KUSERU RINDU ITU

KUSERU RINDU ITU
Perkahwinan itu tiada kekurangan langsung.Hisyam bahagia menjadi suami kepada Idayu dan Idayu sepuluh kali bahagia bergelar isteri kepada lelaki yangdicintai sepenuh jiwanya itu, walau perkahwinan mereka bukan berlandaskan perasaan cinta pada mulanya. Kebahagiaan hampir menjadi sempurna dengan kehadiran seorang anak lelaki yang cukup keletah. Namun di pihak Hisyam, bagai ada satu kekosongan di hatinya. Kekosongan yang dia rasakan perlu diisi dengan kehadiran seorang gadis manis bernama Maisara. Maisara mengajarnya erti rindu. Maisara juga berjaya membawa debar di hatinya apabila mata saling bertaut. Yakin, itu adalah cinta yang dia cari, Hisyam nekad mahu bersama dengan Maisara. Namun… satu hakikat yang mula dia sedar, desakan demi desakan daripada Maisara agar Idayu disingkirkan di antara mereka, telah membuka satu dilema baru. Walau dia yakin hubungannya dengan Idayu hanya berlandaskan rasa tanggungjawab, satu kenyataan yang perlu dia hadapi… dia tidak mampu untuk berpisah dengan Idayu. Lalu, benarkah ada cinta yang mekar di hatinya untuk Maisara, dan benarkah juga hubungannya dengan Idayu hanya kerana tanggungjawab semata-mata? Mampukah dia menerima hancur sekeping hati milik Idayu dengan kecurangannya dan mampukah Maisara terus membawa bahagia di jiwanya? Siapakah sebenarnya yang benar-benar dia cinta?

“Saya sendiri tak pernah sangka Idayu boleh jadi sekeras ini. Salah saya, terlalu yakin dengan kelembutan dia. Dia tak pernah melawan. Dia selalu patuh dan mengalah pada saya. Selalu buat saya berasa dia akan selalu akur pada saya. Sekali terkena, terduduk saya. Rupa-rupanya saya masih belum kenal betul-betul siapa Idayu,”

Thursday, August 11, 2011

BAB 1

PROLOG

AYUNA yang sudah galak tersenyum apabila diagah, diagah sekali lagi. Senang melihat senyuman anak kecil itu.
“Comelnya dia... comelnya dia tenyum,” agah Maisara lagi membuatkan ada tawa mengekek di bibir bayi itu. Maisara tersenyum lebar lantas membawa tubuh kecil itu rapat ke pelukannya.
“Sara....”
Perlahan dia berpaling. Memandang wajah Mak Teh sambil tersenyum.
“Mak Teh ambil Ayuna, ya. Dah masanya dia menyusu dan tidur.”
Maisara tersenyum sambil mengangguk.
“Yuna dah nak tidur, ya? Pergi tidur dengan Nek Teh, ya.” Dia mengagah lagi sambil menyerahkan Ayuna ke dalam dukungan Mak Teh.
Mak Teh menyambut sambil tersenyum. Kemudian dia melangkah meninggalkan ruang tamu yang kian sepi.
Maisara mengangkat punggung perlahan. Dia mahu mencari wajah Hisyam.
“Sara....”
Maisara mengangkat muka. Tersenyum lebar melihat si pemilik suara yang memanggil namanya.
“Abang....” Dia bersuara perlahan. Kagum melihat Hisyam yang cukup segak berbaju Melayu berwarna biru. Cukup mempesona dengan samping songket hitam bersulam benang perak. Senyum di wajah lelaki itu cukup untuk menyatakan betapa saat ini, Hisyam sedang menikmati kebahagiaan yang tiada sempadannya.
“Kacaknya abang, ” usik Maisara sambil tersenyum panjang.
Hisyam tergelak kecil. “Mana ada orang tua yang kacak?”
“Mana ada abang ni tua?”
Hisyam tergelak lagi.
“Apa yang kelakar sangat ni?”
Hisyam menoleh. Melihat senyuman manis Idayu yang sering memikat hatinya. Pantas jemari Idayu ditarik perlahan. Membawa Idayu rapat ke sisinya.


 -----------

 BAB 1

DIA merenung kosong ke satu arah yang tidak pasti. Tidak ubah seperti perjalanan hidupnya yang tidak pernah ada kepastian yang nyata. Bagai tidak ada noktah bahagia di dalam hidupnya. Segalanya tinggal tergantung tanpa sebarang kepastian. Dan... akhir-akhir ini, persoalan itu acap kali melingkari fikirannya. Membelit perasaannya. Membuat dia lemas di dalam ketidakpastian perjalanan hidupnya yang panjang.
Dia takut sebenarnya. Takut kebahagiaan yang membaluti dirinya saat ini, bakal terlucut dari genggamannya. Dia tidak sanggup untuk membayangkannya. Dia sayangkan segala miliknya kini. Dia sayangkan perkahwinan ini. Namun, dia juga tidak mahu menjadi tamak. Tidak wajar dia terus menagih pada yang tidak sudi menghulur. Tidak wajar dia menghalang lagi andai jelas dirinya sudah disisih ke tepi.
“Mama.”
Perlahan dia menoleh. Menatap wajah kecil yang cukup comel di matanya. Anak kecil berusia empat tahun itu melangkah merapatinya. Perlahan dia merangkul tubuh kecil itu. Erat di dalam pelukannya. Cuma anak itulah sumber kebahagiaannya yang hakiki. Kasih sayang anak itu tidak perlu dia ragui. Bicara anak kecil itu juga cukup telus tanpa sebarang rahsia. Hatinya tidak pernah digaru resah setiap kali menatap senyum anak itu. Jiwanya tidak pernah menangis hiba mendengar gelak ceria anak itu.
“Mama. Nape mama cedih?”
Idayu tersenyum kecil mendengar soalan anaknya yang sedikit pelat. Perlahan dia mencium pipi gebu anak tunggalnya itu. Anak itu merenung wajahnya menanti jawapan.
“Mana ada mama sedih? Mama penatlah sayang. Banyak sangat kerja yang mama kena buat kat office tu.”
“Kalau penat... tak payah la keje. Duduk rumah dengan Afiq... dengan Nek Teh.”
Idayu tergelak kecil. Pipi Syafiq dicium lagi. Mudahnya penyelesaian untuk anak sekecil itu.
“Afiq dah makan?”
“Dah. Afiq makan dengan Nek Teh.”


