuat sekeping hati wanitanya berlagu pilu.
“Perasaan abang saja kut. Ayu okey aje. Tak ada apa-apa yang lain pun.”
“Harap-harap betullah cakap Ayu. Perasaan abang aje.”
Idayu tersenyum. Dia menyentuh lembut jemari Hisyam. Membawa bahagia terlarut di jiwa Hisyam. Dia suka kemesraan itu. Dia asyik dengan kemanjaan itu.
“Syafiq macam mana? Dah okey? Dah lincah semacam abang tengok tu.”
“Dah.... Itu pun puas memujuk, baru nak makan ubat.”
“Ikut perangai siapa? Perangai mama dia juga, kan? Mama dia lagi bagus. Nak pergi klinik kena dukung. Dah pergi klinik, ubatnya tong sampah pula yang makan. Kan?” gurau Hisyam tersenyum panjang.
Idayu diam sambil menarik muka masam. Lagi-lagi dia yang terkena. Dan, Hisyam masih ingat peristiwa itu? Sudah terlalu lama peristiwa itu berlalu. Dia sendiri sudah hampir lupa pada mulut Hisyam yang membebel marah dan tangan Hisyam yang cepat mencempung dirinya lalu disumbat ke dalam kereta apabila dia membantah untuk dibawa ke klinik. Marah betul Hisyam apabila dia tidak mahu ke klinik. Dan, marah Hisyam bertambah apabila keesokan paginya, dia menemui plastik berisi ubat yang tidak berusik di dalam tong sampah. Itu cerita tujuh tahun lalu. Kisah sewaktu hubungan dia dan Hisyam masih dibaluti kedinginan perasaan.
“Dah dua-dua ada kat sini, makan di sinilah ya. Mak dah suruh Yati masakkan makan malam lebih sikit. Malam ni, tidur di sini. Esok kan cuti.” Suara itu melontar kenangan lalu yang baru bertenggek di birai ingatan. Puan Mariam sudah tercegat di hadapan mereka.
Hisyam memandang wajah Idayu sambil menjongketkan keningnya.
Idayu tersenyum. Faham benar dengan perangai emak mertuanya itu.
“Macam mana?” Pendek soalan meluncur di bibir Hisyam.
“Ayu tak kisah.”
Mendengar jawapan itu, Puan Mariam tersenyum senang.
“Kalau macam tu, abang nak mandi dululah.” Hisyam bersuara sambil mengangkat punggung.
Puan Mariam pula berlalu bersama cucunya menuju ke halaman.
“Nak Ayu sediakan air panas?” soal Idayu sambil mencapai telefon bimbit suaminya yang diletakkan di atas meja. Telefon itu perlu dicaj semula.
Hisyam tersenyum panjang. Senang melihat Idayu sudah kembali seperti biasa.
“Boleh juga. Lepas tu, kita mandi sama-sama, ya?” bisiknya sambil memeluk pinggang Idayu.
Mereka bersama-sama melangkah meniti anak tangga, menuju ke bilik yang memang disediakan khas untuk mereka.
“Tak payah nak mengada-ada,” balas Idayu bersama satu jelingan tajam, membuatkan Hisyam tertawa senang.
Betapa selama beberapa hari ini, dia merindui saat-saat sebegini. Dia rindu untuk melihat senyum manis Idayu. Dia rindu untuk mendengar tawa bahagia Idayu. Dia juga rindu untuk menikmati jelingan manja isterinya itu. Semua itu cukup membahagiakannya. Namun entah kenapa, di tengah-tengah kebahagiaan ini, dia masih terasa ada ruang yang kosong. Dan saat ini, kekosongan itu terisi dengan kehadiran Maisara. Sukar untuk ditepis, kerana dia berasa kekosongan itu perlu diisi.
Idayu mencuri pandang wajah ceria Hisyam. Memang wajah itu sedikit murung kebelakangan ini. Rupa-rupanya lelaki ini terkesan dengan rajuk dalam diamnya. Entah kenapa, dia berasa kehilangan di dalam kemesraan layanan Hisyam. Hatinya menjadi tidak tenteram. Perasaannya bercampur baur. Dan perkara yang paling dia takut saat ini adalah... kehilangan Hisyam. Dia tidak sanggup kehilangan Hisyam. Dia takut untuk mendengar sebaris ayat daripada lelaki itu. Dia takut menunggu detik Hisyam menyatakan dirinya sudah tidak diperlukan oleh lelaki itu. Sekali lagi dalam diam dia menikmati wajah lelaki itu.

BAGAIMANA UNTUK MENDAPAT NOVEL INI?

Untuk mengetahui kesudahan kisah ini, segera dapatkan KUSERU RINDU ITU di rangkaian kedai buku MPH, Popular dan kedai-kedai berdekatan anda.

Anda juga boleh terus melanggan dengan Kaki Novel Enterprise melalui online ataupun pos. Untuk melanggan melalui online, sila layari laman web kami di:- www.kakinovel.com. Untuk melanggan melalui pos, anda hanya perlu tuliskan nama, alamat lengkap, no. telefon, tajuk novel yang ingin dilanggan dan jumlah naskhah berserta wang pos/ kiriman wang atas nama:-

KAKI NOVEL ENTERPRISE

dan poskan ke alamat berikut:-

Kaki Novel Enterprise

No. 33-2, Jalan Wangsa Delima 12,

D’Wangsa, Wangsa Maju,

53000 Kuala Lumpur.

No. Telefon:- 03-4149 0096 begin_of_the_skype_highlighting 03-4149 0096 end_of_the_skype_highlighting

No. Faks:- 03-4149 1196