“Dah mandi?”
“Dah. Afiq dah mandi. Afiq dah makan. Afiq dah gocok gigi. Semuanya dah.”
Idayu tersenyum panjang. Resahnya bagai menjauh seketika tatkala mendengar celoteh anak kecil itu.
“Kalau semuanya sudah... jom kita masuk tidur,” ucap Idayu separuh bergurau.
“Tak nak. Afiq nak tunggu papa.”
Idayu diam. Dia memandang jam di dinding. Hampir pukul sepuluh malam. Sudah agak lewat, namun bayang suaminya belum juga muncul. Ke manalah lelaki itu pergi.
“Dah lewat ni. Agaknya papa pulang lambat. Afiq tidur dulu, ya?”
Syafiq menggelengkan kepala.
Idayu pula tidak memaksa. Tidak mahu melihat Syafiq membuat perangai sebenarnya. Dia penat. Penat dengan kerja di pejabat. Penat dengan kerenah suami. Dia tidak mahu menambah penat itu dengan melihat Syafiq mengamuk pula.
Bunyi enjin kereta memasuki pekarangan rumah membuat Syafiq tersenyum riang.
Sebaliknya bunyi itu membuat dia menjadi tidak keruan. Rasa pedih tiba-tiba menerpa sekeping hati perempuannya. Tergambar kembali peristiwa petang tadi yang menyaksikan kemesraan suaminya dengan seorang gadis manis. Hatinya remuk perlahan-lahan melihat adegan itu. Hancur luluh melihat senyum gembira Hisyam menanggapi gurau manja gadis itu.
“Mama, papa dah balik. Cepat buka pintu!” gesa Syafiq sambil menarik tangannya.
Perlahan dia mengangkat punggung menuruti kemahuan Syafiq. Dia berdiri di ambang pintu, sementara Syafiq berlari mendapatkan papanya. Dari jauh dia merenung wajah milik Hisyam yang tersenyum lebar menyambut huluran jemari kecil Syafiq.
Perlahan lelaki itu melangkah keluar dari kereta. Melangkah longlai sambil memimpin Syafiq.
Tanpa bersuara Idayu mencapai kot dan briefcase di tangan Hisyam sambil mencium jemari Hisyam. Bergerak sedikit memberi ruang untuk Hisyam melangkah masuk.
Idayu masih tercegat di pintu tatkala Hisyam melabuhkan punggung ke sofa. Tali lehernya dilonggarkan sambil matanya memandang Idayu yang masih tidak bergerak. Melihat tingkah Idayu, timbul rasa hairan di hatinya. Kebiasaan, Idayulah yang menanggalkan tali lehernya. Menyambutnya dengan senyuman manis. Tetapi, hari ini, tingkah Idayu nampak lain sekali.
“Ayu... kenapa ni? Lain macam aje abang tengok?”
Idayu tersentak. Matanya liar mencari wajah Hisyam. Rupa-rupanya Hisyam sudah tersandar di sofa. Mengelak daripada soalan seterusnya daripada Hisyam, dia mula mengorak langkah menuju ke tingkat atas, menyimpan briefcase Hisyam.
Hisyam memandang hairan. Kemudian dia memandang pula ke arah anak tunggalnya yang terlentok manja di ribaannya.
“Mama kenapa?” soalnya kepada anak kecil itu.
Syafiq cuma menjongket bahu.
Hisyam tidak bertanya lagi. Rambut Syafiq dibelai perlahan sambil dia bersandar ke sofa. Melepaskan segala rasa penat. Matanya dirapatkan. Lega. Penatnya terasa menjauh.
Haruman lembut yang amat dia senangi, memaksa dia membuka mata. Idayu tercegat di hadapannya. Dia tersenyum senang menanggapi renungan Idayu.
“Afiq. Mari tidur sayang.”
Mendengar ajakan Idayu, Syafiq bangkit dari sofa. Barangkali matanya yang mulai layu, membuat Syafiq tidak bercakap banyak.
“Biar Mak Teh tidurkan Syafiq.”
Suara pembantu rumahnya yang datang secara tiba-tiba, membuat Idayu sedikit tersentak. Dia berpaling sambil tersenyum kecil manakala Syafiq pula, tanpa banyak bicara terus mendapatkan Mak Teh.
“Terima kasih Mak Teh,” ucap Idayu perlahan, dibalas dengan sekuntum senyuman daripada pembantu rumahnya. Idayu memandang Mak Teh yang meniti anak tangga menuju ke bilik Syafiq. Cuma setelah Syafiq hilang dari pandangan, barulah matanya beralih kepada Hisyam.
Hisyam mengangkat kening, merenungnya dengan renungan yang mengandungi seribu pertanyaan. Terkesan dengan kelainan sikap Idayu. Layanan Idayu sedikit dingin malam ini.
Melihat wajah Hisyam yang seperti menanti satu penjelasan, Idayu mengukir senyum. Menyembunyikan gundah yang bersarang di hati.
“Abang dah makan?”
“Dah.”
“Nak minum?”
Hisyam menggeleng perlahan.
“Kalau macam tu, Ayu nak masuk tidur dulu.” Akhirnya Idayu meminta izin untuk meninggalkan suaminya di situ. Dia tidak sanggup berdepan dengan Hisyam sebenarnya. Dia marahkan lelaki itu. Dia kecil hati dengan tindakan lelaki itu. Hisyam tergamak menjalin hubungan dengan perempuan lain, di luar pengetahuannya. Namun, untuk dia luahkan kemarahannya itu, dia tidak berdaya. Dia tahu siapa dirinya di hati Hisyam. Perlahan dia mengatur langkah meninggalkan Hisyam.
“Ayu.”
Langkahnya terhenti mendengar suara itu. Dia berpaling. Hisyam yang masih bersandar malas di sofa, tajam merenung wajahnya. Lama pandangan mereka bertemu.
Akhirnya Idayu mengalihkan pandangan ke arah lain.
Hisyam pula, perlahan mengangkat punggung. Mengatur langkah mendekati Idayu.
“Kenapa ni?” Lembut suara Hisyam mengajukan soalan.
Idayu diam. Cuma kepalanya menggeleng perlahan.
“Takkan tak ada apa-apa. Abang tengok Ayu lain macam aje.”
“Tak ada apa-apa. Cuma penat sikit. Banyak kerja kat office tadi.”
“Biasanya... Ayu tak macam ni. Lagipun, bukan hari ni saja kerja kat office tu banyak, kan? Ada benda lain ke yang mengganggu Ayu?”
Tanpa menjawab soalan itu, Idayu memandang wajah Hisyam yang menanti jawapan. Wajah itu nampak sungguh bersahaja. Seolah-olah lelaki itu tidak melakukan apa-apa kesalahan padanya. Mungkinkah Hisyam tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan gadis petang tadi? Mungkin dia yang terlalu memikirkan perkara yang bukan-bukan. Mungkin dia yang terlalu berprasangka pada suami sendiri. Akalnya mula berdiplomasi dengan hati. Tetapi, kemesraan itu? Barangkali perangai Hisyam dengan teman-teman memang begitu. Barangkali, dia yang tidak perasan selama ini. Akalnya sekali lagi memberi hujah. Membuatkan resahnya sedikit hilang.
“Ayu....”
Idayu tersentak lantas tersandar di pagar tangga.
Hisyam pula tergelak kecil melihat wajah Idayu yang jelas mempamerkan riak terkejut.
“Kenapa ni? Cakap tak ada apa-apa. Kalau tak ada apa-apa, tu... apa yang dimenungkan tu?” soal Hisyam tidak puas hati.
Idayu mengukir senyum. Perlahan dia menggeleng.
Hisyam melangkah lebih rapat. Berdiri di hadapannya sambil kedua-dua tangannya memegang pagar tangga. Membiarkan Idayu berada di dalam lingkaran pelukannya.
“Abang tak percaya.” Hisyam bersuara lembut sambil redup pandangan singgah di matanya.
“Betul bang. Tak ada apa-apa,” balas Idayu bersahaja.
Hisyam mencapai jemarinya.
Idayu tergamam. Tiba-tiba dia ingin menarik tangannya dari genggaman Hisyam. Beginilah Hisyam menggenggam jemari gadis manis itu. Namun, akalnya cepat menghalang. Dia tidak boleh terus hanyut di dalam perasaan cemburunya. Barangkali dia yang tersilap. Barangkali situasi yang sebenar, bukan seperti apa yang sedang bermain di fikirannya. Sudahnya, dibiarkan Hisyam mengusap lembut jemarinya.
“Sure?”
Idayu mengangguk sambil tersenyum lagi.
Hisyam turut tersenyum.
“Kita masuk tidur?” ajak Hisyam lembut di telinga Idayu. Kedua tangannya kini merangkul pinggang Idayu.
Idayu terkedu dengan tindakan Hisyam. Ternyata tidak ada yang berubah pada Hisyam. Hisyam tetap seperti lelaki yang dia kenali tujuh tahun dulu. Barangkali dia yang terlalu prasangka. Perlahan-lahan dia membalas pelukan Hisyam. Hisyam memandang wajahnya bersama senyuman yang amat dia senangi. Senyuman yang membahagiakannya selama tujuh tahun ini.
“Abang....”
“Hmmm....” Hisyam bersuara sambil hidungnya menikmati haruman rambut Idayu yang mengurai.
“Abang sayangkan Ayu?” tanya Idayu sambil mendongak mencari wajah Hisyam.
Hisyam tergelak kecil. Idayu sedang merenung wajahnya. Cukup dalam renungan isterinya itu. Membuat dia kelu seketika.
“Abang cintakan Ayu?”
Satu lagi soalan Idayu membuat dia terkedu. Akhirnya, sebuah tawa kecil memenuhi keheningan suasana. Hanya itu yang mampu dia keluarkan dari mulutnya.
“Abang... Ayu tanya ni. Jawablah...” gesa Idayu manja.
“Ayu... dah tujuh tahun kahwin, tiba-tiba tanya soalan macam ni. Kenapa ni?”
“Ayu cuma nakkan jawapan.”
Hisyam merenung wajah Idayu. Mulutnya seakan terkunci. Dan, renungan Idayu yang masih menagih jawapan membuatkan dia benar-benar bisu. Sayangkah dia pada Idayu? Pastinya ada rasa sayang yang merantai hubungan dia dan Idayu. Cintakah dia pada Idayu? Soalan itu mati tanpa jawapan.
“Abang....”
Hisyam cuma berdiam diri sambil jemarinya mengusap lembut wajah Idayu. Kemudian dia meleraikan pelukannya. Tubuh kecil Idayu didukungnya. Membuatkan Idayu terkejut.
“Abang belum jawab soalan Ayu.”
“Sekarang bukan masa untuk bercakap.” Bisik Hisyam bersama sekuntum senyuman nakal.
Senyuman yang membuat Idayu kembali resah. Hisyam tidak menjawab soalannya. Setelah tujuh tahun berlalu, Hisyam masih tidak menjawab soalannya yang satu itu. Wajah gadis manis bersama Hisyam kembali memenuhi ruang fikirannya. Mungkinkah Hisyam memang menjalin hubungan cinta dengan gadis itu? Sebabnya cukup kukuh. Hisyam tidak pernah mencintainya. Itulah sebabnya. Tiba-tiba hasutan itu berlegar di fikirannya. Menenggelamkan suara-suara nasihat. Yang tinggal hanyalah prasangka yang tidak bertepi.
ISYAM meneguk perlahan minuman yang terhidang di hadapannya. Dalam resah, fikirannya ligat mengingati kelainan sikap Idayu kebelakangan ini. Biarpun Idayu cuba berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku, dia dapat rasakan perubahan isterinya itu. Idayu sedikit dingin dengannya. Berbicara cuma apabila ditanya. Apabila diajak bergurau pula, cuma senyum hambar yang menghiasi bibir.
Dan dalam masa yang sama... tanpa dipinta, wajah Maisara turut muncul mengganggu fikirannya. Dia tersepit di tengah-tengah. Tiba-tiba terasa cukup susah untuk dia membuat pilihan. Rasa serba salah bagai menghimpit dirinya. Perlahan dia menghela nafas panjang. Tidak pernah dia duga, satu hari dia akan dihimpit situasi sebegini. Tidak pernah diimpikan untuk berhadapan dengan situasi sebegini. Terdera dek perasaannya itu, hatinya bertambah rawan. Tidak sanggup memikirkan perasaan Idayu yang sedang dicalarkan dalam diam.
“Hai Syam. Mengeluh panjang nampak?”
Hisyam berpaling. Bertemu pandang dengan pandangan emaknya.
Puan Mariam mengambil tempat di hadapan Hisyam. Wajah anak lelaki tunggalnya itu ditatap lama. Melihat menungan Hisyam yang panjang, bagai memberitahunya yang anaknya itu sedang menghadapi masalah. Membuat nalurinya digayut rasa resah. Tidak senang hatinya melihat garis kegusaran di wajah sang anak.
“Mana Ayu? Kenapa dia tak datang sekali?”
“Ayu tak tahu saya ke sini. Balik kerja saya terus singgah ke sini.”
“Hai... pelik. Kerja satu tempat tapi tak tahu hal masing-masing?” Puan Mariam bersuara dengan nada hairan. Dengan tingkah sedikit mencungkil. Sedang bermasalahkah Idayu dan Hisyam?
“Ayu tak masuk office hari ni. Cuti.”
“Cuti? Kenapa?” tanya Puan Mariam hairan.
“Syafiq demam. Tahu sajalah Syafiq tu kalau demam. Merengek nakkan mamanya.”
Puan Mariam mengangguk perlahan. Anggukan bersama satu keluhan lega. Yakin telahannya meleset.
“Macam papanya masa kecillah.” Puan Mariam menyambung bicara membuat Hisyam tersenyum.
H
“Kenapa tak balik ambil Ayu dulu? Boleh mak jumpa Syafiq. Dah lama tak tengok cucu mak tu.”
“Saya singgah sekejap saja mak. Tengoklah. Esok kami datang. Okey?”
“Hmmm... iyelah. Suka hati kamulah, Syam.”
Hisyam tersenyum kecil sebelum menyambung semula menungnya yang terganggu. Menung yang sekali lagi mengundang riak hairan emaknya.
“Kamu ni, mak tengok macam ada masalah saja. Bergaduh dengan Ayu ke?”
“Hesy... mak ni. Mana ada. Saya dengan Ayu baik-baik aje. Tapi, tak tahulah kalau-kalau Idayu ada mengadu apa-apa kat mak.”
“Kenapa? Kamu ada sorok sesuatu ke daripada mak?”
Soalan Puan Mariam membuatkan dia terdiam. Niatnya mahu mengorek rahsia daripada emaknya, dibatalkan. Bimbang kalau-kalau rahsianya pula yang terbongkar.
“Ayah mana?” soalnya mengubah tajuk perbualan.
“Entahlah. Mak tak sempat nak tanya mana dia pergi masa dia keluar tadi. Kamu ni... ada masalah ke, Syam? Lain macam aje mak tengok.”
“Tak adalah mak. Mak ni... ini yang buat saya malas nak singgah ni. Ada saja yang tak kena kat mata mak.”
Puan Mariam senyum. Hatinya sedikit lega.
“Tak adalah. Mak cuma tanya saja. Mak risau kalau anak mak termenung sana, termenung sini... mengeluh sana, mengeluh sini...” bebel Puan Mariam panjang.
“Mak ni, cepat sangat fikir yang bukan-bukan. Termenung tak semestinya ada masalah. Saya termenung sebab nak relakskan otak saya yang penat ni. Think nothing. Baru ringan sikit otak yang penat bekerja seharian ni, mak.”
“Yalah tu, Syam. Kalau bab mereka alasan, kamu memang tak pernah kalah,” balas Puan Mariam bersahaja.
Hisyam tergelak kecil mendengar kata-kata emaknya itu. Sekurang-kurangnya emaknya tidak terus mengesyaki sesuatu.
“Accalamelekum!”
Puan Mariam tidak jadi menyambung bicaranya. Suara kecil yang amat dia rindui itu lebih menarik perhatiannya. Dia memandang ke arah pintu.
Syafiq berlari meninggalkan mamanya yang baru menutup pintu kereta.
“Nenek!” laungnya girang.
Puan Mariam bergegas ke pintu.
“Eh, cucu nenek dah sampai. Panjang umur. Baru disebut dah ada depan mata. Rindunya nenek dengan cucu nenek ni.” Puan Mariam bersuara girang sambil memeluk tubuh kecil Syafiq.
Syafiq hanya tersengih apabila neneknya mencium pipinya bertalu-talu.
Idayu melangkah perlahan sambil memandang ke arah Perdana V6 milik suaminya. Rupa-rupanya lelaki itu berada di sini.
“Ayu... apa dipandangnya tu?”
Teguran emak mertuanya, membuat dia sedikit tersentak. Dia tersenyum sambil melangkah mendapatkan Puan Mariam.
“Apa khabar mak?” Lembut dia menyapa sambil mengucup jemari Puan Mariam.
“Baik. Panjang umur kamu. Baru mak sebut, dah sampai,” ujar Puan Mariam lembut.
Idayu tergelak kecil. “Afiq ni. Katanya nak jumpa nenek dengan atuk. Nak beritahu dia demam. Lagipun tak ada apa nak buat kat rumah. Abang Syam ada kat sini, ya mak?”
“Ada kat dalam tu. Baru sampai. Mak tanya dia, kenapa tak bawa kamu dengan Syafiq sekali. Katanya nak singgah sekejap saja.”
Idayu tersenyum sambil melangkah masuk. Dari jauh dia melihat Hisyam sedang berbual sesuatu dengan Syafiq.
“Abang... ” sapa Idayu lembut, sambil mencapai tangan Hisyam. Mengucup lembut tangan lelaki itu.
Hisyam memandang senang.
“Kenapa datang sini tak beritahu abang dulu?” soal Hisyam sebaik sahaja Idayu melabuhkan punggung di sebelahnya.
Idayu memandang sekeliling. Emak mertuanya sudah hilang ke dapur bersama Syafiq.
“Abang pun datang tak beritahu Ayu,” balas Idayu tidak mahu mengalah.
Hisyam tersenyum.
“Ooo... pulang paku buah keras, ya?” usik Hisyam sambil menyentuh hidung isterinya.
Idayu tersenyum sambil cuba mengelak.
Melihat senyuman Idayu, Hisyam sedikit tenang. Senyuman itu tidak lagi sehambar sebelumnya. Ada sedikit ceria di wajah Idayu.
“Afiq bersungut nak jumpa atuk dengan nenek dia. Itu sebab Ayu datang ni. Abang marah ke?”
Hisyam tersenyum sambil mencapai jemari Idayu. Mengusap lembut jemari isterinya itu.
“Abang gurau ajelah. Nak marah buat apa? Ayu bukan ke tempat lain pun.”
Idayu tersenyum. “Ayu cuba call abang. Tapi, tak dapat. Abang off phone ke?”
“Ya ke? Tak adalah,” jawab Hisyam sedikit hairan. Tangannya cepat meraba poket seluarnya. Telefon bimbitnya dikeluarkan. Memang benar telefon bimbitnya terpadam. Dia cuba aktifkan kembali, tetapi gagal.
“Patutlah. Battery weak,” ujarnya tersengih.
Idayu memandang lama wajah Hisyam. Dia bersuara dengan nada yang sinis. “Businessman boleh biarkan phone weak? Macam mana boleh lupa nak charge tu? Ini... mesti asyik teringatkan benda lain ni....”
“Salah siapa? Salah Ayulah.” Hisyam bersuara selamba membuatkan Idayu mengerutkan kening. Hisyam tergelak. Cukup suka melihat Idayu yang berkerut kening.
“Kenapa salah Ayu pula?” soal Idayu sedikit hairan dengan tuduhan suaminya.
“Selama ni... siapa yang selalu charge handphone abang?”
“Ayu...” balas Idayu agak perlahan. Rupa-rupanya Hisyam ada hujah untuk mengenakan dia.
“Dah berapa hari Ayu tak charge handphone abang?”
“Tiga. Tapi, kan abang boleh charge sendiri.”
“Ya. Betul. Tapi, abang lupa. Lupa sebab fikiran ni asyik tertanya-tanya, kenapalah semenjak dua menjak ni... isteri abang ni, macam lain sangat dengan abang. Merajuk ke isteri abang ni, ya?” Hisyam bersuara sambil merenung wajah Idayu bersama sekuntum senyuman nakal.
“Lain? Lain macam mana?” soal Idayu pura-pura tidak mengerti akan bicara Hisyam.
Hisyam menjongketkan bahu. “I don’t know. Abang tak tahu nak explain macam mana. But, I can feel it. There’s something wrong with you. Kan?”
Idayu tunduk bersama senyum. Kemudian perlahan mengangkat muka memandang wajah suaminya. Memang ada rajuk di hati. Memang ada sendu di jiwa. Namun, rasa itu bukan untuk dia layan menjadi satu kedinginan yang panjang. Dia cuma perlukan masa untuk memujuk hati sendiri. Perlukan masa untuk memadam semua hal yang membuat sekeping hati wanitanya berlagu pilu.
“Perasaan abang saja kut. Ayu okey aje. Tak ada apa-apa yang lain pun.”
“Harap-harap betullah cakap Ayu. Perasaan abang aje.”
Idayu tersenyum. Dia menyentuh lembut jemari Hisyam. Membawa bahagia terlarut di jiwa Hisyam. Dia suka kemesraan itu. Dia asyik dengan kemanjaan itu.
“Syafiq macam mana? Dah okey? Dah lincah semacam abang tengok tu.”
“Dah.... Itu pun puas memujuk, baru nak makan ubat.”
“Ikut perangai siapa? Perangai mama dia juga, kan? Mama dia lagi bagus. Nak pergi klinik kena dukung. Dah pergi klinik, ubatnya tong sampah pula yang makan. Kan?” gurau Hisyam tersenyum panjang.
Idayu diam sambil menarik muka masam. Lagi-lagi dia yang terkena. Dan, Hisyam masih ingat peristiwa itu? Sudah terlalu lama peristiwa itu berlalu. Dia sendiri sudah hampir lupa pada mulut Hisyam yang membebel marah dan tangan Hisyam yang cepat mencempung dirinya lalu disumbat ke dalam kereta apabila dia membantah untuk dibawa ke klinik. Marah betul Hisyam apabila dia tidak mahu ke klinik. Dan, marah Hisyam bertambah apabila keesokan paginya, dia menemui plastik berisi ubat yang tidak berusik di dalam tong sampah. Itu cerita tujuh tahun lalu. Kisah sewaktu hubungan dia dan Hisyam masih dibaluti kedinginan perasaan.
“Dah dua-dua ada kat sini, makan di sinilah ya. Mak dah suruh Yati masakkan makan malam lebih sikit. Malam ni, tidur di sini. Esok kan cuti.” Suara itu melontar kenangan lalu yang baru bertenggek di birai ingatan. Puan Mariam sudah tercegat di hadapan mereka.
Hisyam memandang wajah Idayu sambil menjongketkan keningnya.
Idayu tersenyum. Faham benar dengan perangai emak mertuanya itu.
“Macam mana?” Pendek soalan meluncur di bibir Hisyam.
“Ayu tak kisah.”
Mendengar jawapan itu, Puan Mariam tersenyum senang.
“Kalau macam tu, abang nak mandi dululah.” Hisyam bersuara sambil mengangkat punggung.
Puan Mariam pula berlalu bersama cucunya menuju ke halaman.
“Nak Ayu sediakan air panas?” soal Idayu sambil mencapai telefon bimbit suaminya yang diletakkan di atas meja. Telefon itu perlu dicaj semula.
Hisyam tersenyum panjang. Senang melihat Idayu sudah kembali seperti biasa.
“Boleh juga. Lepas tu, kita mandi sama-sama, ya?” bisiknya sambil memeluk pinggang Idayu.
Mereka bersama-sama melangkah meniti anak tangga, menuju ke bilik yang memang disediakan khas untuk mereka.
“Tak payah nak mengada-ada,” balas Idayu bersama satu jelingan tajam, membuatkan Hisyam tertawa senang.
Betapa selama beberapa hari ini, dia merindui saat-saat sebegini. Dia rindu untuk melihat senyum manis Idayu. Dia rindu untuk mendengar tawa bahagia Idayu. Dia juga rindu untuk menikmati jelingan manja isterinya itu. Semua itu cukup membahagiakannya. Namun entah kenapa, di tengah-tengah kebahagiaan ini, dia masih terasa ada ruang yang kosong. Dan saat ini, kekosongan itu terisi dengan kehadiran Maisara. Sukar untuk ditepis, kerana dia berasa kekosongan itu perlu diisi.
Idayu mencuri pandang wajah ceria Hisyam. Memang wajah itu sedikit murung kebelakangan ini. Rupa-rupanya lelaki ini terkesan dengan rajuk dalam diamnya. Entah kenapa, dia berasa kehilangan di dalam kemesraan layanan Hisyam. Hatinya menjadi tidak tenteram. Perasaannya bercampur baur. Dan perkara yang paling dia takut saat ini adalah... kehilangan Hisyam. Dia tidak sanggup kehilangan Hisyam. Dia takut untuk mendengar sebaris ayat daripada lelaki itu. Dia takut menunggu detik Hisyam menyatakan dirinya sudah tidak diperlukan oleh lelaki itu. Sekali lagi dalam diam dia menikmati wajah lelaki itu.

BAB 2


 BAB 2

TELEFON bimbitnya dicampak ke sofa. Maisara merengus geram.
Anis pula, sekadar memerhati tingkah teman serumahnya itu. Nampaknya Maisara marah benar. Dan situasi itu bukanlah satu situasi yang aneh.
“Hai... kasihan telefon yang tak bersalah tu.” Anis bersuara sambil mencapai majalah di atas meja.
Maisara cuma membuang pandang mendengar kata-kata Anis. Geramnya pada Hisyam melenyapkan keinginannya untuk berbicara dengan Anis.
“Apa masalahnya ni, Sara?” soal Anis apabila melihat wajah Maisara yang mencuka.
Maisara memandang wajah teman serumahnya itu. Apa yang hendak dia cakap pada Anis? Anis memang tidak bersetuju dengan keputusannya untuk menjalin hubungan dengan Hisyam. Tetapi, satu perkara yang tidak dapat dia nafikan, Anis memang seorang pendengar yang baik untuk mendengar setiap rintihan hatinya. Maisara mengeluh perlahan. Kadang-kadang dia malu untuk membuka cerita. Tetapi, untuk dia pendam segalanya, boleh membuat jiwanya semakin sakit.
“Hisyam?” teka Anis apabila Maisara terus membisu.
Maisara membuang pandang. Tekaan Anis tidak pernah salah. “Dah seminggu dia tak call aku. Aku telefon tak berangkat. Aku geram Anis, aku geram!”
“Dia outstation tak?” teka Anis cuba sedapkan hati Maisara.
Maisara mengeluh panjang. “Kalau dia outstation, dia mesti beritahu aku. Aku tak suka dia buat aku macam ni, tau. Aku risau. Entah apa jadi kat dia, sampai aku call pun dia tak jawab. Selalu buat aku risau macam ni. Lama-lama boleh jadi gila, tahu tak?”
“Ala... tak ada apa-apalah. Dia sibuk kut.”
“Sibuk sekalipun, takkan tak boleh jawab call aku? Ni... lagi teruk. Langsung tak dapat nak call. Aku risau, kalau terjadi apa-apa pada dia.”
“Kau ni... cuba optimis sikit. Agaknya dia ada masalah kut.”
“Kau ni, kenapa? Kejap outstation. Kejap sibuk. Kejap ada masalah. Mana satu yang kau nak cakap sebenarnya ni?” kata Maisara tidak puas hati.
Mendengar soalan Maisara yang bernada rungutan itu, Anis tergelak kecil. “Aku cuma memberi kemungkinan saja. Atau... mungkin isteri dia dah tahu hubungan kau dengan Hisyam. Mungkin isterinya tak benarkan dia call kau. Mungkin setiap call yang dia terima, kena tapis dulu. Siapa tahu, kan?”
Maisara terdiam. Itu adalah andaian paling berani daripada Anis. Dia pula, berat untuk menafikan andaian itu. Barangkali andaian Anis itu betul.
Melihat Maisara membisu, Anis pula disapa rasa serba salah. Tersinggungkah Maisara dengan kata-katanya sebentar tadi? “Sara... I’m sorry.”
“No. It’s okay.” Pantas Maisara memotong kata-kata Anis. Anis tidak perlu meminta maaf. Kata-kata Anis itu berasas.
“Aku tak bermaksud nak buat kau tersinggung. Tapi, kau kena terima kenyataan. Bercinta dengan suami orang, tak selamanya indah. Satu hari, kau kena hadapi juga situasi sebegini.”
“Aku tahu. Tapi, dia tak patut buat macam ni. Buat aku risau tak bersebab. Tension! Tahu tak?” ujar Maisara seakan hilang sabar.
“Sabarlah. Kalau kau nak teruskan hubungan kau dengan Hisyam, kenalah kau belajar sabar banyak-banyak.”
Maisara diam seketika. Memandang wajah Anis yang selamba.
“Maksud kau?” soal Maisara perlahan. Kurang mengerti dengan maksud kata-kata Anis.
Anis menarik nafas panjang. Majalah di tangannya, diletakkan semula ke atas meja. Dia memandang wajah Maisara yang masih masam mencuka.
“Aku nak tanya kau ni. Kau yakin, Hisyam tak main-main?” soal Anis serius.
Perlahan Maisara mengangguk. Dia tidak fikir Hisyam ingin mempermainkannya. Dia yakin Hisyam serius dengannya. Hisyam jujur.
“Dan kau... kau sanggup terima Hisyam dengan keadaan dia macam tu?”
“Maksud kau?”
“Yalah. Kau tahu Hisyam tu suami orang. Kau boleh terima keadaan dia tu?”
“Aku dah buat keputusan ni setahun yang lalu, sejak kali pertama aku jumpa dia. Aku yakin, dialah lelaki yang akan berkongsi hidup dengan aku. Aku yakin dengan pilihan aku dan aku yakin dia takkan mempermainkan aku.”
“Kau nekad untuk terima dia, bermakna kau juga harus nekad untuk berkongsi kasihnya dengan perempuan lain. Jadi, kau harus belajar untuk berasa kehilangannya buat seketika. Maksud aku bila kamu berdua berkahwin, dia tidak akan berada di sisi kau sepanjang masa. Isteri tua pun tanggungjawab dia juga. Remember that,” jelas Anis panjang lebar.
“Dan kesimpulannya, apa yang akan kau lalui nanti, sama seperti apa yang kau lalui sekarang. Anggap sahaja ini satu latihan. Latihan untuk berkongsi suami,” tambah Anis sebelum sempat Maisara bersuara.
Mendengar kata-kata itu, Maisara menarik muka masam.
“Ayat kau tu, sama ertinya dengan ayat: Padanlah muka kau, sebab gatal nak bercinta dengan suami orang. Kan? Kau sindir aku, kan?” soal Maisara dengan nada suara yang agak dingin. Terasa seperti Anis cuba menyindirnya.
Anis menggeleng perlahan. Sensitif Maisara datang lagi. “Sara... aku tak ada niat langsung nak sindir kau. Kau tu yang terlalu sensitif. Apa yang aku cakap ni, kenyataan. Nampaknya kau tak boleh terima kenyataan ni. Jadi macam mana kau nak teruskan percintaan dengan suami orang ni?”
Maisara tunduk. Benar kata-kata Anis. Dia terlalu sensitif. Anis cuma memberi pandangan. Niat Anis baik. Dia yang salah sangka. Barangkali dia yang sedikit prejudis kerana dia tahu Anis tidak pernah menyokong tindakannya itu. Anis tidak pernah bersetuju apabila dia mengambil keputusan untuk bercinta dengan Hisyam. Perlahan dia menyentuh tangan Anis sambil membalas renungan Anis.
“I’m sorry. Aku... teremosi.” Maisara bersuara sambil cuba mengukir senyum.
Anis tersenyum kecil. “Sara. Listen to me. Aku memang tak setuju bila kau kata kau nak bercinta dengan Hisyam. Dan, kau pula kawan aku. Tapi, aku juga kena jujur pada diri aku sendiri. Kita ada prinsip masing-masing. Takkan aku kena lupakan prinsip aku semata-mata kerana prinsip aku bertentangan dengan prinsip kawan baik aku? Prinsip aku... cuba elakkan skandal dengan suami orang. Kau pula, tak kisah bercinta dengan lelaki yang dah
berkahwin. Jelas pegangan kita berbeza. Tapi, itu tidak boleh menjejaskan persahabatan kita. Apa yang aku nak cakap kat sini, walaupun pegangan hidup kita berbeza... prinsip kita berbeza... kita tetap bersahabat. Ingat tu, kau tetap sahabat aku. Sebagai sahabat, aku perlu hormat keputusan kau. Dan sebagai seorang sahabat juga, aku tidak sanggup nak tengok kau hadapi masalah sendirian. I’m here to be your listener. Mungkin aku tak dapat selesaikan masalah kau... tapi, sekurang-kurangnya boleh buat kau rasa lega sedikit. That’s what I’m trying to do. That’s all. Tak ada niat lain langsung. Percayalah!”
“Thanks, Anis. You’re right. Kau cuma nak tolong aku. Mendengar masalah aku. Membuat aku rasa lega. Yes. You did it. Sekali lagi aku minta maaf. Tak sepatutnya aku fikir yang bukan-bukan. Maafkan aku, ya?”
Anis mengangguk perlahan. “Mungkin pendapat aku, kadang-kadang boleh buat kau terguris. Tapi, kau kena tahu itulah hakikatnya. Kita tak boleh fikir, yang kita sentiasa betul.”
Maisara cuma membisu. Pandangannya dilemparkan ke luar jendela.
“Kalau aku tanya, kau jangan marah, ya?” Anis membuka bicara lagi.
Pandangan Maisara kembali ke wajah Anis.
“Apa dia?” soalnya sedikit hairan dengan soalan Anis.
Anis berdeham perlahan sambil memperbetulkan duduknya. “Apa yang membuat kau tertarik pada Hisyam tu?”
Maisara tergelak kecil. Itu rupa-rupanya soalan yang ingin Anis suarakan. “He’s good looking. Sesiapa pun akan tertarik pada lelaki seperti Hisyam. Don’t tell me, kau langsung tak tertarik pada Hisyam. Kalau pun tak tertarik, at least admire dengan rupanya, kan?”
Anis tersenyum kelat. Memang dia akui kebenaran kata-kata Maisara. Namun, itu tidak boleh dijadikan ukuran untuk Maisara dengan begitu mudah jatuh hati pada lelaki yang sudah berkahwin itu. Sedangkan suatu ketika dahulu, Maisara terlalu dingin apabila soal cinta dibincangkan. “Good looking plus married. Maaf kalau kau terasa... kau tahu dia dah kahwin. Tak rasa bersalah ke? Sebab kau dah rampas hak orang lain. Aku tak faham. Kenapa suami orang yang kau pilih sedangkan ramai lagi lelaki bujang kat luar sana yang menagih cinta kau?”
Maisara menarik nafas panjang. Wajah Anis dipandang agak lama. Sukar untuk dia mencari jawapan yang tepat untuk soalan Anis. Agak pedas, tetapi jujur. Hampir setahun dia bercinta dengan Hisyam, Anis tidak pernah bertanya. Tetapi hari ini, soalan pedas itu keluar dari mulut Anis.
“Tak pernah menjadi impian aku untuk bercinta dengan orang yang dah berkahwin. Tak pernah. Even, to think about it pun aku tak berani. Tapi, Hisyam... dia lain. Dia jujur dengan aku sejak dari mula aku kenal dia. Dia tak menipu. Dia tak memujuk rayu dengan niat yang tidak baik. Dia hormat aku sebagai seorang perempuan. Tak pernah ambil kesempatan ke atas aku. And, he said... he loves me.”
“Dia kata dia cintakan kau? Pernah dia ajak kau kahwin?”
“In fact, aku pun belum bersedia untuk berkahwin. But now, I think I’m ready for it,” jawab Maisara yakin.
“Kau tak bersedia untuk berkahwin dan dia pun tak pernah mention about it?” soal Anis lagi.
“Yes. Kenapa ni? Kau tanya aku macam polislah.” Maisara menjawab soalan Anis bersama tawa kecil.
“Aku cuma bimbang kalau-kalau dia cuma nak permainkan perasaan kau.”
“I don’t think so. Tak ada sebab untuk dia buat macam tu.”
“Dia ada masalah ke dengan isteri dia?”
“Tak ada. Dia cuma mencari sesuatu yang dia tak jumpa apabila bersama dengan isterinya.”
“Apa?”
“Cinta.”
Anis tergelak besar. “What? Nonsense. Kalau tak cinta... kenapa mereka berkahwin?”
“Parent’s decision.”
“Macam dalam novel cinta tu? Please Sara. Wake up. Susah aku nak percaya. Entah-entah dia cuma tipu kau. Dan... orang sekeras kau, boleh percaya macam tu saja?”
Maisara tersenyum. “Tapi... kau mesti ingat, karangan pengarang novel bermula daripada realiti kehidupan. Betul tak?”
“Betul. Tapi...”
“No tapi-tapi. This is not impossible. And aku percayakan dia,” potong Maisara sebelum habis bicara Anis.
Anis cuma menjongketkan bahunya. Tidak mahu lagi berdebat dengan Maisara. Cukuplah sekadar dia mendengar cerita Maisara. Maisara lebih mengenali Hisyam berbanding dirinya. Barangkali benar apa yang Maisara katakan. Mungkin juga dia yang terlalu prasangka pada niat Hisyam terhadap temannya itu.
Alunan lagu Dealova mengganggu bicara mereka. Maisara memandang telefon bimbit yang dilempar ke sofa dari jauh. Bergerak-gerak minta dijawab.
“Tak nak jawab ke?” soal Anis hairan melihat Maisara selamba mendengar nada dering telefon bimbitnya itu tanpa menjawabnya.
“Siapa?” tanya Maisara ingin tahu.
Anis menjengah melihat nama yang terpamer pada skrin telefon yang menjerit di sebelahnya.
“Buah hati kau,” jawabnya pendek. Tangannya mencapai telefon yang dilempar oleh Maisara sebentar tadi.
“No. Put it back. Aku tak nak jawab.”
Anis akur dengan wajah yang tidak mengerti. Apa sebenarnya yang diingini oleh Maisara? Baru sebentar tadi gadis itu mengamuk kerana Hisyam tidak menghubunginya. Dan sekarang, dalam masa kurang satu jam, dia menolak untuk menjawab panggilan daripada lelaki itu. Alunan lagu yang sama bergema lagi. Anis memandang wajah Maisara yang kembali mencuka.
“Jawablah. Bising!” gesa Anis sedikit rimas.
Maisara mendengus perlahan. Kusyen di sebelahnya dicapai dan dicampak untuk menutup telefon bimbitnya.
“Okey?” soalnya memandang wajah Anis.
Anis menggeleng perlahan. “Aku tak fahamlah. Tadi kau yang beria-ia tunggu dia call. Kau yang susah hati sebab dia tak jawab bila kau telefon. Sekarang... bila dia call, kau pula yang tak nak jawab.”
“Dia fikir, dia saja yang boleh buat macam tu? Dia silap. Kalau dia tak jawab call aku, aku pun tak payahlah jawab call dia. Baru adil.”
“Adil? Ha... baguslah. Nanti dia merajuk, kau pula yang susah hati.”
“Kita tengoklah siapa yang merajuk... siapa yang pujuk.”
“Suka hati kaulah Sara. Daripada aku layan kau... lebih baik aku tidur,” ujar Anis sambil bangkit dari sofa.
“Hei! Tak eloklah tidur siang. Nanti gemuk, tahu?”
“Biar gemuk, daripada pening kepala tengok perangai kau ni.” Jawab Anis dengan nada memerli.
Maisara tergelak mendengar kata-kata Anis.
Anis pula terus berlalu masuk ke bilik.
Maisara merenung ke arah telefon bimbitnya yang masih menjerit di bawah kusyen. Dia tersenyum kecil. Puas hati dapat membalas apa yang telah Hisyam lakukan padanya. Kadang-kadang dia memang geram pada Hisyam. Lelaki itu terlalu mementingkan keluarganya. Dia sering menjadi pilihan kedua, walaupun mulut lelaki itu tidak pernah putus mengatakan ungkapan cinta.
Setiap kali terpaksa membuat pilihan, keluarganya pasti akan diutamakan. Alasannya cukup mudah. Tidak sampai hati mengecewakan anak kecilnya. Sehingga ke hari ini dia cuba bersabar. Maklum akan risiko berkasihan dengan suami orang. Tetapi, sering kali juga dia terfikir sampai bila dia boleh bersabar? Sudahnya dia cuma mampu mengeluh perlahan.

BAB 3


BAB 3


IDAYU bersandar pada kerusi di banglo dua tingkatnya. Angin petang yang sesekali menyapa wajahnya, membuatkan rambut ikalnya beralun perlahan. Matanya terus melekat pada gelagat Hisyam. Dari tadi lelaki itu asyik menekan-nekan telefon bimbitnya. Untuk kesekian kalinya juga telefon itu disuakan ke telinga. Berkali-kali dia melihat Hisyam cuba membuat panggilan. Barangkali membuat panggilan pada nombor yang sama. Mungkin juga panggilannya tidak berjawab, memaksa lelaki itu mengulangi perbuatan yang sama berkali-kali.
Dia pula, entah kenapa menjadi sayu melihat tingkah itu. Hatinya memberontak untuk mengetahui siapalah yang cuba dihubungi oleh suaminya itu. Wajah Hisyam nampak cukup serius. Jelas kelihatan riak kecewa dan marah pada wajah itu. Mindanya pula, begitu cepat membentuk imej gadis manis yang cukup mesra dengan Hisyam tempoh
hari. Mungkinkah Hisyam sedang cuba menghubungi gadis itu? Mungkinkah ada krisis di antara mereka dan gadis manis itu, kini sedang merajuk? Mungkinkah juga suaminya itu sedang berusaha memujuk buah hatinya itu? Perlahan Idayu pejamkan mata. Tidak sanggup membiarkan mindanya terus memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang menyakitkan itu. Dia takut untuk memikirkan andaian-andaian itu. Dia takut, kerana itu semua hanya akan membuatkan Hisyam semakin jauh dari hidupnya. Dia tidak sanggup kehilangan lelaki itu. Begitu sukar kebahagiaan ini menjelma, dan dia tidak mahu kehilangan segala-galanya dengan begitu mudah.
“Segalanya pasti sukar untuk awak nanti. Jadi, ada baiknya awak fikir masak-masak. Betul ke awak nak teruskan semua ini? Saya tak mahu awak menyesal nanti.”
Suara Hisyam tujuh tahun lalu, kini terngiang-ngiang di telinganya. Inikah penyesalan yang dimaksudkan oleh Hisyam?
“Awak pasti ini keputusan awak?”
“Apa pilihan yang saya ada untuk saya membuat keputusan?”
“Kita tidak kenal antara satu sama lain dengan mendalam. Kita cuma kenal melalui beberapa pertemuan sejak kebelakangan ni saja. Tiba-tiba kita terpaksa bersatu dalam satu ikatan perkahwinan. Mustahil bagi saya. Dan mustahil saya dapat membahagiakan awak. Saya tak ada apa-apa perasaan terhadap awak. Please, think about it. Jangan sisa-siakan masa depan awak. Katakan saja awak tak mahu teruskan rancangan mengarut ni. Habis cerita. Itu saja. Senang, kan?”
Idayu memandang wajah Hisyam yang nampak cukup bersahaja. Lelaki itu bersandar pada batu besar sambil matanya ditebarkan ke tengah lautan yang maha luas.
“Encik Hisyam... apa kata saya cadangkan semula cadangan bernas Encik Hisyam tu pada Encik Hisyam sendiri? Parents kita sekarang, ada kat dalam. Why don’t you just go inside and tell them about your brilliant suggestion. I bet you... mereka mesti happy.”
“What???”
Idayu membuang pandang. Menyedari Hisyam merenung tajam ke arahnya.
“Kalau awak keberatan untuk beritahu parents saya, tak apa. Awak cuma perlu beritahu parents awak sahaja. Boleh, Encik Hisyam?” Dia menyambung kata-kata sambil memandang wajah Hisyam.
Hisyam mengeluh keras. Wajah lelaki itu jelas kelihatan sangat marah. “You know what Cik Idayu? Awak ni... bodoh sombong. Tahu tak?”
Bulat mata Idayu memandang wajah Hisyam. Berani lelaki itu mengeluarkan kata-kata sebegitu.
“Encik Hisyam! Jaga mulut awak, okey! This is my first and last warning. Saya tak perlukan kritikan awak tentang diri saya. Lagipun, awak tak kenal saya pun!” marah Idayu.
“Okay. I am sorry. Mungkin saya terlepas cakap. Tapi, saya datang dengan niat yang baik. Pertunangan kita ni... tak masuk akal. Dan, perkahwinan kita... itu kerja gila. Awak tak nampak ke? Saya tak mahu awak korbankan masa depan awak, hanya kerana janji orang tua kita. Perkahwinan ini takkan berhasil. Kita cuma akan membuka pintu sengsara. Percayalah cakap saya.”
“Saya tahu.” Idayu menjawab lemah.
“Kalau tahu, awak kena beritahu mereka,” desak Hisyam lagi.
“How about you? Awak dah beritahu mak ayah awak? Awak dah cakap awak tak setuju?” soal Idayu sambil merenung lama wajah Hisyam.
“Yes. I did it. Tapi, tak berjaya. Sebab itulah saya datang untuk minta pertolongan awak, Idayu.”
Mata Idayu masih di wajah Hisyam.
“I did it once. And, you know what happened? Abah saya dapat heart attack. Syukur dia tak apa-apa. Cukuplah sekali itu saya mencuba. Saya tak sanggup korbankan abah saya demi diri saya sendiri. Kalau perlu pengorbanan, biarlah saya yang berkorban. Saya tak sanggup melihat abah saya jatuh sakit lagi. Lagipun, apalah sangat pengorbanan ini kalau hendak dibandingkan dengan kasih sayang yang telah dia berikan pada saya selama ini,” jawab Idayu keras.
Hisyam mengeluh panjang. Wajahnya nampak sedikit kecewa. “Awak yakin awak tak akan menyesal?”
“Tak.” Bibirnya bergerak perlahan.
“Apa yang tak?”
Idayu tersentak. Kenangan lalu mula menjauh. Mak Teh tercegat di hadapannya.
“Apa dia, Mak Teh?” soalnya sedikit hairan dengan soalan pembantu rumahnya itu.
Mak Teh tersenyum panjang. “Apa yang Ayu fikirkan tu? Sampai cakap sorang-sorang?”
“Cakap sorang-sorang? Mana ada? Macam-macamlah Mak Teh ni.”
“Mak Teh dengar, sebab tu Mak Teh cakap.”
“Ya ke? Saya tak sedar pun,” nafi Idayu.
“Mana nak sedar, kalau fikirannya melayang jauh. Apa yang Ayu fikirkan? Mak Teh tengok sejak akhir-akhir ni, Ayu selalu termenung.”
Idayu tersenyum kecil. Wajah Mak Teh dipandang agak lama. Mak Teh memang selalu begitu. Terlalu mengambil berat tentang dirinya. Malah orang tua itu sudah dianggap seperti keluarga sendiri. Lebih-lebih lagi semenjak kedua ibu bapanya pergi buat selama-lamanya. Namun, dia belum bersedia unuk berkongsi keresahannya itu dengan Mak Teh. Belum masanya.
“Syafiq mana?” soal Idayu bersama senyum manis.
Mak Teh cuma menarik nafas perlahan. Faham Idayu sedang mengubah topik perbualan.
“Tidur. Lepas aje tengok TV, terus tertidur,” jawab Mak Teh.
Idayu mengangguk perlahan.
“Duduklah Mak Teh,” pelawa Idayu sambil menepuk kerusi di sebelahnya.
Mak Teh menurut. Matanya memandang ke arah cawan teh yang tidak berusik. Kuih keria di dalam piring juga tidak terusik. Selalunya kalau makanan atau minuman tidak berusik, bermakna adalah cerita sedih yang mengusik hati Idayu. Apa dia? Itu yang menjadi tanda tanya kini.
“Ayu ada masalah, ya?” soalnya cuba mencungkil apa yang bersarang di dalam hati Idayu.
Idayu mengukir senyum. “Tak adalah. Mak Teh ni... pandai-pandai saja serkap jarang.”
“Mak Teh ni, orang tua. Dah lama hidup, Ayu. Dah lama makan garam. Tapi, kalau Ayu tak nak cerita tak apalah. Mak Teh tak paksa.”
Idayu tersenyum lagi. Memang mustahil untuk dia berbohong pada Mak Teh. Orang tua itu bijak membaca apa yang bermain di hatinya.
“Tak penting sangat la Mak Teh,” ujar Idayu akhirnya.
Mak Teh tersenyum lebar. Kan betul tekaannya. “Haaa... kan betul apa yang Mak Teh cakap.”
“Perkara kecil saja. Saya boleh selesaikan sendiri. Terima kasih sebab ambil berat pasal saya. Nasib baik Mak Teh ada.” Idayu bersuara sambil tersenyum panjang.
“Selisih faham dengan Syam, ya?”
“Tak adalah. Kami tak ada bertengkar pun.”
“Dah tu, kenapa Ayu di atas... Syam di laman?”
“Dia nak buat call. Malas saya nak ganggu.”
“Hari minggu pun, sibuk telefon client ke?” soal Mak Teh menjenguk ke balkoni. Bayang Hisyam sudah hilang.
Idayu tersenyum pahit. Kalaulah benar Hisyam sedang membuat panggilan untuk rakan niaganya, tentulah hatinya tidak serawan ini. Tentulah hatinya tidak sesakit ini. Malangnya tingkah Hisyam langsung tidak menunjukkan ke arah itu. Dia menebarkan pandangan ke halaman. Hisyam sudah tiada di situ. Dia sedikit terperanjat apabila melihat Hisyam sedang berdiri sambil memeluk tubuh pada sliding door yang memisahkan bahagian balkoni dengan bahagian ruang rehat tingkat atas. Hisyam tersenyum sambil meletakkan jari telunjuk ke bibir sebagai isyarat agar dia berdiam diri. Idayu tidak memberi sebarang reaksi.
Hisyam melangkah perlahan ke arah Mak Teh yang sedang membelakanginya. Sengaja ingin mengusik pembantu rumahnya itu.
“Buat apa tu, Mak Teh?” sergah Hisyam sambil memegang bahu Mak Teh. Membuatkan Mak Teh terperanjat besar.
“Buat apa? Buat call! Call client! Lupa bini!”
“Siapa call?” sakat Hisyam apabila Mak Teh mula melatah.
“Kaulah. Call client lupa bini!”
“Client siapa, Mak Teh?”
“Client aku! Eh, client kau! Eh, bini kau!”
Berderai tawa Hisyam mendengar latah Mak Teh yang melarat.
Idayu turut tergelak kecil melihat Mak Teh yang terus mengulangi kata-katanya sambil tangannya menuding ke arah Hisyam.
Melihat Mak Teh yang sedikit semput, Hisyam mengurut perlahan belakang wanita separuh abad itu.
“Sudah Mak Teh. Istighfar Mak Teh,” ujarnya sambil terus mengurut belakang Mak Teh.
“Astaghfirullahalazim. Subhanallah. Kamu ni Syam!” Mak Teh bersuara terputus-putus sambil mengurut dada yang kepenatan.
Hisyam masih tergelak sambil mengambil tempat di sebelah Idayu. Seronok dapat mengusik wanita itu.
“Mengumpat saya, ya?” soal Hisyam setelah latah Mak Teh sedikit reda.
Mak Teh masih mengurut dadanya menghilangkan semput. “Kamu berdua ni, pakat nak kenakan Mak Teh, ya?”
Hisyam tergelak mendengar kata-kata Mak Teh.
Idayu pula tersenyum panjang.
“Saya tak campur, Mak Teh. Saya tak tahu Abang Syam nak sergah Mak Teh,” ujar Idayu membela diri.
“Yalah tu.”
Idayu tergelak mendengar jawapan Mak Teh. Dia tahu Mak Teh tidak percaya pada kata-katanya.
“Syafiq mana, Mak Teh?” Hisyam bersuara lagi apabila keadaan Mak Teh kembali normal.
“Tidur. Mak Teh turun dululah. Nak siapkan makan malam. Syam... Ayu, nak makan apa malam ni?”
“Tak payah masaklah Mak Teh. Kita dinner kat luar. Okey, Ayu?” tanya Hisyam sambil memandang wajah Idayu.
“Kenapa?” soal Idayu sedikit hairan.
“Saja. Nanti ada orang cakap abang ni, lupa isteri pula. Sebab tak lupa isterilah, abang ajak isteri abang keluar dinner ni.” Hisyam menjawab dengan nada bergurau.
Mak Teh mencemik.
Idayu tersengih.
“Mak Teh ikut sekali, ya?” sambung Hisyam sebelum Mak Teh melangkah masuk ke ruang rehat.
Langkah wanita itu mati di situ. Kembali menoleh ke arah Hisyam.
“Tak payahlah Syam. Mak Teh duduk rumah ajelah,” tolak Mak Teh, beralas.
“No... no... no.... Tak ada Mak Teh, maknanya tak ada dinner. Mak Teh mesti ikut. Tak ada alasan.” Hisyam bersuara memberi kata putus.
“Yalah.” Mak Teh bersetuju sambil berlalu.
Hisyam mengalihkan perhatiannya pada Idayu. Wajah itu ditatap tanpa berkelip.
“What?” soal Idayu yang tidak faham dengan maksud renungan Hisyam.
“What?” Hisyam mengulangi soalan yang sama sambil menarik kerusinya rapat ke kerusi Idayu. Sekuntum senyuman yang menggoda muncul di bibirnya, memaksa Idayu turut tersenyum. “So, isteriku yang cantik... apa ceritanya tu?”
“Cerita? Cerita apa?” soal Idayu pura-pura tidak faham maksud soalan Hisyam.
“Pasal Mak Teh, ya?” teka Idayu cepat apabila wajah Hisyam semakin rapat ke wajahnya.
Hisyam tersenyum. Wajahnya kembali dijarakkan daripada wajah Idayu. Dia memandang wajah isterinya itu. Menanti cerita yang bakal keluar dari seulas bibir yang kaya dengan senyuman itu.
“Tak ada apa-apalah. Mak Teh cuma pelik tengok abang buat call banyak kali tadi. Dia ingat abang call client. Itu saja,” cerita Idayu.
“Oh... Ayu pula? Ingat abang call siapa?” soal Hisyam agak perlahan. Tidak sangka perlakuannya tadi diperhatikan oleh isteri dan pembantu rumahnya.
“Manalah Ayu tahu.”
“Ayu tak nak tanya ke?” soal Hisyam apabila melihat wajah Idayu cukup tenang. Sedikit syukur kerana tiada keraguan di wajah isterinya itu. Juga segunung rasa bersalah kerana kepercayaan Idayu telah dia cemari.
“Nak Ayu tanya saja atau nak Ayu check sekali call out kat handphone abang tu?”
Idayu menjawab soalannya dengan satu soalan yang mampu merentap tangkai jantungnya. Berharap agar Idayu tidak serius dengan kata-katanya itu. Hisyam cuma mampu tersenyum sambil menjongketkan bahunya.
Idayu tergelak kecil.
“Kenapa ni? Pucat. Macam nampak hantu.” Idayu bersuara ceria, menutup gelora di hatinya.
Melihat kebisuan dan perubahan wajah Hisyam, bagai terus mengiakan segala syak wasangkanya sebentar tadi. Memang Hisyam menghubungi kekasihnya. Hatinya kuat berkata yang Hisyam sedang bermain wayang dengannya.
“Ayu percayakan abang. Ayu tak perlu ragu-ragu pada abang. Ayu tak perlu tanya apa-apa pada abang. Ayu tahu suami Ayu tak akan sembunyikan apa-apa dari Ayu. Betul tak?” Cukup lembut soalan itu dialun. Mahu memancing perubahan ekspresi wajah Hisyam.
Dan, pancingnya mengena. Hisyam terus membisu. Hatinya pula terus menangis.
“Dinner malam ni... ada something yang special ke?” ujar Idayu lagi mengubah tajuk perbualan. Tidak mahu terus terlarut dalam kepedihan perasaannya.
Mendengar soalan Idayu, Hisyam mengukir senyum lambat-lambat. Lega apabila isterinya itu mengubah tajuk perbualan. Tidak betah untuk dia membungkam. Tidak mungkin untuk dia berbohong.
“Ayu lupa ke?”
“Apa dia?”
“Hari nikan, hari ulang tahun kelahiran Mak Teh. Yang kelima puluh lapan.”
“Ya Allah! Ayu lupalah bang. Ayu tak beli apa-apa pun untuk hadiah Mak Teh.”
Hisyam tersenyum panjang. “Don’t worry. Semuanya ditanggung beres. Abang ada hadiah special untuk Mak Teh. Nak tahu tak?”
“Of course la nak!”
“Kalau macam tu, jom masuk bilik. Abang tunjukkan.” Hisyam bersuara sambil menarik Idayu bangkit dari kerusi. Melangkah agak cepat apabila tangannya ditarik oleh Hisyam.
“Lambatlah.” Rungut Hisyam sambil berpusing.
Idayu terjerit kecil apabila lelaki itu memaut dan mendukungnya.
Hisyam tergelak sambil melangkah ke arah bilik mereka.
“Abang ni....”
Makin besar gelak Hisyam. “Dah tu lambat sangat jalannya.”
Idayu tersenyum akhirnya. Dia memaut lembut tengkuk Hisyam dan diam apabila dicempung oleh Hisyam.

BAB 4


 BAB 4


“MAMA... nak air.”
Idayu menghulurkan gelas berisi Milo ais ke mulut Syafiq. Tanpa dipinta, bibirnya terukir senyum melihat Syafiq menyedut Milo ais dengan agak rakus. Barangkali nasi goreng yang dimakannya agak pedas.
“Afiq, careful. Nanti tersedak.” Hisyam bersuara.
“Kenapa? Pedas ke?” Idayu bertanya lembut.
Laju kepala Syafiq mengangguk.
“Pedas. Pedas sangat-sangat!” jawab Syafiq sebaik selesai menyedut Milo sejuk itu.
Idayu tergelak kecil. Sambil tersenyum lucu, Idayu bersuara, “dah nak habis nasi goreng ni baru terasa pedas, ya?”
Syafiq tersengih.
“Dia dah kenyanglah tu. Takut orang paksa habiskan makanan tu, itu yang tiba-tiba nasi goreng jadi pedas tu.” Mak Teh menyampuk.
Hisyam dan Idayu sama-sama tergelak mendengar kata-kata Mak Teh.
Melihat keceriaan pasangan suami isteri itu, dada Mak Teh berasa lapang. Doanya cuma satu. Biarlah kebahagiaan rumah tangga majikannya itu kekal untuk selamanya. Dia pernah menjadi saksi ketegangan rumah tangga Hisyam dan Idayu satu ketika dahulu. Dia pernah menyaksikan satu sandiwara yang dilakonkan oleh Hisyam dan Idayu. Apa yang dia harapkan, biarlah kemurungan Idayu kebelakangan ini, bukan disebabkan oleh krisis perkahwinan mereka. Dia terlalu sayangkan Hisyam dan Idayu. Terlalu banyak jasa yang ditabur oleh Hisyam dan Idayu kepadanya.
“Mak Teh, kenapa? Tak sihat ke?” tegur Idayu apabila pandangannya tersapa pada Mak Teh yang jauh mengelamun.
Teguran itu menyedarkan Mak Teh daripada lamunan. Dia tersenyum sambil menggeleng perlahan.
“Dah tu, kenapa termenung saja? Makanan tu tak sedap, ya? Nak tukar yang lain ke?” Idayu bersuara lagi.
“Bukan. Tak. Tak ada apa-apa. Mak Teh cuma senang tengok Syam dengan Ayu macam ni. Kalau tujuh tahun dulu, risau Mak Teh tengok kamu berdua. Tapi, sekarang Mak Teh lega. Mak Teh doakan kamu berdua bahagia sampai bila-bila.”
“Hai... Mak Teh. Kenapa tiba-tiba jadi sentimental ni?” soal Hisyam separuh bergurau.
Mak Teh tergelak kecil menanggapi kata-kata Hisyam.
“Mak Teh tak ada sesiapa pun kat dunia ni. Mak Teh cuma ada kamu berdua saja. Dan kamu... kamu berdua layan Mak Teh macam ahli keluarga sendiri. Terima kasih, Syam... Ayu,” ujarnya sayu bercampur terharu.
“Mak Teh, kenapa cakap hal yang sedih-sedih pada hari istimewa ni?” Idayu bersuara sambil menyentuh lembut jemari orang tua itu. Sedikit terkesan dengan kata-kata wanita itu.
“Hari istimewa? Hari istimewa apa?” Mak Teh bertanya dengan nada hairan. Senyuman yang terukir di bibir Idayu dan Hisyam, menambahkan lagi rasa hairannya.
“Kenapa? Ayu mengandung ke? Kalau betul, syukur alhamdulillah. Tak lama lagi Syafiq dapat adiklah, ya? Harap-harap perempuanlah, ya? Biar jadi sepasang.”
Idayu tergelak mendengar tekaan Mak Teh yang meleset sama sekali. Serentak dengan derai tawa Hisyam.
“Afiq ada adik? Betul ke mama? Mana adik Afiq?” Syafiq menyampuk di tengah-tengah perbualan tiga orang dewasa di hadapannya.
“No. Nek Teh tersalah cakap,” terang Idayu sambil mengusap pipi Syafiq.
Anak kecil itu mengeluh perlahan sambil menggeleng-gelengkan kepala. Lagak seolah-olah kesal dengan kesilapan Mak Teh. Saling tidak tumpah dengan lagak Hisyam apabila lelaki itu tidak berpuas hati dengan satu-satu perkara. Melihat aksi anak kecil itu, tawa mereka makin berpanjangan.
“Kalau bukan itu yang istimewanya, apa lagi yang istimewa?” Mak Teh terus bertanya. Inginkan kepastian.
“Mak Teh, selamat menyambut hari ulang tahun kelahiran yang kelima puluh lapan,” ujar Hisyam setelah tawanya reda.
Mak Teh tergamam. Rupa-rupanya makan malam ini adalah untuk meraikan hari ulang tahun kelahirannya yang dia sendiri tidak ingat. Wajah Hisyam dan Idayu dipandang bergilir-gilir. Rasa terharu terasa menyesakkan dadanya. “Hari jadi Mak Teh?”
“Ya. Selamat hari jadi dan saya doakan Mak Teh dipanjangkan usia dan diberikan kesihatan yang baik.” Idayu bersuara mengiakan kata-kata suaminya.
Mak Teh tidak bersuara. Bibir matanya terasa berat. Tiada kata-kata yang mampu dia ungkapkan. Seperti tahun-tahun lalu, Hisyam dan Idayu mengingati tarikh kelahirannya. Cukup untuk membuktikan betapa kedua-dua insan itu terlalu mengambil berat tentang dirinya. Dengan statusnya sekadar pembantu rumah, perhatian sebegitu memang amat bermakna. Tiba-tiba dia terasa dia tidak lagi keseorangan di dunia ini.
“Terima kasih sebab ingat hari lahir Mak Teh. Mak Teh sendiri pun tak ingat.” Akhirnya Mak Teh bersuara dengan nada yang amat perlahan.
“Dan... kami ada sesuatu untuk Mak Teh.”
Mak Teh memandang ke arah Hisyam. “Apa lagi Syam? Kamu berdua ingat hari lahir Mak Teh, itu pun dah cukup bererti pada Mak Teh. Tak usahlah bagi apa-apa lagi. Tiap-tiap tahun, kamu tak pernah lupa tarikh ni. Mak Teh tak tahu nak cakap apa. Syukur pada Allah kerana Mak Teh diberikan majikan sebaik kamu berdua.”
Hisyam tersenyum. Dia mengeluarkan sampul surat dari poket kemejanya. “Ini untuk Mak Teh.”
“Syam... tak payah susah-susah. Mak Teh tak nak apa-apa. Mak Teh cuma nak terus menumpang kasih di rumah kamu. Itu saja.”
“Ambillah Mak Teh. Ini pemberian kecil dari kami untuk Mak Teh. Mak Teh dah banyak membantu kami sekeluarga. Malah, kami dah anggap Mak Teh macam keluarga kami sendiri. Terima, ya?”
Perlahan Mak Teh mengambil sampul di tangan Hisyam.
“Bukalah nek. Afiq pun nak tengok hadiah Nek Teh. Tapi... kenapa hadiah Nek Teh kecik sangat, mama?” Syafiq bersuara tiba-tiba.
Mak Teh akur. Sampul surat dibuka. Sekeping cek di dalamnya dikeluarkan. Bulat matanya melihat angka lima ribu yang tertulis di atas cek tersebut. “Syam... untuk apa semua ni?”
“Mak Teh boleh buat apa saja. Mungkin Mak Teh boleh simpan dalam Tabung Haji. Mak Teh kan dah lama berhajat nak ke Tanah Suci, kan?”
“Tapi, Mak Teh kan ada simpanan. Duit gaji Mak Teh tu pun, bukan banyak sangat berusik. Ini... banyak sangat ni,” balas Mak Teh berat hati.
“Ambillah Mak Teh. Mak Teh berhak,” ujar Hisyam pendek.
“Terima kasih, Syam... Idayu.”
Idayu tersenyum sambil mengusap jemari Mak Teh.
Air mata Mak Teh menitis tanpa sedar. Air mata kesyukuran dan kegembiraan.
“Hai... papa ni.” Suara Syafiq tiba-tiba menarik perhatian semua di meja makan itu.
Hisyam mengerutkan kening sambil memandang wajah anak lelakinya itu. “Kenapa Afiq?”
“Papa ni pun satu. Nape bagi hadiah kertas aje? Tengok Nek Teh dah menangis. Cian Nek Teh. Takpe Nek Teh. Buang aje la hadiah papa tu. Nek Teh main mainan Afiq aje nanti.” Syafiq mengomel apabila melihat Nek Tehnya menitiskan air mata.
Kata-kata Syafiq itu membuatkan mereka semua ketawa geli hati.
“Gelak pulak orang cakap.” Dalam pelat Syafiq menyambung omelannya sambil mulutnya memuncung.
Hisyam dan Idayu tersenyum.
“Syafiq dah mengantuk tu.” Mak Teh bersuara apabila melihat Syafiq sudah mula menguap.
“Kalau macam tu, kita pulang sekarang?” soal Hisyam sambil memandang wajah Idayu.
Idayu cuma mengangguk.
“Come Syafiq. Kita balik.” Hisyam mendukung Syafiq setelah menjelaskan bayaran makan malam mereka.
Syafiq cuma menurut.
Idayu dan Mak Teh turut mengangkat punggung.
“Ayu.”
Idayu tidak jadi melangkah. Dia berpaling ke arah satu suara yang memanggil namanya. Sebaik sahaja berlaga pandang dengan si pemilik suara, sekuntum senyuman yang cukup lebar menghiasi bibirnya.
“Mieza.” Nama itu terucap di bibirnya sambil terus memeluk teman yang berdiri di hadapannya itu.
Hasmieza membalas rangkulan Idayu. Rangkulan mesra itu dilepaskan. Idayu memandang wajah Hasmieza. Bertemu Hasmieza di sini, memang di luar jangkaannya.
“Apa kau buat di sini?” soalnya riang.
Hasmieza tersenyum senang. “Aku ada kursus di sini. Saja keluar makan.”
Senyum terus terhias di bibir Idayu sambil dia berpaling mencari wajah Hisyam. “Abang... ingat Mieza?”
“Of course abang ingat. Apa khabar?” sapa Hisyam bersama senyuman manis.
“Baik,” balas Hasmieza sambil tersengih.
“Kau kat sini, tapi tak call aku pun. Sampai hati kau, ya?” Idayu bersuara dengan nada seperti merajuk.
Hasmieza tergelak kecil seraya menampar perlahan bahu Idayu.
“Memang aku nak call sebab aku memang nak jumpa kau pun. Ada hal penting. Tapi tak sempat call, dah terjumpa kat sini.”
“Hal penting? Apa dia?” tanya Idayu tidak sabar.
“Ayu... abang tunggu di kereta, ya. Afiq dah nak lena ni. Mak Teh, jom.” Hisyam bersuara. Sengaja mahu memberi peluang dua sahabat itu berbual-bual.
Idayu mengangguk.
“Sporting Hisyam tu, ya?” ujar Hasmieza setelah agak jauh Hisyam dan Mak Teh meninggalkan mereka.
Idayu tersenyum.
“So, apa hal yang penting tu?” soal Idayu mengulangi pertanyaannya tadi.
“Aku tak nak cakap sekarang. Lagipun tak seronok jumpa macam ni. Tergesa-gesa. Nak bercerita panjang pun tak boleh. Apa kata kita jumpa esok? Boleh berbual panjang.”
“Kau ni... selalu macam tu. Suka buat aku suspenslah. Mesti aku tak boleh tidur malam ni. Kita jumpa esok, tapi... hal yang penting tu... beritahulah sekarang.”
Hasmieza mencemik. “No. Sabarlah. Tunggu esok, ya?”
Idayu mengeluh hampa. Membuatkan Hasmieza tergelak kecil.
“Well. What can I say. Anyway, I miss you so much!”
“Me too,” balas Hasmieza sambil tersenyum gembira.
“Okeylah. Aku pergi dulu. Anak aku mengantuk tu. Jumpa esok ya!”
Hasmieza mengangguk tanda faham.
“Aku pergi dulu.” Sekali lagi Idayu meminta diri sambil melangkah meninggalkan Hasmieza.
Dia masih diburu tanda tanya. Apakah perkara penting yang dimaksudkan oleh Hasmieza?
Hasmieza muncul tepat pada waktunya. Sememangnya saat ini dia amat memerlukan sahabatnya itu. Dia juga ada perkara penting yang ingin dikongsi bersama Hasmieza. Dari jauh dia melihat Hisyam tersenyum sambil bersandar pada kereta. Dia membalas senyuman itu.
“Sekejap saja. Abang ingat banyak benda yang nak dibualkan. Ayu pun dah lama tak jumpa dia, kan?”
“Memang banyak pun. Tapi malam ni, tak bolehlah. Ayu nak jumpa Mieza esok. Bolehkan, bang?”
Hisyam tersenyum. Kepalanya diangguk perlahan. “Apa perkara penting yang dia nak cakap tadi?”
“Dia tak nak cakap. Tunggu esok katanya. Geram betul.”
Hisyam tergelak kecil melihat mulut Idayu yang sedikit memuncung.
“Okeylah. Jom!” ujar Hisyam sambil membuka pintu kereta untuk Idayu.
“Thanks, abang.” Ucap Idayu sambil melangkah masuk ke perut kereta. Dia menoleh ke belakang. Syafiq sudah terlena di ribaan Mak Teh.

BAB 5


BAB 5

“WALIMATULURUS?” Idayu bertanya sambil menatap kad undangan perkahwinan di tangannya.
Hasmieza senyum sambil mengangguk.
“Jadi, inilah perkara penting tu ya?”
“Ya. Kenapa? Macam tak happy aje?” soal Hasmieza agak hairan dengan penerimaan Idayu tentang khabar perkahwinannya. Sangkanya Idayu akan menjerit kegembiraan.
“Well. Aku tak tahu sama ada nak ucap tahniah atau nak marah.”
“Kenapa pula?” Hasmieza bertambah hairan mendengar kata-kata Idayu.
Idayu merenung tajam wajah temannya itu. “Yalah. Tiba-tiba kau datang terus bagi kad jemputan kahwin. Kau tak pernah cerita pun yang kau sedang bercinta. Berahsia dengan aku, ya?”
Hasmieza tergelak besar mendengar omelan Idayu. Rupa-rupanya itu penyebab kemarahan Idayu. “Kalau pasal tu, aku ada alasan kukuh untuk membela diri.”
Idayu tersenyum mendengar kata-kata sahabatnya itu. Dia membetulkan duduknya sambil merenung wajah temannya itu.
“Okey. Aku nak dengar alasannya. Kalau tak cukup kukuh, aku tak nak pergi ke majlis kau ni.” Idayu bersuara separuh bergurau.
“Janganlah macam tu. Kau tak kasihan kat aku ke? Best friend kau ni datang dari jauh semata-mata nak bagi kad ni, tau.”
“We’ll see....” Idayu sengaja bermain emosi untuk mengumpan cerita daripada Hasmieza.
“Well... aku tak bercinta pun.”
“Apa? Maksud kau... kau pun sama dengan aku? Kena kahwin paksa?” Cepat Idayu memotong kata-kata Hasmieza.
“Tak. Kau ni, janganlah menyampuk. Tak best la aku nak cerita. Dengar saja, tau!”
“Okey... okey, aku dengar.” Idayu akur.
“Dengar ya.”
“Yalah. Aku dengarlah ni. Cepatlah sambung.”
Hasmieza senyum. Perlahan dia menyedut jus tembikai di hadapannya. Sengaja membuatkan Idayu tertunggu-tunggu.
“Mieza, cepatlah,” ujar Idayu tidak sabar.
“Sabarlah. Aku nak minum dulu.”
Idayu mengeluh. Tidak sabar dengan gelagat Hasmieza yang sengaja melambat-lambatkan ceritanya.
“Dia kawan sekerja aku. Aku dah lama sukakan dia. Tapi, dia ni pemalu sangat. Takkan aku yang nak mulakan dulu. Sudahnya aku pun, memendam perasaan sajalah. Lagipun aku takut nak berterus terang. Takut kalau-kalau aku cuma bertepuk sebelah tangan. Malulah aku, sebab aku banyak berurusan dengan dia, dalam kerja. And, that’s why la aku tak bercerita dengan kau. Aku tak tahu nak klasifikasikan keadaan aku. Nak kata bercinta... tak. Sebab dia tak pernah meluahkan perasaannya. Nak kata aku tak bercinta, tak pasti. Sebab, siang malam aku cuma terbayang-bayangkan wajah dia saja.”
“Then?”
“Tiga tahun aku menunggu. Tapi, tak ada apa-apa perubahan. Sehinggalah satu hari dia terserempak aku keluar dengan Rafi, sepupu aku tu. Kau kenal, kan?”
Idayu mengangguk.
“Dia ingat aku ada apa-apa dengan Rafi, jadi dia tanya aku untuk dapatkan kepastian. Masa tu la dia tersasul cakap perasaan dia. Merah padam muka dia lepas tu. Malu. Rupa-rupanya dia pun ada hati kat aku,” cerita Hasmieza sambil tergelak kecil.
Idayu turut ketawa. “Lepas tu?”
“Lepas tu dia terus ajak aku kahwin. Dia dah buang masa selama tiga tahun. Jadi katanya dia tak mahu buang masa lagi. Lagipun, kita ni bukannya muda lagi, kan? So, aku setuju sajalah. Kami bertunang dua minggu lepas, dan we are going to marry. Tak sempat nak bercinta. Nampaknya kami terpaksalah bercinta lepas kahwin. Macam kau. Ha... ini mungkin sama dengan kau. Bercinta lepas kahwin,” cerita Hasmieza panjang lebar.
“Tahniah Mieza. Aku doakan kau bahagia sampai ke akhir hayat,” ucap Idayu ikhlas. Dia tersenyum senang dengan khabar gembira itu.
“Terima kasih. Kau dengan Hisyam, macam mana?”
Idayu diam seketika mendengar soalan Hasmieza. Soalan itu membangkitkan semula rawan di hatinya.
“Kenapa kau diam?” Hasmieza bertanya lagi. Hairan melihat kebisuan Idayu. Wajah ceria temannya itu juga hilang tiba-tiba.
Idayu membiarkan jemarinya memintal-mintal hujung tudung. Jiwanya yang resah meminta dia berkongsi keresahan ini dengan seseorang. Dan, Hasmieza adalah calon yang terbaik.
“Kenapa kau diam?” ulang Hasmieza lagi. “Kau ada masalah dengan Hisyam ke?”
Idayu tetap diam.
“Tapi, semalam aku tengok kau dengan dia....” Kata-kata Hasmieza terhenti di situ. Melihat wajah Idayu yang mendung, rasanya tidak perlu untuk dia teruskan kata-katanya itu. “What happened?”
Idayu mengangkat muka. Wajah Hasmieza dipandang agak lama. Sungguh dia perlukan tempat untuk dia meluahkan segala beban yang terpendam di hati.
“I don’t know,” ujarnya pendek setelah agak lama berdiam diri.
“Aku tak faham. Selama ni aku tengok rumah tangga kau perfect. Tak ada masalah. Bahagia. Malah, kadang-kadang aku jadi cemburu melihat kebahagiaan kau. Hisyam layan kau dengan baik. Terlalu baik. Tak pernah bergaduh. Loving couple. Kenapa tiba-tiba?”
“Puas aku tanya soalan yang sama pada diri aku. But, I don’t have the answer. I don’t know. I don’t know, Mieza.”
“Kamu berdua bertengkar?”
“Unfortunately no. Kalau kami ada bertengkar, at least aku ada satu reason. But I have no clue. Aku tak tahu kenapa dia buat aku macam ni? Kenapa dia berubah perlahan-lahan? Kenapa dia lakukan semua ni?”
“Apa yang dia dah buat?”
“Akal aku menyangkal. Tapi hati aku yakin, dia ada perempuan lain.”
“What? Hisyam? Ada perempuan lain? Aku rasa kau patut dengar kata akal kau. I don’t believe it. Tak mungkin. Dia begitu bahagia dengan kau. Aku tengok semuanya. Aku tengok cara dia layan kau. Cara dia pandang kau. Cara dia bercakap dengan kau. It seems you’re everything for him. Tak mungkin dia buat kau macam tu. Mustahil. He loves you, Ayu.”
“I don’t think so.” Idayu bersuara perlahan.
Tidak mungkin ada cinta di hati lelaki itu. Hisyam tidak pernah menyatakannya sejak tujuh tahun dulu. Dan... sehingga ke hari ini, kalau dia ingin mencari punca perubahan Hisyam, itulah satu-satunya punca perubahan lelaki itu yang dapat diproses dengan baik oleh akalnya.
“What do you mean by that words? Ayu... kau hidup bahagia dengan dia selama ini. Kamu berdua ada Syafiq. Apa yang membenarkan itu semua berlaku kalau bukan cinta?”
“Aku pun tertanya-tanya, apa yang membenarkan kebahagiaan ini menjelma dalam hidup kami?” Idayu seperti keliru.
“Hisyam seorang lelaki yang baik. Mungkin ada yang cemburu dan cuba menghasut kau. Membuatkan kau prasangka pada suami kau sendiri?”
Idayu mengeluh perlahan. Memandang wajah Hasmieza dengan mata yang berkaca. “Aku lihat sendiri, Mieza. Aku... isteri dia, melihat sendiri dia begitu mesra dengan perempuan lain. Perempuan muda yang cantik.”
“Maybe it was just a misunderstanding. Kau tak tanya dia?”
Idayu menggeleng.
“Kenapa?”
“Aku takut dia mengiakan semua tekaan aku. Aku takut aku tak akan dapat menerima kenyataan ini. Aku takut akan kehilangan kebahagiaan ini. Aku takut aku akan kehilangan dia. Aku tak mahu, Mieza. Aku tak mahu kehilangan dia. Aku sayangkan dia. Aku cintakan dia. Aku tak mahu rumah tangga kami hancur. Aku tak mahu kebahagiaan ini hilang...” luah Idayu dengan nada yang sayu.
Hasmieza menarik nafas panjang mendengar luahan Idayu yang tidak berpenghujung. “Aku yakin, semua itu takkan berlaku. Aku yakin Hisyam sangat mencintai kau.”
Idayu menggeleng perlahan. Tidak mungkin. “Aku yakin dia tidak pernah mencintai aku. Tujuh tahun usia perkahwinan kami. Tapi sampai ke saat ini, dia tidak pernah cakap dia cintakan aku. Tidak pernah Mieza. Setiap kali aku tanya, dia akan diam dan mengubah topik perbualan kami.”
“Ya ke?” soal Hasmieza dengan nada yang agak perlahan. Sukar untuk mempercayai apa yang keluar dari mulut Idayu.
Idayu mengangguk perlahan. Pilu apabila dia memikirkan tentang hal itu. Perlahan Hasmieza menggenggam tangannya. Erat menggenggamnya. Sedih melihat wajah sahabat baiknya yang kelihatan begitu murung.
“I don’t know what to say.” Hanya itu yang mampu dia luahkan. Dalam diam dia kagum dengan ketabahan Idayu. Idayu boleh berlagak seperti tiada apa-apa yang menghiris perasaannya, walhal dia telah melihat kemesraan suaminya dengan perempuan lain. Jelas kelihatan di mindanya wajah ceria Idayu bersama Hisyam malam tadi. Dia sendiri tertipu dengan keceriaan Idayu. Siapa sangka di sebalik keceriaan itu, hati Idayu sebenarnya semurung wajahnya saat ini.
“It’s okay. I’m fine. Memang sedih. Tapi, still under control,” balas Idayu cuba berlawak.
Hasmieza tersenyum kecil. Terasa lawak Idayu tidak kelakar langsung.
“I’m proud of you. Kau sangat-sangat tabah, Ayu,” ungkapnya.
Idayu menggeleng.
“Kenapa?”
“Aku tak tabah... tak tabah langsung, Mieza. Aku cuma takut. Aku takut pada hidup aku yang tak ada kepastian. Aku tak nak kebahagiaan ini terganggu. Aku mahu menikmati kebahagiaan ini sampai bila-bila. Tapi, mustahil. Hisyam memang tidak pernah menjanjikan apa-apa untuk aku apatah lagi kebahagiaan. Apa yang aku perolehi sepanjang perkahwinan kami ni, memang terlalu berharga. Aku tak akan sia-siakan detik bahagia ini selagi aku diberi kesempatan untuk menikmatinya. Dalam masa yang sama, aku juga takut. Takut Hisyam akan akhiri kebahagiaan ini. Aku tak nak kehilangan dia, Mieza. Dia segala-galanya pada aku. Tapi, aku sedar aku tak pernah memiliki dia....” Idayu meluahkan segala yang terpendam.
“Maksud kau? Kalau Hisyam mengiakan hubungan dia dengan perempuan tu nanti, kau akan mengalah?”
“Sesetengah perkara, kita tak boleh paksa, kan?”
Hasmieza mengeluh panjang sambil menggelengkan kepala. “Kalau aku... I’ll fight till the end. He’s yours. Kau dah kahwin dengan dia for more than six years, dah tujuh tahun pun sebetulnya. Kau berhak mempertahankannya.”
“Kita tukar topik.” Idayu bersuara sambil tersenyum hambar.
Hasmieza mengeluh lagi.
“Aku tak nak pertemuan kita ni terus tercemar dengan cerita sedih aku. It’s not fair. Aku percaya kau ada banyak cerita gembira nak kongsi dengan aku. Betul tak?”
Hasmieza mengeluh perlahan. Memandang wajah Idayu yang sedikit tersenyum. “Tadi ya. Tapi, sekarang macam dah tak ada.”
“Janganlah macam tu. Or else, lepas ni aku tak akan cerita apa-apa lagi pada kau.”
Hasmieza tersenyum mendengar ugutan itu.
“Okey. Kita tukar topik,” ujar Hasmieza sambil meleraikan pegangan tangannya di jemari Idayu.
Idayu turut tersenyum.
“Aku tak tahu ini penting ke tidak bagi kau. Borhan sekarang bekerja di Terengganu. Dia selalu call aku. Dan... dia selalu sangat tanya pasal kau.” Hasmieza bersuara lagi.
Idayu tersenyum kecil. Mendengar nama itu, mengembalikan seraut wajah yang pernah membuat dia bahagia dan pernah membuat dia sangat terluka. Sudah lama wajah itu terpadam dari album kenangannya.
“Tak penting sama sekali. Aku tak kenal dengan manusia yang bernama Borhan.”
“Dia tak pernah bosan bertanyakan kau. Tahu?”
“Untuk apa? Untuk apa, Mieza?” soalnya memandang wajah Hasmieza.
Hasmieza mengangkat bahunya.
“Mungkin dia masih mengharapkan kau.” Hasmieza memberi pendapat.
Idayu tergelak sinis mendengar kata-kata Hasmieza. “Mengharapkan aku? Dia dah lupa ke? Kan ke dia yang lepaskan aku pada Hisyam dulu. Apa lagi yang dia nak harapkan dari aku?”
“Kembali pada dia barangkali. Sampai sekarang dia masih belum kahwin.”
Idayu membuang pandang. “Dia kahwin atau tak, itu bukan masalah aku. Tak payahlah cakap pasal dia. Aku tak nak dengar.”
“Okey. Dah tu kau nak cakap pasal siapa?”
“Hmmm... pasal Hakimi ni?” Ujar Idayu sambil memandang nama yang tercetak di atas kad jemputan perkahwinan Hasmieza.
Hasmieza tersengih. “Okey. No problem. Apa yang kau nak tanya pasal Hakimi ni?”
Idayu tersenyum kecil sambil menggaru dagu. Mengundang tawa Hasmieza.

BAB 6


BAB 6

“INGATKAN dah lupakan kita.”
Hisyam tersenyum sambil bersandar ke kerusi. Senang mendengar nada merajuk pada suara Maisara. Akhirnya Maisara mengalah. Sudah lama dia tidak mendengar suara itu. Rindu di dada hanya Tuhan saja yang tahu apabila tidak melihat wajah itu.
“I miss you, sayang...” ucapnya perlahan. Dia memandang ke arah balkoni. Mencari kalau-kalau ada bayang Idayu di situ. Dia tidak mahu tertangkap lagi.
“Kalau rindu, kenapa tak datang cari Sara? Sibuk dengan isteri, ya?”
Soalan Maisara yang bercampur antara nada merajuk dan menyindir itu, membuat dia tergelak.
“Kenapa tak jawab call abang?” soal Hisyam sambil menukar posisi telefon bimbitnya dari telinga kiri ke telinga kanan.
“Siapa yang mulakan?” Terdengar suara Maisara yang agak dingin di hujung talian.
Hisyam tersenyum. “Oh... balas dendamlah ni?”
“Bukan balas dendam. Tapi, saja nak tengok. Sara ni... penting ke tidak pada abang...” duga Maisara lembut.

Hisyam tersenyum. “Jangan cakap macam tu. Of course la Sara penting pada abang.”
“Kalau macam tu, baguslah. Tapi, harap-harap jangan kat mulut saja cakap macam tu. Kat hati lain pula ceritanya.” Maisara sengaja memerli Hisyam.
“Sara... Sara. Kenapa cakap macam tu? Kalau Sara nak tahu, apa yang keluar dari mulut abang, datang dari hati abang. Tak ada lainnya. Kenapa Sara cakap macam tu?”
“Entahlah. Kadang-kadang rasa macam susah nak percaya cakap abang ni. Lebih-lebih lagi....” Kata-kata Maisara tergantung di hujung talian.
“Lebih-lebih lagi apa?” soal Hisyam apabila kata-kata Maisara terhenti di situ. Ada rasa hairan yang menjentik perasaan.
“Tak ada apa-apalah. Lagipun... tak sesuai cakap macam ni. Lebih senang cakap kalau face to face,” jawab Maisara seakan mengelak.
“That’s good. Abang pun memang nak jumpa Sara. Dah lama tak jumpa Sara.”
“Isteri abang tak marah ke?”
“Sara... kenapa cakap macam tu?” soal Hisyam tenang. Terasa tersindir dengan soalan Maisara.
“Tak ada apa-apa. Saja tanya. Kut-kutlah sekarang ni, abang dah kena kuarantin dengan wife abang. Itu sebab dah lupakan kita.”
“Hmmm... macam-macamlah Sara ni. Kita jumpa, ya? I miss you.”
“Suka hati abanglah. Okeylah. Sara ada hal ni. Bye.”
“Bye....” Hisyam bersuara perlahan. Talian sudah terputus.
Hisyam termangu. Tertanya-tanya akan perubahan sikap Maisara. Ada rasa pelik yang mengganggu jiwanya. Bicara Maisara tidak seperti biasa. Telefon bimbit diletakkan di atas meja. Dia mengeluh panjang. Tidak selesa dengan situasi yang menghimpitnya saat ini. Rasa bersalah pada Idayu membuatkan dia rasa terseksa. Membuat dia berasa amat berdosa. Membuat dia berasa dirinya terlalu kejam pada Idayu. Tetapi, dalam masa yang sama, rasa sayang pada Maisara memberi dia satu perasaan indah yang tidak pernah dia rasai selama dia mengahwini Idayu.
Dia jadi keliru. Keliru dengan perasaannya sendiri. Dia senang dengan kebahagiaan rumah tangganya bersama Idayu. Dia senang hidup bersama Idayu dan Syafiq. Namun, dia juga tidak sanggup berpisah dengan Maisara setelah perasaan cinta menguasai dirinya. Bukan dia tidak pernah cuba melupakan Maisara. Dia pernah cuba. Namun, ada rasa rindu yang menyeksa jiwa. Rasa pedih apabila terpisah... membuat dia kalah. Dia kalah pada panahan cinta Maisara.
“Abang.”
Hisyam sedikit tersentak. Idayu tercegat di hadapannya bersama senyuman yang tidak pernah luput dari bibir. Senyuman yang bagai salju, mendinginkan hatinya saban waktu. Melihat wajah Idayu yang begitu tulus, membuat hatinya semakin dihambat rasa bersalah dan berdosa. Maafkan abang, Ayu. Hanya itu yang mampu melantun kuat di jiwanya.
“Jauh melamun...” tegur Idayu sambil meletakkan mug berisi kopi panas di atas meja.
Hisyam tersenyum kecil.
Idayu pula, berpaling perlahan.
“Nak ke mana tu?”
“Masuk. Tak nak ganggu lamunan abang,” ujar Idayu sambil cuba mengukir senyum. Mungkin Hisyam perlukan ruang untuk bersendirian. Jadi, dia tidak mahu mengganggu. Setiap orang perlukan sedikit ruang untuk diri sendiri. Mungkin itu yang sedang Hisyam lakukan. Dan, dia cuba untuk memahami keinginan Hisyam.
“Duduklah. Temankan abang,” pinta Hisyam sambil menarik perlahan tangan Idayu.
Idayu menurut bersama senyum yang terukir di bibir. “Tak mengganggu abang ke?”
Hisyam tersenyum lebar. “Mana ada. Takkan nak biarkan abang minum sorang-sorang?”
Idayu tersenyum lagi.
Dan sekali lagi, hati Hisyam merintih hiba. Maafkan abang, Ayu.
Idayu melabuhkan punggung di sisi suaminya. “Apa yang abang menungkan tadi?”
“Tak ada apa-apa. Saja. Ambil angin malam. Tengok-tengok bintang. Banyak betul bintang malam ni. Tenang fikiran tengok bintang-bintang tu.”
Idayu diam tidak bersuara. Cuma matanya turut terarah pada dada langit malam yang maha luas. Benar kata Hisyam. Dada langit penuh dengan bintang yang mengasyikkan.
“Fikiran abang tak tenang ke?” soal Idayu perlahan. Sengaja ingin melihat reaksi Hisyam. Hisyam tidak menjawab. Cuma tergelak kecil mendengar soalannya. Gelak itu dibalas dengan senyum kecil.
Hisyam menghela nafas perlahan. Dialihkan pandangannya dari dada langit ke wajah Idayu. Hatinya tertanya-tanya kenapa apabila berdepan dengan Idayu, perasaannya tidak sama tatkala berdepan dengan Maisara? Perasaanya berbeza. Terasa segala-galanya berubah cuma di dalam sekelip mata. Walhal, selama ini dia senang menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami Idayu. Dia cukup senang hidup bersama-sama dengan Idayu. Dia bahagia dengan warna-warna bahagia rumah tangganya. Segalanya terasa begitu sempurna, sehinggalah dia bertemu dengan Maisara. Maisara telah membuka satu lembaran baru di dalam diari hidupnya. Maisara telah membuka debar di dadanya tatkala renungan mereka bersatu. Kenapa debar itu tiada tatkala matanya memanah sepasang mata redup milik Idayu? Kenapa?
Sesungguhnya dia tidak mampu menghindari hangatnya api cinta Maisara yang sedang membakar kebahagiaan rumah tangganya itu. Dia sedar itu. Ya. Dia amat sedar. Pasti bahang cinta Maisara akan membuat rumah tangganya nanti terasa hangat, sekiranya Idayu mengetahui segala-galanya. Itulah yang paling dia takut. Dia takut Idayu akan kecewa. Dia takut kebahagiaan ini akan hilang. Memang tidak pernah ada rasa cinta buat Idayu, tetapi, itu tidak bermakna dia tidak sayangkan Idayu. Dia sayangkan Idayu sebagai seorang wanita yang telah dia nikahi. Dia sayangkan Idayu sebagai ibu kepada anaknya.
“Abang... abang ada masalah ke?”
Lembut soalan Idayu menyentuh gegendang telinganya. Membuat menung Hisyam perlahan-lahan menjauh. Hisyam menggeleng perlahan. Terus merenung wajah Idayu yang terbias riak risau.
“Abang tak sihat ke?”
“No. I’m fine. Jangan bimbang. Abang okey.”
Mendengar jawapan Hisyam, Idayu tidak bertanya lagi. Pandangannya dialihkan ke dada langit. Menikmati jutaan bintang yang menghiasi dada langit malam ini.
“Ayu jumpa Mieza tadi, kan?” Hisyam membuka bicara.
Idayu mengangguk tanpa memandang Hisyam. Matanya leka merenung bintang di langit.
“So, apa ceritanya? Kalau abang boleh tahulah.”
Idayu tersenyum. Kini, dia mengalihkan pandangan ke wajah Hisyam. “Dia bagi kad jemputan. Dia akan kahwin dua minggu lagi.”
“Wah. Tiba-tiba saja?”
“Ya. Ayu pun terkejut. Tapi, itu semua tak penting. Yang penting, tak lama lagi dia akan kahwin. Kita pergi ya, bang?”
“Insya-Allah.”
Idayu membuat muka. Bergerak merapati Hisyam. “Janganlah insya-Allah saja. Bolehlah bang....”
Hisyam tergelak kecil mendengar rengekan manja Idayu. Senang dengan gelagat Idayu. “Hmmm... yalah.”
Idayu tersenyum lebar.
“Abang arrange schedule abang betul-betul tau. Jangan sampai bila tiba hari nikah Mieza, abang ada hal pula,” pesan Idayu mengingatkan.
Hisyam tergelak lagi. Matanya merenung seraut wajah Idayu yang jelas mengharap. Idayu hampir sempurna sebagai seorang isteri. Tetapi, kenapa tiada perasaan cinta yang hadir untuk Idayu? Kenapa?
“Abang... dengar tak?”
Hisyam sedikit tersentak.
“Abang melamun. Tak dengarlah apa Ayu cakap tu....” Idayu merungut perlahan.
Hisyam tersenyum sambil mencapai jemari isterinya. Perlahan dibawa ke bibirnya.
“Abang dengar la. Ini arahan atau permintaan?” soalnya berseloroh.
“Arahan!” balas Idayu selamba.
Hisyam tergelak lagi.
“I’ll try.” Akhirnya dia menjawab.
“Abang. Janganlah macam ni. This is my best friend’s wedding. Kita mesti datang. Tolong ya, bang,” ucap Idayu sedikit merayu.
“Yalah. Kita akan pergi. Lagipun, dah lama tak balik Terengganu, kan? Boleh jumpa Juita dengan Shahrul sekali.”
Idayu tersenyum lebar. Sangat setuju dengan cadangan Hisyam. Memang betul kata Hisyam. Sudah agak lama dia tidak berjumpa dengan Juita dan Shahrul.
“Syafiq dah tidur ke?” soal Hisyam menyedari Syafiq tidak mengekori Idayu seperti selalu. Biasanya waktu-waktu begini, Syafiq tidak berenggang dengan Idayu.
“Dah. Lepas makan tadi, terus dia ajak Mak Teh tidur. Mak Teh cakap siang tadi dia tak tidur. Mengantuk sangatlah tu.”
“Mamanya tak mengantuk ke?”
“Tak,” balas Idayu menyedari senyuman nakal Hisyam.
“Ya ke?” Hisyam bersuara lagi separuh menggoda.
Idayu tersenyum manis.
“Ya,” jawabnya sepatah.
Mendengar jawapan itu, Hisyam menjongketkan bahu sambil tersenyum. Kopi di hadapannya dihabiskan.
“Jom masuk,” ajak Hisyam sambil mengangkat punggung.
Idayu menurut. Mug di atas meja, dicapai.
Hisyam memaut perlahan pinggang Idayu. Melangkah beriringan menuju ke pintu utama. Baru beberapa langkah, alunan lagu dari telefon bimbitnya mematikan langkah mereka. Segera dia melihat nama si pemanggil yang tertera di screen.
“Shahrul,” ujarnya sambil menyambung langkah yang terhenti.
Idayu tersenyum.
“Ayu ke dapur, ya.” Idayu bersuara.
Hisyam meleraikan pelukannya di pinggang Idayu, sebelum menjawab panggilan Shahrul.
Idayu pula terus bergerak ke ruang dapur. Tidak mahu mengganggu perbualan dua teman karib itu.
“Eh, Mak Teh. Ingatkan dah tidur tadi,” tegur Idayu apabila melihat Mak Teh sedang mengelap pinggan yang dia sudah basuh sebentar tadi.
“Awal lagi. Mana boleh lelap mata ni,” jelas Mak Teh sambil mengambil mug di tangan Idayu.
Idayu bersandar pada kabinet dapur. Melihat Mak Teh meneruskan kerjanya. “Nanti kita balik Terengganu ya, Mak Teh.”
“Balik Terengganu? Bila?”
“Lagi dua minggu.”
“Kenapa?” Mak Teh bertanya lagi.
“Kawan saya, Mieza. Yang kita jumpa semasa kita keluar makan hari tu. Mak Teh ingat tak?”
“Ya. Kenapa dengan dia?”
“Dia nak kahwin.”
“Oh....”
“Oh apa Mak Teh???” sergah Hisyam yang muncul tiba-tiba.
“Oh, kahwin! Dia nak kahwin!!!”
“Siapa nak kahwin???”
“Dia... eh, Mak Teh nak kahwin! Nak kahwin dengan Mieza! Eh, Mieza nak kahwin! Eh!” Mak Teh mula melatah sambil tangannya menggaru-garu kepala.
Hisyam tergelak sakan.
“Abang ni. Tak baiklah selalu usik Mak Teh,” tegur Idayu sambil memeluk bahu Mak Teh. Belakang Mak Teh diurut perlahan-lahan.
Mak Teh beristighfar sambil mengurut dadanya.
Hisyam tersenyum. Tangannya membuka peti sejuk. Mencapai sebiji epal hijau kemudian berpaling semula ke arah Idayu dan Mak Teh. “Gurau sikit aje. Mak Teh tak marah, kan?”
“Kamu memang. Suka sangat usik Mak Teh.”
Hisyam tersengih. Dia menghulurkan epal di tangannya kepada Idayu. Bagai memahami kehendak suaminya, Idayu bergerak ke singki membasuh epal tersebut.
“Shahrul kirim salam.”
“Waalaikumussalam. Apa yang dia cakap?” soal Idayu sambil menghulurkan epal kepada Hisyam.
Hisyam memegang tangan Idayu lalu dibawa ke mulutnya. Epal di tangan Idayu, digigit tanpa perlu dia memegangnya. “Dia cakap, dia nak ke sini lusa.”
“Ya ke? Dia seorang saja?” soal Idayu lagi.
“Tentulah dengan Juita.”
Senyuman gembira memekar di bibir Idayu. Sudah agak lama dia tidak berjumpa dengan adiknya itu. Rindu!
“Baguslah macam tu.” Mak Teh bersuara sambil tersenyum senang.
Hisyam turut tersenyum.
“Apple please.” Dia bersuara sambil membuka mulut minta disuap.
“Nah.” Idayu meletakkan epal di tangan Hisyam.
“Eh, suaplah....”
“Makanlah sendiri. Ayu nak call Juita,” ujar Idayu terus berlalu.
“Tengok Mak Teh. Sebut saja nama adik dia, terus lupa suami.” Rungut Hisyam.
Mak Teh cuma tergelak kecil.

BAGAIMANA UNTUK MENDAPAT NOVEL INI?

Untuk mengetahui kesudahan kisah ini, segera dapatkan KUSERU RINDU ITU di rangkaian kedai buku MPH, Popular dan kedai-kedai berdekatan anda.

Anda juga boleh terus melanggan dengan Kaki Novel Enterprise melalui online ataupun pos. Untuk melanggan melalui online, sila layari laman web kami di:- www.kakinovel.com. Untuk melanggan melalui pos, anda hanya perlu tuliskan nama, alamat lengkap, no. telefon, tajuk novel yang ingin dilanggan dan jumlah naskhah berserta wang pos/ kiriman wang atas nama:-

KAKI NOVEL ENTERPRISE

dan poskan ke alamat berikut:-

Kaki Novel Enterprise

No. 33-2, Jalan Wangsa Delima 12,

D’Wangsa, Wangsa Maju,

53000 Kuala Lumpur.

No. Telefon:- 03-4149 0096 begin_of_the_skype_highlighting 03-4149 0096 end_of_the_skype_highlighting

No. Faks:- 03-4149 1196